(HIBURAN) ‘Ayahanda’ –  Cinta Luhur Dan Pengorbanan Seorang Ayah Yang Tidak Didendangkan

Petaling Jaya, 9 Julai 2021 –  Dekat tapi jauh… Situasi kini tidak mengizinkan sesetengah orang untuk berjumpa dengan ibu bapa mereka dan perasaan rindu yang semakin menebal juga mengusik jiwa masing-masing. Peminat drama Melayu pasti akan terkesan dengan lakonan mantap dua figura besar dalam industri tanah air iaitu Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud ataupun lebih mesra dengan panggilan Ogy dalam ‘Ayahanda’, drama bersiri terbaharu di TV3 nanti. 

‘Ayahanda’, drama bersiri istimewa inspirasi daripada novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah A.M.N bakal bersua dengan penonton TV3 bermula 10 Julai 2021. Drama bersiri 13 episod ini akan bersiaran pada setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam.

Drama bersiri terbitan Zeel Production Sdn. Bhd, ini diarahkan oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dengan nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan. Ia menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Jalil Hamid, Fikry Ibrahim, Fauziah Ahmad Daud, Shahz Jaszle, Rita Nadira, Noorkhiriah, Hairi Safwan, Mimi Ernida, Sherry Ibrahim dan ramai lagi. 

Untuk makluman, Allahyarham Azizi Hj Abdullah merupakan penulis tersohor, penerima Anugerah S.E.A Write Awards 1988, dikurnia pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agong dan Allahyarham jua merupakan penerima 7 kali Anugerah Hadiah Karya Sastera. Naskhah Allahyarham ini bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anak serta kesetiaannya terhadap keagamaan. Walaupun novel ini merupakan terbitan tahun 1997, namun tema dan jalan cerita yang dipaparkan masih dekat dengan realiti kehidupan kita. Penerapan nilai-nilai moral dalam kandungan cerita ini juga boleh dijadikan rujukan oleh para penonton untuk berusaha ke arah yang lebih baik. 

Ayahanda mengisahkan tentang Haji Abdullah (Jalil Hamid), seorang Tok Imam, juru nikah dan mengajarkan kitab di surau yang berusia lebih daripada 100 tahun. Surau itu kemudian dibina semula setelah dilanda ribut yang hampir meragut nyawa Haji dan isterinya, Hajah Noriah (Fauziah Ahmad Daud) ketika itu. 

Haji Abdullah dilihat sebagai seorang imam tua yang degil dan mahu mempertahankan semua jawatannya di masjid kampungnya. Walaupun Haji Abdullah sudah tidak diterima oleh masyarakat kerana kaedah pengajaran dan kitabnya yang dianggap lapuk tetapi beliau tetap melunaskan tanggungjawabnya. Hanya Hajah Noriah yang masih setia dan sentiasa memberikan sokongan padu kepada suaminya. Di kampung, seorang imam baharu telah dilantik iaitu Ustaz Hamidi, 20-an dan lulusan Al-Azhar, Mesir. Jemaah pun semakin ramai di masjid. Haji Abdullah tercabar dan tetap mahu menjadi imam. 

Haji Abdullah dan Hajah Noriah mempunyai 4 orang anak iaitu Halimah (Noorkhiriah), Ramli (Shahz Jaszle), Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim). Halimah, anak sulung yang tinggal di belakang rumah Haji sering diharapkan oleh adik-beradiknya untuk menjaga ibu bapa mereka. Halimah juga terpaksa bersabar dengan perangai suaminya, Mat Diah (Sobri Anuar) yang terlalu taksub dengan pertandingan suara burung. 

Ramli, anak kedua Haji Abdullah pula sibuk berulang-alik menghantar Piah (Nurmiziana Rosli), isterinya ke kampung asalnya kerana emaknya sakit. Manakala, Ahmad, anak ketiga yang mahu menambah pendapatan dengan mengusahakan kebun sayur di kaki bukit. Isteri Ahmad, Hasnah, telah meninggal dunia bersama anak ketiganya semasa bersalin. Hajah Noriah dan Halimah sentiasa cuba mencarikan jodoh baharu untuk Ahmad tetapi Ahmad belum bersedia. 

Aziz, anak bongsu Haji Abdullah bekerja sebagai juru teknik di sebuah kilang dan minat penulisan. Isterinya, Mazni (Rita Nadira) lebih mementingkan kesenangan diri dan mula mengambil kesempatan atas kesibukan suaminya yang mahu menjaga orang tuanya, anak mereka dan juga menyiapkan penulisannya. 

Hj. Abdullah mahukan sokongan anak-anaknya untuk dia meneruskan tanggung jawabnya sebagai imam, namun semua anak-anaknya tidak berpihak kepadanya membuatkan Hj. Abdullah terasa hati. Aziz yang menjadi harapan Hj. Abdullah juga menentang hasrat ayahnya lebih-lebih lagi hubungan mereka pernah terpalit dengan sejarah lampau yang merenggangkan hubungan mereka berdua. Sikap degil dan ego Hj Abdullah menyebabkan dirinya dilanda sepi dan tiada siapa yang peduli.

Terleraikah kesepian hati seorang ayah dan dapatkan anak-anaknya memahaminya? Dapatkah anak-anak Haji Abdullah menebus kelemahan mereka yang sudah mengabaikan hati seorang ayah? Mengertikan mereka tentang pengorbanan seorang ayah? 

Drama bersiri meruntun jiwa ini juga diserikan dengan suara lagenda rock Malaysia, Dato’ Awie apabila single beliau berjudul Coretan Pilu dipilih menjadi runut bunyi untuk drama Ayahanda. Gabungan karyawan komposer dan penulis lirik muda iaitu Ikhwan Fatana, Wan Salleh dan Fedtri Yahya pastinya meruntun jiwa pendengar.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama-drama popular di TV3 dan www.tonton.com.my Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *