(HIBURAN) KOLABORASI MANTAP MIA LATEEFA & ISMAIL IZZANI DALAM ‘KAU TAHU’

Spread the love

Puteri pop baharu penuh sensasi negara yang popular dengan single berkembarnya, ‘Anima’ serta ‘Anima Bella’, Mia Lateefa sekali lagi menghangatkan persada muzik Malaysia dengan kemunculan single terbaharunya yang mengasyikkan berjudul ‘Kau Tahu’, turut menampilkan penyanyi remaja terkenal tanah air, Ismail Izzani, hasil ciptaan mereka berdua dengan komposer ternama seperti Mingaling, Ezra Kairo dan Amir Hasan, manakala terbitan oleh Deep Faith Entertainment.

“Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya sekali lagi saya diberi peluang untuk mempersembahkan sebuah lagi karya istimewa buat pendengar muzik masa kini.

“Saya masih lagi dalam fasa bereksperimentasi dengan muzik dalam pencarian ‘bunyi’ sebenar saya di mana saya akan menghabiskan masa di studio bersama rakan seperjuangan dan guru muzik untuk bertukar-tukar pendapat serta idea, jika bukan itu saya akan lebih fokus terhadap penjagaan fizikal dan juga kesihatan mental,” jelas gadis jelita berdarah kacukan Melayu-New Zealand ini, yang berumur 20 tahun.

Impian Mia untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain akhirnya diperkenankan setelah diidamkannya sekian lama, jelasnya, “Sudah lama saya menunggu peluang sebegini kerana dapat meluaskan portfolio saya sebagai seorang penyanyi serta mencuba sesuatu yang baharu.

“Dan sudah tentunya Mael adalah pilihan saya kerana kami sudah lama mengenali satu sama lain dan samasama membesar dan berevolusi dengan muzik. Bagi saya, Mael adalah di antara penyanyi muda terbaik dan berbakat tanah air, jadi it’s a no-brainer kenapa saya memilih dia.

Menurut Ismail pula, “Pada mulanya Mia menghubungi saya menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah single, dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju kerana ini adalah idea bernas dan tidak rumit untuk bekerjasama dengannya.

“Saya mula mengenali Mia sejak tahun 2015 lagi dan sudah pun menganggapnya seperti adik sendiri, ketika di usia muda lagi dia mempunyai bakat yang semulajadi. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mia seorang yang rajin berusaha dan akan memperuntukkan masa untuk mempelajari sesuatu, contohnya seperti tarian, kalau boleh saya simpulkan di sini, fun dan kelakar, itulah Mia!

Single Kau Tahu merupakan adaptasi dari pengalaman Mia sendiri yang diolah ke dalam lirik, katanya, “Saya jenis orangnya kalau sayangkan seseorang akan curahkan segala perasaan dan cuba berusaha yang terbaik demi individu tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang curahan kasih sayang terhadap kekasih namun ianya tidak dihargai atau hanya dibalas sekadar sahaja.

Jika pendengar amati, lagu yang berdurasi 4:27 minit ini jelas mengangkat irama R&B yang menjadi intipati keseluruhan karya ini, mungkin pendekatan yang agak berani ditampilkan oleh penyanyi muda ini, namun ada tarikannya tersendiri seperti rangkap rap yang dinyanyikan oleh Ismail menambah variasi dinamik sekaligus melengkapkan Kau Tahu.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak memaparkan visual mengasyikan ibarat dalam sebuah dunia khayalan ciptaan Mia, ulasnya, “Saya mahu penonton terpesona dengan ‘rasa’ MV Kau Tahu melalui tarian yang dibawakan saya dan Mael, seakan berada dalam dunia sendiri tanpa menghiraukan apa kata orang luar.

Bidang tarian sememangnya sebati dengan diri Mia dan cintanya pada bidang itu tiada bersempadan, namun melalui nyanyian ditemukannya semangat yang baharu dan perjalanan seninya seakan cerah seperti merentasi bintang di galaksi.

“Muzik adalah medium terbaik buat saya untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, saya dapat ceritakan apa yang terpendam dan mempelajari banyak perkara baharu dalam kehidupan dari mereka yang mencorakkan perjalanan seni saya.

“Semoga semua yang mendengar Kau Tahu akan terhibur dan menari bersama rentaknya serta jangan lupa selami maksudnya kerana saya pasti ramai di luar sana pernah mengalami situasi yang sama. Jadikan pengalaman lalu pengajaran buat kita untuk lebih kuat kehadapan.

Lagu ‘Kau Tahu’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala MV pula boleh di tonton secara ekslusif pada tarikh yang sama di saluran YouTube Mia Lateefa Keyte.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *