Setiakah Cinta Zain & Ersalina Hingga Ke Hujung Nyawa?
Petaling Jaya 14 Disember 2012 – Apa sudah jadi? Pengantin perempuan lari? Kasihan pengantin lelaki, Zain Hakimi pastinya tidak keruan dan kecewa. Takut menanggung malu dan bualan buah mulut orang, Datin Adibah pula kalut mencari bakal menantu bidan terjunnya dalam masa seminggu itu. Siapa pula si mangsa malang menjadi gadis pengganti bakal menantu sah demi menjaga maruah keluarga?
Menyusuli drama siri CINTA ITU MILIKKU, saksikan pula SETIA HUJUNG NYAWA, buah tangan baru di slot Akasia karya indah arahan Emi Maziah dan nukilan skrip oleh Wan Mahani mulai 24 Disember 2012, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam. Drama bersiri 24 episod ini diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dan membariskan pelakon-pelakon popular tanahair seperti Amar Ashraf (Zain Hakimi), Nelydia Senrose (Ersalina), Zila Bakarin (Datin Adibah), Raja Ema (Puan Haliza), Talha Harith (Hadi), Sura Sojangi (Sofea) dan Hairul Azreen (Iqram).
Mengisahkan kehidupan Zain yang berubah sekelip mata setelah ditinggalkan kekasihnya, Sofea, seminggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Demi menjaga maruah keluarga dari dicaci orang, ibu Zain iaitu Datin Adibah mengambil keputusan untuk menyatukan Zain dengan Ersalina yang merupakan anak gadis kepada rakannya, Puan Haliza.
Meskipun di pandangan mata kasar Datin Adibah pertolongan yang dihulurkan oleh Puan Haliza nampak mulia, namun hakikatnya Puan Haliza mempunyai agenda tersendiri apabila dia ingin menggunakan Zain sebagai pak sanggup untuk menutup dosa Ersalina yang kini sedang hamil anak luar nikah bekas kekasihnya.
Pada awal perkahwinan, amat sukar buat Zain dan Ersalina menyesuaikan diri. Tambahan pula Ersalina masih bersikap keanak-anakan manakala Zain pula seorang yang tidak penyabar. Meskipun mereka tidak tidur sekatil dan sering berselisihan faham, namun mereka akan berlagak seperti pasangan romantis di hadapan keluarga masing-masing.
Setelah dua bulan berkahwin barulah Zain dan Ersalina mencapai persefahaman dan cinta mula berputik di antara mereka berdua. Tetapi belum sempat menikmati kebahagian rumahtangga, rahsia kehamilan Ersalina terbongkar apabila dia mengalami keguguran. Zain amat kecewa dan mula melayan Ersalina seperti sampah. Maka bermulalah babak baru kesengsaraan hidup Ersalina.
Sementara itu, Datin Adibah yang tidak menyangka Ersalina tergamak menjadikan Zain sebagai pak sanggup telah menghalau Ersalina dan menghasut Zain untuk menceraikan isterinya. Malah Datin Adibah juga telah memperkenalkan Eriza kepada Zain. Adakah Zain akan terus setia pada Ersalina atau cintanya akan beralih arah pada orang baru iaitu Eriza? Apakah kesudahan bagi cinta Zain dan Ersalina?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan SETIA HUJUNG NYAWA menerusi slot Akasia mulai 24 Disember 2012, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam, hanya di TV3! Penonton yang terlepas menyaksikan SETIA HUJUNG NYAWA boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini.