(HIBURAN) JERANGKUNG DALAM ALMARI – ‘Kisah Misteri Makhluk Jerangkung Menghuni Sebuah Almari Lama’

Spread the love

Minat yang mendalam terhadap filem-filem seram telah mencetuskan idea buat pengarah Shadan Hashim untuk menghasilkan filem Jerangkung Dalam Almari. Tambahan pula, filem seram juga dilihat antara genre yang cukup diminati serta sering mendapat sambutan hangat penonton.

Shadan berkata “Melihat kepada keadaan semasa, adakalanya saya agak terganggu apabila menyedari perbuatan syirik masih lagi dilakukan segelintir masyarakat dan kerana itu saya harus mengutarakan isu ini”.

“Pada masa sama, saya adalah penggemar filem-filem seram dan Jerangkung Dalam Almari ini dihasilkan sebagai memberi penghormatan (pay homage) buat pembikin-pembikin filem seram yang saya gemari.” ujarnya.

Sebelum ini, Shadan pernah menghasilkan sebuah filem seram iaitu Volkswagen Kuning, selain bergelar sutradara menerusi filem Haru Biru dan Cinta 200 Ela.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Shadan berkata filem dari syarikat produksi Akid Productions Sdn. Bhd dan penerbit Raja Azmi itu, menceritakan tentang tiga orang adik-beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela di dalam dada mereka sehingga berdendam dan prasangka terhadap diri masing-masing. Ujarnya, walaupun ini ialah sebuah filem genre seram tetapi mesej kekeluargaan ialah tunjang kepada jalan cerita filem tersebut.

Tambahnya, untuk filem berkenaan yang terkesan akibat pandemik dan menjalani penggambaran selama 26 hari itu, dia perlu menampilkan sesuatu yang luarbiasa kerana hantu jerangkung itu sendiri memang jarang sekali diangkat di layar lebar berbanding kisah hantu lain seperti pontianak, orang minyak dan hantu raya.

“Bila mendapat peluang ini saya bertanya pada diri, bagaimana untuk menghasilkan sebuah filem seram yang baik, tanpa adegan klise seperti wanita terapung, melekat di dinding atau menjerit apabila ayat-ayat al-Quran dibaca, seperti kelaziman filem seram yang lain?

“Jadi ia mencabar kreativiti saya untuk menghasilkan adegan seram yang lebih mencemaskan, menunjukkan cara yang lebih kreatif untuk mengatasi ancaman jin dan yang paling mencabar ialah untuk memunculkan makhluk jerangkung itu sendiri.

Jelasnya lagi, saya cuba mencari identiti filem seram yang dekat dengan masyarakat kita dan percaya penonton akan terhibur dengan jalan cerita yang menarik serta elemen-elemen “surprise” yang terdapat dalam filem Jerangkung Dalam Almari ini. Pelakon-pelakon hebat seperti Dato’ Adiputra, Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Effendi memberikan lakonan berkualiti dan faktor ini juga pasti akan menarik penonton ke pawagam.

Filem Jerangkung Dalam Almari bakal menghantui penonton di pawagam seluruh negara mulai 4 OGOS 2022.

SINOPSIS

Kehidupan Fikri (Dato’ Adi Putra) tidak tenteram kerana sering diganggu oleh jelmaan

yang muncul dari dalam almari sehingga mengancam nyawa isterinya Shikin

(Sophia Albarakbah) dan anaknya (Isaac Iman). Berbekalkan ilmu yang dipelajari

daripada Pak Hassan (Wan Hanafi Su), Fikri pulang semula ke rumah lama, tetapi

terpaksa membuat perhitungan dengan abang Ali (Hasnul Rahmat) yang menyimpan

rahsia gelap di sebalik ancaman Jerangkung Dalam Almari.

BARISAN PELAKON

Dato’ Adi Putra                       sbg                   Fikry

Sophia Albarakbah                  sbg                   Shikin

Hasnul Rahmat                        sbg                   Ali

Wan Hanafi Su                        sbg                   Pak Hassan

Anne Abdullah                        sbg                   Kak Itah

Isaac Iman                               sbg                   Adam

Zaidi Omar                              sbg                   Wak Ipin

Fazlina Ahmad Daud               sbg                   Hamidah

Amerul Effendi                        sbg                   Ramdan

Terbitan: Akid Productions Sdn Bhd

Dengan Kerjasama: Northstar Prodigy Pictures

Penerbit: Raja Azmi

Penulis dan Pengarah: Shadan Hashim

DOP: Indra Che Muda MYSC

Muzik: Trabye

Lagu tema: Jerangkung Dalam Almari (Wings)


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *