(HIBURAN) JIBAM… Akhirnya Karya Kartunis Terkenal Ujang Ke Layar Perak

Spread the love

Bagi mereka yang menggemari majalah komik Gila-Gila suatu masa dahulu, pastinya cukup mengenali salah seorang kartunisnya iaitu Ibrahim Anon atau Ujang.

Selain bergelar seorang kartunis, Ujang juga sebenarnya pernah menghasilkan beberapa buah  novel yang cukup terkenal. Salah satunya adalah JIBAM, yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak istimewa.

Ternyata novel yang dihasilkan sekitar tahun 90-an itu cukup popular dan pernah mendapat perhatian peminat novel tanah air. Bagaimanapun, suatu yang cukup istimewa buat peminat novel JIBAM apabila kini ia telah diadaptasi ke layar perak.

Filem terbitan Spektra Selasih Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah Che Mie itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember 2017 sempena cuti sekolah.

JIBAM mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa iaitu Ashraf atau Jibam yang sedikit lembab akal fikirannya, namun Jibam mempuyai keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan dan kematiannya sungguh misteri. Selain itu, turut diketengahkan watak Tok Ngah Sudin yang mempunyai sikap yang sangat membenci Jibam.

Pada masa sama, Jibam juga dibenci Usin Singai dan kemuncaknya apabila basikal tuanya dicat warna biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, pengarah JIBAM, Che Mie memberitahu bahawa penggambaran filem arahannya itu telah dijalankan pada bulan Februari 2016 di Sungai Lembing, Pahang.

“Sepanjang penggambaran berlangsung, semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang telah dirancangkan.

“Bagaimanapun, cabaran untuk menghasilkan filem ini sebenarnya sudah bermula sejak sebelum penggambaran dibuat,” jelasnya.

Che Mie berkata, antara cabaran paling besar ialah untuk memilih pelakon utama kanak-kanak yang membawakan watak Jibam.

Selain itu, ujarnya memandangkan JIBAM adalah merupakan filem pertama arahannya, mengadaptasi sebuah novel menjadi karya filem juga menjadi cabaran buat dirinya.

“Saya terpaksa membaca novel ini berkali-kali supaya jalan cerita yang diambil dapat divisualkan dengan apa yang telah ditulis oleh Ujang dalam novelnya.

Menurut Che Mie, sesuatu yang menarik mengenai filem JIBAM ini apabila pelakon kanak-kanak iaitu Mohd. Ariff Abdullah telah diangkat sebagai watak utama dalam filem ini.

Diberi peranan sebagai Jibam, Ariff yang merupakan seorang pelakon kanak-kanak istimewa sebelum ini cukup terkenal dengan watak sebagai Buntat dalam sebuah drama.

“Untuk filem ini saya terpaksa mencari seorang guru untuk mengajar teknik lakonan kepada Ariff (Jibam).

“Saya lakukan ini supaya Ariff dapat menjiwai watak Jibam dengan baik memandangkan ini kali pertama dia berlakon filem,” jelasnya.

Selain Ariff, antara barisan pelakon popular lain yang turut membintangi filem berkenaan seperti Syafie Naswip, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Hj. Yusoff.

Berkenaan novel Jibam yang dihasilkan Ujang, ia mula diterbitkan pada tahun 1988 oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd. Sehingga kini, novel berkenaan telah diulang cetak penerbitannya sebanyak 19 kali.

Ternyata novel Jibam ini dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat oleh pembaca kerana jalan cerita yang ditampilkan lebih dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

BARISAN PELAKON

Mohd Ariff Abdullah                           – Jibam

                 Bohari Ibrahim                                    – Tok Ngah Sudin

Esma Danial                                        – Suman

Syafie Naswip                                      – Kadir

Fadlan Hazim                                      – Fakir

Mia Ahmad                                         – Zamiah

Farah Ahmad                                      – Piah

   Kazar Saisi                                           – Usop Kidung

      Kamarool Hj Yusoff                             – Usin Singai 

Muhammad Aidil Rafiq                      – Jiman

                                                                                                 Duerra Mitilda Eiroza                         – Sipah

   Zaidi Rock                                           – Ucu

 Man Raja Lawak                                 – Karim Peot

 Roslan Madun                                     – Lebai Seman

 Collan Koo                                           – Lam Shook


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *