(HIBURAN) 3.5 JUTA PENONTON SAKSI ELICA MENJADI JUARA MENTOR MILENIA 2017

 

Petaling Jaya, 12 Mei 2017 – Teka-teki selama 13 minggu akhirnya terjawab apabila Angelica Paujin (Elica) dinobatkan sebagai juara Mentor Milenia 2017 sekaligus membawa pulang wang tunai RM 100,000, sebuah trofi dan telefon bimbit Neffos X1 Max, berserta pakej percutian ke London. Tahniah juga kepada mentor Akim atas kejayaan yang diraih ini!

Baru saja menamatkan saingan terakhir pada 7 Mei yang lepas, konsert akhir Mentor Milenia 2017 telah mencecah lebih daripada 3.5 juta penonton atau 53.7% syer penonton dan 16.6 TVR sepanjang siaran dari pukul 9.00 malam – 11.00 malam (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Kemenangan Elica ini bermakna dia berjaya menewaskan tiga protégé lain, dimana gelaran naib juara disandang oleh protégé Hazama iaitu Muhammad Saiful Naim Muhd Noor (Usop) manakala tempat ketiga ialah Mohamad Rozaimi Rosli (Along) iaitu protege Tomok. Mereka masing-masing telah memenangi RM 50,000 dan RM 20,000 berserta sebuah trofi. Tempat keempat pula jatuh kepada Nur Syaheera Abd Aziz (Syeera), dan protégé kepada mentor Black ini telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 10,000.

Selain dinobatkan sebagai juara, Elica turut memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM 10,000 setelah dipilih sepagai “Protégé Pilihan Terbaik Neffos”. Anugerah khas ini diberi kepada Elica kerana telah menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara dari permulaan perjalanannya di pentas Mentor Milenia 2017.

Konsert akhir Mentor Milenia 2017 menyaksikan kemampuan vokal protégé diuji dengan dua persembahan iaitu secara solo dan duet bersama penyanyi jemputan. Terdahulu, pertarungan pentas akhir telah dimulakan dengan persembahan duet oleh Elica dan Hael, yang membawa lagu “Ceritera Cinta” (nyanyian asal Jaclyn Victor & Rio Fabrian).

Menurut Datuk Hattan, juri tetap Mentor Milenia 2017, “Elica, malam ini saya nampak awak berdiri di pentas itu persis seorang juara. Saya amat menyukai pelontaran jiwa awak ketika menyanyikan lagu ini. Bukan semua orang mampu membawa lagu ini dengan begitu baik sekali.”

 

Datuk Hattan yakin Elica mampu pergi jauh dalam industri nyanyian di Malaysia sekiranya dia terus diberi didikan yang betul selepas program ini berakhir. Pada malam itu, Elica yang juga telah menyanyikan lagu “Samar Bayangan” (nyanyian asal Nicki Astria) untuk persembahan solo, turut dipuji oleh Fauziah Ahmad Daud selaku juri jemputan kerana mampu melakukan persembahan pembukaan yang bagus dengan mengimplikasikan struktur persembahan yang tersusun.

Sementara itu, persembahan lagu berjudul “Malam” (nyanyian asal M. Nasir) oleh Usop bersama juara program realiti “3 Juara”, iaitu Salma pula dipuji kerana mempunyai sebuah formasi yang cantik dan padat. Sungguhpun Usop dipuji kerana berjaya mencuri hati para penonton, dia dinasihati oleh panel juri untuk memastikan persembahannya konsisten pada masa akan datang. Untuk persembahan solo, Usop telah menyampaikan lagu popular bertajuk “Bayang” (nyanyian asal Khai Bahar).

Protégé yang menduduki tempat ketiga iaitu Along telah menyanyikan lagu “Merisik Khabar” (nyanyian asal Sudirman) secara solo. Walaupun pernah dikritik sebagai kaku ketika menyanyi, namun Along berjaya mengatasi kritikan tersebut dengan membuktikan bahawa dia mampu menjiwai lagu itu dengan penuh perasaan. Untuk persembahan berduet pula, protégé kepada Tomok ini telah membawa lagu hit berjudul “Memori Berkasih” (nyanyian asal Siti Nordiana & Achik) bersama Siti Nordiana.

Suasana di studio Sri Pentas 2 dihangatkan lagi oleh protégé Black iaitu Syeera yang tidak pernah takut untuk cuba melakukan persembahan di luar kotak. Dia telah menyanyikan lagu Sekadar Di Pinggiran” (nyanyian asal Fransisca Peter) dengan gabungan muzik moden dan tradisional ketika duet bersama Misha Omar. Bagi persembahan solo, Syeera telah menyampaikan lagu Di Pintu Syurga” (nyanyian asal Dayang Nurfaizah).

Bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, tirai konsert akhir Mentor Milenia 2017 telah dibuka dengan persembahan istimewa oleh kumpulan popular yang didatangkan khas dari Jakarta iaitu Nidji menerusi lagu “Biarlah” dan “Bila Bersamamu”.

Lebih menarik lagi, para penonton juga telah dihiburkan dengan persembahan penutup oleh kesemua protégé, Nuzul, Syeera, Anna, Elica, Qalisya, Along, Balqis dan Usop yang menyampaikan lagu Tunjuk Ajarku Sifu sebagai tanda penghargaan kepada barisan mentor mereka.

Seperti konsert mingguan sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio. Persembahan mereka dinilai oleh juri tetap Mentor Milenia 2017 iaitu Datuk Hattan dan juga Fauziah Ahmad Daud selaku juri jemputan.

Mentor Milenia 2017 yang dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh dibawakan khas oleh Neffos, Telefon Pintar Generasi Milenia selaku penaja utama. Mentor Milenia 2017 turut menampilkan Qu Puteh Millenia Champ Champ sebagai penaja bersama, dan disokong oleh tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro & ZIP sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.

Krew penerbitan Mentor Milenia 2017 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia 2017 dan Khirul Fikry Mustafa sebagai penerbit. Program realiti popular ini turut dibantu oleh Azmeer sebagai penasihat, Sazlan Mat Adnan sebagai koreografer dan Faizal Uzir (Lok-U) sebagai pengarah muzik.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia2017 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial. Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *