(HIBURAN) Filem ” Untuk Tiga Hari “

Spread the love

Filem Untuk Tiga Hari mengisahkan kisah cinta luar biasa dan agak pelik. Filem Untuk Tiga Hari adalah filem diadaptasi daripada novel popular Ahadiat Akashah.

Untuk Tiga Hari berkisar tentang dua pasang kekasih yang terpaksa berkahwin atas desakan dan pilihan orang tua.  Pasangan kekasih ini memutuskan untuk bercerai selepas tiga hari mereka mendirikan rumah tangga. Dalam tempoh tiga hari mereka meluangkan masa bersama, mereka mula sedar bahawa itulah jodoh yang terbaik buat mereka seperti mana yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan meneruskan perhubungan bukanlah sesuatu yang buruk dan mungkin adalah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup mereka. Bahagiakah kita untuk meneruskan cinta selepas melukakan hati pasangan yang diceraikan selepas 3 Hari perkahwinan?

Penerbit: Sharad Sharan (Ombak Rindu)
Pengarah: Afdlin Shauki
Pelakon: Adflin Shauki, Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Ayu Raudhah
Produksi:  Tarantella Pictures Sdn Bhd.

p/s : lagi koleksi gambar di majlis tayangan perdana Untuk 3 Hari di Pavilion KL (Galeri) 

ulasan filem oleh pemerhati :

Melangkah masuk ke GSC Pavillion dengan hanya ada satu di minda; ‘Sebuah karya garapan Afdlin Shauki’ bagi pratonton filem ‘Untuk Tiga hari’ memberikan satu rasa teruja untuk melihat apakah bentuk persembahan layar perak pengarah yang dikatakan mempunyai idea kreatif dan kritis ini.

 

Di atas kertas sahaja sudah dapat memaparkan kekuatan cerita ini. Dengan penerbit sama yang menerbitkan filem ‘Lagenda Budak Setan’ dan ‘Ombak Rindu’ pastinya memberikan sedikit kesan dalam minda bahawa Tarantella Pictures Sdn Bhd bukanlah sebuah produksi main-main.

 

Barisan pelakon seperti Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Ayu Raudhah dan Afdlin Shauki sendiri menjadikan kita begitu berkeinginan untuk melihat hasil lakonan mereka kerana nama-nama ini bukanlah satu nama yang kecil dalam industri kita.

 

Kita pinggirkan sebentar novel karya Ahadiat Akashah yang diangkat menjadi teras kepada karya ini. Kita menilai sepenuhnya filem ini sebagai satu filem, dan bukannya novel. Namun begitu, kekuatan skrip oleh penulis novel ini sendiri bersama dengan Armantono dari Indonesia antara tunjang kepada kekuatan cerita ini. Lakon layar yang baik, berada ditangan pengarah yang baik, pasti hasilnya sangat memuaskan hati.

 

Dari segi perjalanan filem, permulaan kepada cerita ini menjadi satu suis yang sesuai untuk para penonton menghidupkan diri dalam filem ini sendiri. Genre cinta dalam filem ini tidak kelihatan terlalu klise aksi-aksi melodrama yang hanya meraih rasa kecewa dan senyum semata. Afdlin berjaya menyelitkan rasa komedi yang sememangnya sebati dengan diri beliau. Ini menjadikan unsur komedi dalam yang wujud dalam filem ini bukan komedi slapstik yang dibuat-buat. Adakala kita berasa syahdu, adakala kita tersenyum bahagia dan adakala kita berdekah-dekah ketawa menikmati perjalanan cerita ini.

 

Kekuatan para pelakon filem ini tidak perlu dipertikaikan lagi sebenarnya. Kesemua barisan pelakon berjaya memainkan peranan masing-masing dan menghidupkan watak yang telah diamanahkan dengan baik. Barisan pelakon pembantu yang tidak kurang hebatnya juga menjadikan perjalanan cerita ini lancar dan kelihatan seperti tidak ada kecacatan.

 

Pengolahan cerita ini keseluruhan seperti satu masakan yang sempurna. Rasa lemak manis yang secukup rasa. Dengan penglihatan dan pendengaran yang bagus, sinematografi yang baik, lagu-lagu yang sesuai membuatkan kita tidak berasa bosan untuk terus duduk menonton sehingga ke akhir cerita.

 

Filem ini bukanlah sebuah filem ‘happy ending’ tapi para penonton boleh tersenyum puas apabila keluar dari pawagam menyaksikan ‘Untuk Tiga Hari’ kerana ia merupakan antara karya yang bagus dalam kelompok industri filem kita. Tidak rugi menonton!

 

Gigs –


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *