(HIBURAN) ANATOMI buah tangan terbaru FAIZAL TAHIR selepas 3 tahun

dav

6 November 2016, IOI City Mall, Putrajaya – Sejak tampil di pentas final program realiti One In A Million pada 2006, Faizal Tahir, 38, sudah menunjukkan dia bakal menjadi salah seorang penyanyi dan komposer popular tanah air. Kualiti vokal, lagu dan konsep muzik dibawakan membuktikan Faizal seorang yang cukup berbakat. Sebaik muncul dengan album sulung berjudul Aku.Muzik.Kamu setahun selepas muncul naib juara One In A Million, dia tidak menoleh ke belakang lagi.

dav

Album terbitan Audi Mok itu pantas menangkap perhatian dalam arena muzik tempatan sekali gus dinobat dengan pelbagai anugerah. Menerusi album itu, Faizal diangkat sebagai pemenang kategori Album Terbaik, Album Rock Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Dalam Album Terbaik (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM) pada 2008. Dalam Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) tahun yang sama, lagu Sampai Syurga daripada album terbabit memenangi kategori Lagu Balada Terbaik, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Bukan itu saja, Aku.Muzik.Kamu juga memberikan Faizal kemenangan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular di Anugerah Planet Muzik pada 2008 di Singapura. Album keduanya Adrenalin yang dipasarkan pada 2010 dan album ketiga berjudul Faizal Tahir (2013) terus mengukuhkan nama Faizal dalam industri muzik tempatan. Adrenalin turut diangkat sebagai Album Terbaik dan Album Rock Terbaik dalam AIM ke-17 pada 2010 selain popular dengan lagu Bencinta.

Tanpa sebarang album selepas itu, Faizal tampil dengan single Assalamualaikum pada 2014, Sayang (2015) dan Sejati tahun ini. Dalam masa sama, Faizal turut hadir dengan lagu duet seperti Faith (bersama Jaclyn Victor), Inspirasi (bersama Hafiz Suip), Setia (bersama Elizabeth Tan dan popular sebagai lagu tema drama bersiri Mencintaimu di TV3) serta yang terbaru Dirgahayu (bersama Datuk Siti Nurhaliza) dan Negaraku (bersama Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne).

Dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 tahun ini, Faizal juga telah dicalonkan dalam lima kategori termasuklah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) untuk lagu Sejati, Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu (Setia duet dengan Elizabeth Tan), Lagu Pop Terbaik (Assalamualaikum dan Sejati), dan juga Susunan Muzik Tebaik Di Dalam Lagu (Assalamualaikum) yang di gubah oleh Omar K dan juga Ezra Kong.

Selepas hampir tiga tahun tanpa sebarang album, Faizal akhirnya tampil dengan album keempat berjudul Anatomi yang telah dipasarkan pada 4 November 2016. Apa yang pasti, Anatomi tampil berbeza berbanding tiga albumnya sebelum ini. Ia juga album pertama Faizal bersama Warner Music Malaysia selepas berhijrah dari Monkey Bone Records.

“Dalam album ini saya juga bekerja dengan pasukan yang berbeza. Jika sebelum ini saya bersama Audi Mok, kali ini saya bersama komposer sedang meningkat iaitu Mike Chan dan Ezra Kong. Kami bersama-sama menerbitkan album ini. Baik dari segi penciptaan lagu, gubahan muzik, lirik termasuk kerja-kerja produksi, semuanya kami lakukan bersama. Saya mahu semuanya terbabit dalam pembikinan album ini,” kata Faizal. Selain Mike dan Ezra, album ini masih lagi menggunakan khidmat Audi dan Omar K selaku penerbit.

sdr

Anatomi menampilkan tujuh lagu termasuk single Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia. Tiga lagi lagu baru yang dimuatkan ialah Suriram, Menang dan Bukan Yang Pertama. Di samping itu, ia turut memuatkan bonus track iaitu Dirgahayu, Negaraku dan tiga versi Assalamualaikum iaitu versi Anugerah Bintang Popular BH 2014, Anugerah Juara Lagu ke-30 dan akustik.

Faizal menyifatkan album Anatomi mengalami pelbagai rencah mengenai kehidupan dan perhubungan. Antaranya mengenai hubungan manusia dengan Tuhan, isteri, anak dan kekasih. Sebagai contoh, lagu Sayang lebih kepada hubungan dengan anak dan Setia dengan kekasih.

“Mungkin ada yang keliru dengan lagu Suriram sama ada saya menyanyikan semula lagu tradisional kanak-kanak iaitu Suriram Ram Ram. Ia sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan lagu itu, ia cuma lagu baru yang mengisahkan mengenai seorang wanita. “Suriram mengisahkan mengenai seorang wanita yang pernah hadir dalam hidup sesiapa, tetapi dia berlalu begitu saja. Samalah juga dengan lagu tradisi itu yang kita hanya dengar sesekali saja sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai lagu kegemarannya, Faizal berkata, dia tertarik dengan lagu Bukan Yang Pertama. Menurutnya, bukan lagu lain tidak menarik, tetapi Bukan Yang Pertama membawa maksud mendalam dalam dirinya.

“Ia berlaku setiap hari dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita suka menilai seseorang berdasarkan kisah hitamnya pada masa silam. Saya rasa ia satu tindakan tidak wajar kerana semua orang harus diberi peluang untuk berubah jika mereka pernah melakukan kesalahan” katanya.

Umum mengetahui album-album Faizal sebelum ini sinonim dengan muzik rock. Namun, kali ini Faizal dilihat lebih terbuka dalam soal muzik. Katanya, apa yang terkandung dalam Anatomi ialah sesuatu yang dia mahu lakukan sebelum ini,tetapi tidak dapat dilakukan.

“Bersama pasukan baru ini, saya dapat lebih berekperimentasi dengan muzik. Ini antara perkara-perkara yang tak dapat saya lakukan sebelum ini,” katanya yang banyak mengambil pengaruh muzik daripada The Beatles, Queen, Michael Jackson dan John Mayer. Faizal berkata, album ini juga cukup dekat dengannya memandangkan dia terbabit hampir 100 peratus dalam pembikinan album ini.

Anatomi yang mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan dirakamkan di Studio Faithful Music dan Studio Fuse.

Album ‘Anatomi’ oleh Faizal Tahir ini merupakan sebuah edaran oleh Warner Music Malaysia Sdn Bhd. Anda juga sudah boleh dapatkan album ini di kesemua digital platform seperti di iTunes, Spotify, Yonder, Joox dan juga KKBox bermula 4 November 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *