(HIBURAN) “KITA TEGUH BERSAMA” – IKRAR ARTIS ROCKETFUEL & DAYANG NURFAIZAH 

KUALA LUMPUR, 18 Aug 2021 – Bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan pada tahun ini, Rocketfuel Records mempersembahkan barisan artis popularnya seperti Hael Husaini, Masya Masyitah, Lil J, Abigail dengan penampilan istimewa Dayang Nurfaizah dalam sebuah single khas merdeka bertemakan norma baharu Sing From Home berjudul Kita Teguh Bersama yang dicipta oleh komposer terkenal iaitu saudara Amy Bong.

Pasangan duet yang tidak asing lagi, pernah merangkul pemenang kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah meluahkan keterujaan mereka dapat berkolaborasi lagi dalam sebuah lagu. 

“Walaupun kami sering bekerjasama, namun masih terdapat cabaran bagi menyiapkan projek ini seperti proses rakaman vokal dan video dari rumah dengan kualiti rakaman yang berbeza tetapi dengan bantuan daripada team Rocketfuel, Alhamdulillah kesemuanya berjalan dengan lancar”, kata Hael.

Tambah Dayang Nurfaizah pula, “Terima kasih kepada pihak Rocketfuel kerana menjemput saya untuk menjayakan projek Kita Teguh Bersama ini yang pastinya menjadi satu pengalaman yang berharga.”

Juara Yippie Start Quest 2020, Masya Masyitah berkata, “Saya rasa sangat teruja apabila pihak Rocketfuel memaklumkan tentang projek ini, agak berbeza seperti sebelumnya, projek ini harus disiapkan dengan norma baharu, segalanya dilaksanakan di rumah sendiri namun ia bukanlah halangan untuk memberikan yang terbaik.”

Artis rap muda asal Subang Jaya, Lil J, akui projek kali ini ada kelainannya tersendiri kerana lari dari kebiasaan, beliau diberi peluang untuk menyanyikannya dalam Bahasa Melayu dan juga Tamil.

“Saya mengambil masa hanya sehari untuk menyempurnakan bahagian saya kerana kami semua difahamkan mempunyai masa yang singkat bagi projek ini, namun ia bukanlah alasan buat saya menghasilkannya secara ala kadar, saya juga harus menjaga kualiti  dan memberikan yang terbaik. Tambahan pula, barisan artis yang terlibat dalam projek ini pun bukanlah biasa-biasa,” katanya.

Pendatang baharu, Abigail turut tidak melepaskan peluang menonjolkan bakat nyanyiannya, “Saya bangga dapat menjayakan projek ini bersama dengan artis-artis berpengalaman yang lain, dan saya juga amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Rocketfuel kerana terus memberi kepercayaan walaupun saya masih baru dalam industri muzik, terima kasih buat rakan artis yang lain kerana tidak jemu memberikan kata-kata semangat dan tunjuk ajar kepada saya”.

Secara tuntasnya, kesemua artis yang terlibat dalam projek ini berharap lagu Kita Teguh Bersama, dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi apa jua yang mendatang dan terus bersemangat dalam menyambut Hari Kemerdekaan tanah air tercinta yang ke-64. Ukhwah yang terjalin sekian lama dan dikecapi melalui kemerdekaan hendaklah terus dipupuk walaupun tidak dapat diraikan secara meriah seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mengambil kira keselamatan dan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *