(HIBURAN) FILEM “PEKAK” MERANGKUL DUA ANUGERAH DI RUSIA

Spread the love

image003KUALA LUMPUR, 1 September 2016 – Filem Pekak terbitan Lightbulb Pictures yang dipersembahkan oleh Grand Brilliance ini telah merangkul anugerah Skrip Terbaik (Khairul Azri Mohd Noor) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Zahiril Adzim) di International Motivational Film Festival (IMFF) BRIDGE of ARTS di Russia setelah bersaing dengan sepuluh filem lain dari serata dunia. Festival filem tersebut telah diadakan di Rostov-on-Don pada 24 – 28 Ogos yang lalu.

IMFF BRIDGE of ARTS merupakan festival pertama di Rusia yang mengamalkan konsep ketelusan maksimum. BRIDGE of ARTS diadakan di Rostov-on-Don, ibu negeri bagi selatan Rusia, yang mengikut perjalanan sejarahnya berjaya menggabungkan budaya Timur dan Barat. Tema utama festival filem ini adalah semangat untuk pencapaian dan pergerakan.

Sebelum ini, Pekak pernah tercalon di bawah kategori “Asean Skies” di World Premieres Film Festival Philippines pada tahun lalu. Manakala pada Mei yang lalu, Pekak telah ditayangkan di pasaran tayangan filem terbesar di Cannes iaitu Marché du Film 2016 di bawah program “Malaysia Goes to Cannes” anjuran FINAS dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).

Diarahkan oleh pengarah baru Mohd. Khairul Azri, Pekak berkisar tentang seorang pengedar dadah bernama Uda yang cacat pendengaran yang terlibat dalam aktiviti penjualan dadah bagi menampung kos mengimplan koklea bagi memulihkan pendengarannya. Takdir telah menemukan Uda dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada kongkongan bapanya. Hubungan yang luar biasa ini mula menerbitkan bibit-bibit cinta di antara mereka, namun mereka terpaksa menghadapi cabaran dunia yang penuh dengan keganasan, seks, dan dadah.

Pekak sudah mula ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara bermula hari ini. Filem ini turut menggandingkan pelakon-pelakon yang pernah memenangi anugerah, antaranya adalah Zahiril Adzim dan Sharifah Amani, kedua-duanya memikul watak utama di dalam filem ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *