(HIBURAN) Mar & Uchop ke pusingan akhir VOKAL 2

Spread the love

Nadeera dan Yus tersingkir

NADEERA & YUS TERSINGKIR!

Shah Alam, 20 Disember 2012 –  Debaran semakin memuncak dan bahang kehangatan VOKAL…Bukan Sekadar Rupa musim ke-2 terus membara selepas pengumuman Marlleynney Fane J. L Paul (Mar) dan Mohmad Yusof Ahmad (Uchop) yang melayakkan diri ke pusingan akhir dimana Farah Nadeera Zaini (Nadeera),dan Yusoff Md Shah (Yus) terpaksa akur dan meninggalkan pentas VOKAL 2.

Uchop & Mar

Pusingan akhir VOKAL 2 yang bakal bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 26 Disember 2012 (Rabu) dari jam 9.00 – 11.00 malam menyaksikan Mar dan Uchop berentap untuk mengejar impian merangkul juara VOKAL 2 serta memenangi hadiah wang tunai RM 100,000.

Tirai konsert VOKAL 2 separuh akhir (19 Disember) dimulakan dengan persembahan penuh tenaga oleh Uchop yang menyampaikan lagu Jamal Abdillah yang bertajuk ‘Seroja’. Seterusnya, tiba giliran Mar mengambil alih pentas dengan lagu ‘Karena Ku Sanggup’ yang dipopularkan oleh Agnes Monica. Tampil sebagai peserta ketiga, Yus mempersembahkan sebuah rangkaian lagu Irama Malaysia iaitu ‘Pak Ngah Balik’ dan ‘Joget Jambu Merah’ manakala finalis terakhir pada malam ini, Nadeera mempertaruhkan lagu Misha Omar yang berjudul ‘Dedebu Cinta’ bagi membuktikan kemampuannya untuk terus berada di pentas VOKAL 2.

Sebelum melabuhkan tirai konsert VOKAL minggu ini,  kesemua finalis muncul dengan persembahan lagu bonus iaitu lagu Melly Goeslow & Ari Lasso yang berjudul ‘Jika’ sebelum pengumuman keputusan 2 finalis yang berjaya ke pusingan akhir.

Penerbit VOKAL musim kedua, Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) berkata, “Selama 2 bulan para finalis menimba ilmu bersama tenaga pengajar yang berkaliber iaitu Azmeer dan Mas Idayu, mereka kini lebih yakin untuk membuat persembahan di atas pentas VOKAL 2. Oleh itu, agak sukar bagi kami untuk membuat ramalan siapa yang akan mara ke pusingan akhir kerana semua finalis mempunyai peluang yang sama rata.”

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa para finalis jangan sesekali rasa leka kerana persaingan semakin sengit dan hanya yang terbaik akan mara ke pusingan akhir. Jangan biarkan perasaan gemuruh, takut ataupun malu mempengaruhi persembahan anda kerana satu kesilapan kecil akan memudaratkan. Bagi finalis yang tidak berjaya di peringkat separuh akhir ini, jangan berasa putus asa dalam usaha memburu impian untuk bergelar penghibur versatil.” Tambah Gbam.

Musim kedua VOKAL menampilkan penyampai radio popular, Faizal Ismail sebagai pengacara program. Sementara itu sepanjang 10 episod, VOKAL 2 turut menampilkan dua nama yang tidak asing lagi di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang nyanyian iaitu Ziana Zain dan Dato’ Hattan sebagai ketua juri untuk program ini.

Tenaga pengajar VOKAL musim ini terdiri daripada Azmeer dan Mas Idayu sebagai Penasihat Vokal dan Persembahan, Fidie Sani selaku Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan manakala Profesor Izzi Haji Ali bertindak sebagai Penasihat Motivasi.

Sebelum konsert mingguan bermula, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat lagi kesemua peserta VOKAL menerusi program ‘Rutin Vokal’ yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Rabu jam 6.00 petang. Menerusi ‘Rutin Vokal’, penonton dapat melihat gelagat peserta dan semua perkara menarik yang terjadi ketika mereka menghadiri sesi latihan dan semasa mereka membuat persiapan untuk persembahan pada malam konsert.

Seperti musim pertama, VOKAL 2 masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50% daripada juri profesional dan 50% melalui undian SMS. Juara VOKAL musim kedua akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000.

Program realiti VOKAL musim ini juga memberi peluang kepada mereka yang terlepas menyertai program nyanyian ini dengan menyertai peraduan ‘JUARA VOKAL ONLINE’. Penyertaan ini terbuka kepada orang ramai dimana mereka hanya perlu menghantar URL video nyanyian mereka di laman sesawang rasmi VOKAL. 5 video terbaik telah disenarai pendekkan untuk undian awam di mana video yang mendapat perhatian dan jumlah ‘like’ yang paling tinggi bakal bergelar Juara VOKAL online. Sila layari laman sesawang rasmi VOKAL di www.tv3.com.my/vokal2 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Malah, VOKAL 2 juga memperkenalkan METER MANTAP di mana penonton di rumah atau di mana jua mereka berada boleh menilai persembahan peserta menerusi laman sesawang rasmi VOKAL.

Nantikan kemunculan Juara bagi VOKAL…Bukan Sekadar Ruapa musim kedua pada 26 Disember 2012 yang akan bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam dari jam 9.00malam – 11.00malam. VOKAL 2 diterajui oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad selaku penerbit. Bagi peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk memberi sokongan kepada finalis kegemaran anda.

Penonton yang terlepas menyaksikan Vokal..Bukan Sekadar Rupa boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan layari Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton juga dialu-alukan berkongsi komen mereka di laman sosial Twitter dengan menggunakan hashtag #Vokal2.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *