(HIBURAN) MADAM TERUS MEMBARA DENGAN ‘MUSNAH’

Spread the love

Band pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment yang sedang hangat diperkatakan dan mendapat tempat dalam industri muzik Malaysia, MADAM, dianggotai empat jejaka berbakat besar yang terdiri daripada Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (pemain gitar) terus mara dengan kejayaan single kedua ‘Musnah’ sejak kali pertama diperkenalkan.

“Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap Madam. Segala kerja keras kami berempat selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila band kami mula mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan,” kata Putera.

Single pertama mereka berjudul Luka yang dilancarkan pada Julai tahun lalu menjadi titik permulaan kejayaan apabila menjangkau semua ekspektasi dengan memperoleh tontonan sebanyak 5 juta di saluran YouTube.

Ini disusuli pula dengan pencapaian single kedua berjudul Musnah yang dicipta oleh komposer terkemuka negara iaitu Amy Bong dan Zimi Sofazr. Musnah dilancarkan melalui sebuah kerjasama bernas diantara Rocketfuel Entertainment dengan JOOX, sebuah aplikasi penstriman atas talian yang popular. Kerjasama itu terbukti berjaya apabila lagu tersebut memperoleh jumlah penstriman yang begitu tinggi sekali.

“Kami sama sekali tidak menjangkakan respon sebegini pada mulanya. Namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh Encik Feros (Ketua Rocketfuel Entertainment) kami beranikan diri dan mencuba nasib, dan Alhamdulillah ia tidak sia-sia,” kata Azuan.

Walaupun Madam mula diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia bukanlah alasan bagi mereka untuk berdiam diri dan terus merebut peluang yang diberikan dalam dunia serba digital sekarang.

Ulas En. Jipie, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment yang terbaharu, “Saya bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Madam kerana sebagai band pertama Rocketfuel mereka telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Manakala kerjasama diantara Rocketfuel dengan JOOX melalui single Musnah ternyata membuahkan hasil. Saya yakin dengan bakat yang mereka ada, Madam mampu pergi jauh dan tak mustahil bakal setanding dengan band-band lagenda di Malaysia pada satu hari nanti.”

Menurut Herman, “Ramai yang mengenali Madam sebagai sebuah band rock, tetapi bermacam genre lain yang ingin kami cuba dan belum diterokai namun dalam masa yang sama masih mengekalkan elemen rock. Jangan lupa untuk menantikan karya terbaru yang bermutu daripada kami tidak lama lagi.”

“Kami berharap agar peminat muzik di luar sana terus memberikan sokongan yang padu dalam usaha Madam memartabatkan muzik Malaysia ke persada Asia Tenggara dan In Shaa allah ke mata dunia,” akhiri Fadhil.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *