(SEMASA) BERSAMA BOH, SENYUMAN ANDA MEMBAWA MAKNA SEMPENA HARI TEH SEDUNIA 2022

Spread the love

Tahun ini, dalam kita meraikan Hari Teh Sedunia pada 21 Mei, BOH menyeru anda untuk sama-sama menyumbang untuk alam semulajadi kita! Setiap tahun, Hari Teh Sedunia disambut di negara pengeluar teh untuk meraikan sajian minuman yang bukan sahaja antara tertua di dunia, tetapi juga yang paling banyak diminum di seluruh dunia, selain air. Ia juga bertujuan menekankan kesedaran tentang impak perdagangan teh global buat para pekerja dan penanam, di samping menyokong sistem perdagangan adil dalam industri tersebut.

Di Malaysia, dengan legasi yang terbenih sejak 1929 lagi, BOH, penanam dan pengeluar teh terkemuka di negara kita sentiasa menyambut hari istimewa ini dengan meraikan barisan wira-wira di sebalik BOH – insan berdedikasi yang terus menanam, memproses dan membawakan teh berkualiti yang sinonim dengan BOH, tanpa mengenal lelah.

“Sebelum terbitnya matahari, setiap hari, peladang kami sudah pun berada di ladang untuk menuai dan mengusahakan 1,200 hektar ladang teh kami, serta mengendalikan pelbagai tugas berkaitan pengeluaran. Merekalah tulang belakang bagi operasi BOH. Malah, mereka adalah wira BOH yang membolehkan kami mengeluarkan 4.5 juta kilogram teh dari kilang kami setiap tahun! Ini bersamaan dengan 5.5 juta cawan teh setiap hari yang dihantar ke seluruh Malaysia dan serata dunia untuk dinikmati semua. Kami menyanjung setiap peladang kami atas semangat dan dedikasi mereka bukan sahaja pada Hari Teh Sedunia, tetapi penghargaan ini dihayati setiap hari,” kata Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn Bhd.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, BOH telah mengangkat Hari Teh Sedunia sebagai wadah untuk menzahirkan komitmen yang berterusan terhadap program Tanggungjawab Korporat di bawah sokongan BOH.

“Masa depan yang mampan sentiasa menjadi keutamaan utama bagi BOH. Kami sedar bahawa faktor kejayaan kami juga disumbang oleh alam semulajadi yang melahirkan persekitaran terbaik untuk teh kami, dan haruslah dilindungi untuk generasi akan datang. Kejayaan jenama BOH yang berterusan juga menjamin masa depan yang lestari untuk pekerja kami. Inilah antara sebab yang mendorong BOH untuk terus bergiat aktif bersama pelbagai NGO alam sekitar dan menyokong inisiatif mereka yang wajar diberi perhatian,” tambah Foo.

Sempena Hari Teh Sedunia 2022, BOH menyeru semua pencinta teh BOH dan juga orang ramai untuk menyumbang jasa untuk alam sekitar kita, dengan cara yang lain daripada yang lain. Apa yang diperlukan hanyalah tiga 3 langkah mudah – SENYUM, KLIK & KONGSI, dan senyuman anda bakal membawa makna yang berharga untuk sambutan Hari Teh Sedunia BOH.

Caranya, ambil foto terbaik anda sambil menghirup kenikmatan teh BOH penuh Ummph, direneh dari dauh teh terbaik dan dibawa segar dari kebun teh ke cawan teh anda – dihasilkan oleh peladang teh BOH kami yang cukup berdedikasi.

“Ketika mengambil foto, bayangkanlah kesungguhan wira-wira kami di fikiran anda. Dengan setiap hirupan, anda akan dapat merasai Ummph yang sebenar apabila mengenangkan teh yang anda nikmati itu telah dituai dan dihasilkan istimewa, hasil air tangan peladang kami sendiri,” kata Foo.

Kongsikan foto anda di halaman media sosial anda selewatnya 5 Jun 2022, yang juga merupakan Hari Alam Sekitar Sedunia. Tag @bohteamalaysia di Facebook dan Instagram dan pastikan tetapan privasi anda ditetapkan ke mod awam. Bagi setiap foto yang diterima, BOH akan menyumbang RM 5 kepada Pusat Alam Sekitar Global (GEC), sebuah NGO alam sekitar yang disokong oleh BOH, ke arah usaha memelihara keindahan hutan paya gambut kita.

Harapan BOH adalah untuk menerima sekurang-kurangnya 2,000 foto dan dapat menyumbang ke arah usaha berterusan GEC untuk memperjuangkan aktiviti pemuliharaan di lapangan, berasaskan komuniti setempat. Selain itu, BOH juga berhasrat untuk mengumpulkan kesemua foto yang dihantar oleh orang ramai, ke dalam sebuah kolaj, di mana perancangan lanjut akan diumumkan kemudian.

Pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Encik Faizal Parish, melahirkan rasa terima kasihnya buat BOH yang sudi memanjangkan dan meneruskan sokongan terhadap inisiatif GEC. “Kerjasama korporat seperti yang kami jalinkan bersama BOH buat bertahun lamanya, memainkan peranan penting dalam membantu kami merealisasikan pelbagai inisiatif untuk melindungi planet kita, satu-satunya ‘rumah’ kita di dunia ini. Sumbangan dana daripada aktiviti Hari Teh Sedunia BOH telah hadir tepat pada masanya, untuk membantu usaha pemulihan hutan dan pencegahan kebakaran sepanjang musim kemarau ini,” tambah Faizal.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *