(SUKAN) Wong Mew Choo Bakal Permaisuri Hidup Datuk Lee Chong Wei

Spread the love

 

KUALA LUMPUR – Apabila Datuk Lee Chong Wei memberitahu keluarganya bahawa beliau mahu menamatkan zaman bujang bersama Wong Mew Choo, ibubapanya adalah orang paling gembira kerana bekas ratu badminton negara itu sememangnya calon menantu kegemaran.

Biarpun hubungan Chong Wei dan Mew Choo selama 11 tahun sering diuji, malah beberapa kali pernah terputus, namun keluarga bintang badminton No. 1 dunia itu tidak pernah berputus harap bahawa suatu hari nanti kedua-dua mereka akan tetap bersatu.

Perkara tersebut didedahkan oleh abang sulungnya, Lee Chong Hoon – orang yang diberi kepercayaan penuh oleh Chong Wei untuk menguruskan perniagaan dan urusan perkahwinannya.

“Saya tidak fikir Chong Wei menerima kehadiran wanita lain dalam hidupnya selama 11 tahun ini walaupun dia pernah dikaitkan dengan beberapa wanita.

“Keluarga kami, terutama emak saya sangat rapat dengan Mew Choo dan kami amat gembira kerana pada akhirnya dia menjadi pilihan Chong Wei untuk dijadikan isteri. Saya boleh katakan, ia adalah keputusan yang menggembirakan seluruh keluarga kami,” kata Chong Hoon pada sidang akhbar ketika mengumumkan perkahwinan pasangan badminton itu di Puchong, semalam.

Perkahwinan Chong Wei, 30, dan Mew Choo, 29, yang mula berkenalan sejak memasuki akademi badminton kebangsaan akan berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 dan 10 November ini.

Resepsi pada 9 November diadakan untuk tetamu kehormat.

Antara yang berada dalam senarai jemputan pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu adalah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri kabinet serta tetamu korporat.

Majlis pada keesokan harinya pula diadakan untuk keluarga dan kenalan rapat.

Jaguh badminton Indonesia yang dikenali sebagai rakan baik Chong Wei, Taufik Hidayat antara yang sudah memberi persetujuan untuk menghadirinya.

Seramai 1,000 tetamu dijemput pada resepsi 9 November manakala 1,500 jemputan pada 10 November.

Chong Hoon mengakui, perbelanjaan untuk mengadakan dua majlis tersebut agak tinggi, namun adiknya cukup beruntung kerana sebahagian besar daripada kos perkahwinannya ditaja oleh beberapa pihak.

Enggan mendedahkan siapa yang bermurah hati untuk menaja perkahwinan tersebut, Chong Hoon berkata: “Sebaiknya semua butiran mengenai majlis ini diumumkan oleh Chong Wei sendiri, termasuk senarai penuh tetamu yang hendak dijemput dan bila beliau serta Mew Choo akan mendaftarkan perkahwinan mereka.

“Tiga lagi sidang akhbar akan diadakan menjelang hari perkahwinan. Sidang akhbar kedua pada Jumaat ini, diikuti Selasa depan dan yang terakhir, Khamis depan.

”Namun tidak dinafikan, kos untuk majlis perkahwinan ini memang tinggi, bayangkan untuk mencetak 2,500 kad jemputan sahaja kami membelanjakan RM15,000.”

Chong Wei tidak dapat hadir pada sidang akhbar pertama semalam kerana masih berada di Odense, yang mana beliau berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Denmark pada ulang tahun kelahirannya yang ke-30 kelmarin.

Mew Choo juga tidak hadir kerana mengikut tradisi Cina, pasangan yang bakal berkahwin harus menghadiri sesuatu majlis rasmi berdua.

Seandainya salah seorang daripada mereka tiada, maka yang seorang lagi pula tidak dibenarkan menghadiri majlis berkenaan.

Pada sidang akhbar semalam, Chong Hoon turut mendedahkan, tarikh 9 dan 10 November dipilih selepas mendapatkan pandangan pakar fengshui.

“Sifu yang mencadangkan tarikh itu, lagi pun tarikh tersebut juga sesuai dengan jadual Chong Wei yang sangat padat.

“Sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan majlis perkahwinannya, saya akui tugas ini sangat mencabar. Adik saya seorang yang sangat sibuk, bayangkan semua urusan terpaksa disesuaikan dengan jadualnya yang padat.

“Ketika kami melakukan penggambaran praperkahwinan, ia perlu diselesaikan dalam masa sehari. Pagi dia pergi latihan dulu, kemudian baru ke sesi penggambaran. Selepas sesi itu habis, dia balik semula ke tempat latihan. Chong Wei kata dia perlu berlatih sebab dia mahu beraksi pada Terbuka Denmark,” ujar Chong Hoon.

artikel dan gambar : utusan


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *