(HIBURAN) SENTUHAN “CINTA” AKIM & STACY  SUARA MERDU MARSHA MILAN BAKAL BERKUMANDANG  DI SLOT AKASIA: MASIH ADA RINDU

Pasangan romantik Akim dan Stacy atau nama pena mereka Hang Nadim dan Bunga Cantik telah menghasilkan sebuah lagu istimewa berjudul “Cinta”. Sentuhan istimewa kedua-dua Mentor dari program realiti Mentor Milenia ini akan dinyanyikan oleh pelakon, model dan penyanyi popular yang berasal dari Sabah iaitu Marsha Milan Londoh. Lagu ini adalah sebuah kerjasama Monkeybone dan Rhythm & Rhyme Entertainment. 

Menariknya “Cinta” akan menjadi salah satu lagu soundtrack bagi drama Akasia: Masih Ada Rindu yang diterbitkan oleh Nuansa Film Productions. Lagu ini dijangka menjadi hit dengan penangan drama di Akasia TV3 dan apatah lagi dengan sokongan daripada pengikut Instagram Marsha yang mencapai lebih 900 ribu pengikut. Begitu juga dengan Akim dan Stacy yang masing-masing mempunyai 1.6 juta dan juga 2 juta pengikut.

Selaku komposer dan juga penulis lirik pula, Cinta membawa seribu makna buat Akim dan juga isterinya Stacy. Menurut Stacy selaku komposer bersama, “Saya dan Akim memang selalu jamming bersama dan simpan lagu-lagu yang best ketika jamming. Tiba-tiba kami dapat panggilan dari Marsha bagitau dia nak kami hasilkan lagu untuk dia. Saya tanya Marsha apa arahan muzik yang dia mahukan dan dia mahukan lirik yang menggambarkan kekuatan seseorang umpama dilahirkan semula. Semasa berbincang dengan Akim, kami rasa lagu yang tercipta masa jamming kami tu mempunyai elemen yang diminta dan sesuai untuk Marsha. Apatah lagi lagu ni teknikal sikit dan memerlukan penyanyi yang boleh suara rendah dan terus pergi ke nada tinggi dan Marsha adalah orang yang paling sesuai!”

“Selepas buat lagu, kami bincang pula tentang lirik. Kami lihat lirik yang paling sesuai untuk dimasukkan dalam lagu ini adalah lirik yang puitis. Akim memang pakar menghasilkan lirik puitis dan saya biarkan dia fokus menghasilkan lirik dan akhirnya terhasil lah lagu Cinta. Kami pula sememangnya selesa bekerjasama dengan Marsha kerana dia benar-benar menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberi kerjasama yang sangat baik semasa pembikinan lagu ini. Keseluruhannya, saya dan Akim amat berpuas hati menghasilkan lagu Cinta ini. Semoga lagu Cinta ini mendapat tempat di hati penonton drama Akasia: Masih Ada Rindu,” sambung Stacy lagi.

Pada masa yang sama, Marsha juga teruja apabila lagu nyanyiannya bakal berkumandang dalam drama Akasia: Masih Ada Rindu. “Ini merupakan satu penghormatan buat saya apabila lagu Cinta dipilih untuk menjadi salah satu lagu tema bagi drama Masih Ada Rindu yang mewarnai slot Akasia. Lebih teruja apabila lagu yang dibawakan ini sangat segar dari susunan muzik dan lirik. Ini lah lagu yang ingin saya sampaikan kepada pengikut dan peminat saya. Pastinya drama ini dapat membuatkan lagu Cinta menjadi siulan ramai sekaligus memberi impak kepada penonton untuk lebih menghayati drama Masih Ada Cinta melalui melodi dan lirik. InsyaAllah.”

Suara Marsha Milan pernah menghidupkan watak Elsa dalam filem animasi Disney popular Frozen dalam versi Bahasa Malaysia dan beliau juga menyanyikan lagu tema bagi filem tersebut, ‘Bebaskan’ yang mencatatkan 2.3 juta tontonan di Youtube. Lagu single ‘Bimbang’ yang dilancarkan pada bulan Oktober 2020 turut terpilih sebagai lagu runut bunyi drama rantaian popular, Nur 2 dan mendapat hampir 1 juta tontonan di Youtube. 

Single ‘Cinta’ edaran MonkeyBone ini akan dilancarkan di semua platform digital serentak dengan tarikh siaran Akasia: Masih Ada Rindu  yang disiarkan di TV3 pada 2 Jun 2021. Drama arahan Osman Ali terbitan Nuansa Film Production ini turut menampilkan Mimi Lana dan Farid Kamil sebagai watak utama. Jangan lupa untuk mendengarkan lagu Cinta di Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music and iTunes pada hari yang sama. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *