(HIBURAN) Drama ‘Anissa Dan Anissa’ Hiasi Slot Sinetron TV3!!

Anissa Dan Anissa (5)

Dugaan dalam hidup ini tidak akan terhenti selagi kita bernama manusia. Kerana dugaan itulah sebenarnya membawa makna kehidupan buat seseorang. Itulah yang dilalui oleh Anissa di mana dia dikhianati sahabatnya sendiri, Soraya kerana Soraya begitu mendambakan cinta suaminya iaitu Pramana. Kehidupan Anissa berubah sekelip mata apabila dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancang oleh Soraya. Mampukah Anissa mengembalikan kebahagiaan yang dinikmatinya sebelum ini setelah semuanya dirampas oleh Soraya?

Terbaru di Slot Sinetron, drama bersiri 32 episod ‘ANISSA DAN ANISSA’ bakal disiarkan pada 30 April 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 2.00 petang. Drama yang menggantikan drama siri popular ‘Cintaku’ ini membariskan bintang-bintang tersohor dari Indonesia seperti Natasha Rizky, Ali Syakieb, Nunu Datau dan Adjie Pangestu.

Kisah ANISSA DAN ANISSA bermula apabila Anissa berkahwin dengan Pramana. Kehidupan Anissa hampir sempurna apabila dia disahkan berbadan dua. Kebahagiaan yang dikecapi oleh Anissa dicemburui oleh sahabatnya sendiri, Soraya. Soraya cuba memusnahkan rumah tangga Anissa dan Pramana agar dia dapat memiliki lelaki idamannya itu.

Kemudian Soraya mendapatkan bantuan dari rakannya, Chandra untuk memerangkap Anissa agar terlibat dalam kemalangan jalan raya. Rancangan Soraya ternyata berjaya apabila kereta yang dipandu oleh Anissa hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung lalu terbakar. Pramana percaya bahawa Anissa sudah meninggal dunia kerana polis menemui mayat seorang wanita yang hangus terbakar dan tidak dapat mengecam rupanya di tempat kejadiaan berlakunya kemalangan Anissa.

Tiada siapa yang tahu hakikat sebenarnya bahawa Anissa masih hidup. Anissa telah diselamatkan oleh sebuah keluarga dari kampung berhampiran kawasan itu. Walau bagaimanapun, Anissa mengalami amnesia. Anissa sememangnya tidak ingat latar belakangnya. Jadi keluarga yang menyelamatkan Anissa itu membuat keputusan untuk menjaga Anissa dan memberi nama baru untuknya iaitu Yanti.

Sementara itu, Soraya tidak pernah berputus asa menggoda Pramana. Impian Soraya untuk bersama serta membolot kekayaan Pramana menjadi kenyataan apabila mereka berdua akhirnya berkahwin. Pada waktu yang sama, Yanti telah selamat melahirkan bayi perempuan. Bayi comel itu diberi nama Anissa.

Masa berlalu dan tahun silih berganti. Anissa juga dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Kini, Anissa bercita-cita untuk menjadi pereka fesyen baju terkenal kerana baginya itu adalah salah satu cara untuk dia mencari bapa kandungnya. Tetapi, impiannya itu terpaksa dilupakan kerana tangan kanannya lumpuh berpunca dari insiden dia menyelamatkan Desta dari kemalangan. Sejak itu, Anissa dan Desta mula rapat.

Malangnya, hubungan pasangan muda itu mendapat tentangan hebat dari ibu Desta iaitu Soraya. Soraya sekali lagi berpakat dengan Chandra untuk menghapuskan Anissa kerana dia dapat merasakan gadis itu adalah anak kepada suaminya bersama isteri lamanya, Yanti.

Meskipun Anissa mula menjauhkan diri dari Desta, tetapi pemuda itu sentiasa berusaha mendekatinya. Kehadiran Sandy yang juga menyukai Anissa turut menimbulkan perasaan cemburu dalam diri Desta.  Keadaan menjadi lebih rumit apabila rakan Anissa iaitu Melly menyimpan perasaan pada Sandy.

Chandra juga tidak senang duduk apabila mendapat tahu Desta dan Sandy merebut cinta dari perempuan yang sama. Ini kerana Desta dan Sandy adalah anaknya. Pramana pula kecewa apabila mengetahui Desta adalah anak hasil dari hubungan Soraya dan Chandra. Kemudian, Desta mula menjejak anak kandungnya yang didapati masih hidup. Pencarian anak kandung Pramana bertambah sukar apabila ada gadis lain mengaku mereka adalah anak Pramana. Berjayakah Pramana bertemu Anissa? Sementara itu, siapakah yang akan menjadi pilihan hati Anissa, adakah Desta atau Sandy?

Ingin mengetahui kesudahan drama siri ini, jangan lupa untuk menyaksikan “Anissa Dan Anissa” menerusi slot Sinetron di TV3, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 2.00 petang! Penonton yang terlepas menyaksikan ANISSA DAN ANISSA boleh menyaksikan drama ini melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Penonton juga boleh layari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta lama sosial Facebook, Instagram dan Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *