Pada hari Rabu bersamaan 12 Mac 2014 telah diadakan MAJLIS PELANCARAN LAGU “SEGALA” & MOHD BERTEMU MEDIA anjuran syarikat pengurusan Mohd, FH Global Entertainment di Red Box Ria Karaoke, Sogo Kuala Lumpur pada jam 9.00 malam. Ianya dihadiri oleh 30 orang tetamu dari industri hiburan Malaysia dan diacarakan oleh Shawn serta kumpulan Okay Raja Lawak 7.
Acara ini bertujuan untuk memperkenal serta mempromosikan lagu terbaru ciptaan Akir dari Hyper Act dan abangnya, Frozen bertajuk “Segala” yang dinyanyikan oleh juara Mentor 4 yang juga protege Ziana Zain iaitu Mohd kepada media cetak / elektronik. Ini adalah lagu ke-4 nyanyian Mohd yang kini sedang meningkat naik selepas menjadi runut bunyi drama “Playboy itu Suami Aku” siaran TV3 setelah siap sepenuhnya pada bulan Januari lalu. Orang yang bertanggungjawab membawa lagu ini ke dalam drama adalah Kas Roshan. Lagu ini juga turut dihasilkan bersama oleh Epul dari Sirr Studio selaku penerbit dan Toi Nizam dari Hyper Act.
Selain itu, acara ini juga menjadi medium kepada Mohd untuk bertemu dengan media cetak /elektronik bagi menjelaskan status dirinya kini yang telah terlepas dari tuduhan merogol yang dihadapinya pada awal tahun 2013 lalu. Mohd bersama kakaknya tampil dengan bukti dan peguamnya dari syarikat guaman Dony & Co untuk memberi penerangan yang lebih terperinci.
Kes Mohd menurut peguamnya, Dony telah selesai dan diklasifikasikan sebagai NFA (Non Further Action) kerana tiada bukti yang kukuh untuk didakwa serta bebas dengan jaminan pihak polis. Mohd berharap dengan selesainya kes ini, dirinya akan kembali diterima oleh dunia hiburan bersama peluang yang lebih luas untuknya terutama kepada mana-mana syarikat rakaman
yang berminat untuk bekerjasama dengannya.
Sidang media diakhiri dengan perancangan masa depan Mohd antaranya untuk bergiat dengan lebih aktif membina karier seninya, berduet bersama Momo dari Okay Raja Lawak 7 untuk lagu terbaru, menghasilkan mini album pertamanya dihujung 2014, menubuhkan kelab peminat dan memajukan restoran serta pusat karaokenya di Johor Bahru. Majlis tamat pada jam 10.30 malam.