(SEMASA) KEMPEN KITA MALAYSIA #BAIKSEMULA SEBARKAN SEMANGAT DAN INSPIRASI  DALAM MENYAMBUT BULAN KEBANGSAAN 2021 

Petaling Jaya, 19 Ogos 2021 – Setiap kali menjelang bulan Ogos, pastinya negara kita meriah dengan kibaran Jalur Gemilang di merata tempat. Walaupun kali ini menjadi tahun kedua kita menyambutnya secara sederhana akibat penularan virus Covid-19, namun sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak pernah luntur. Bersempena dengan hari paling istimewa ini, Media Prima Berhad mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit dan tabah berhadapan cabaran ini menerusi Kempen Kita Malaysia #BaikSemula. 

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, “Seiring dengan Kempen Kita Malaysia #BaikSemula, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) mengaktifkan semula lagu #BaikSemula ciptaan Faizal Tahir yang kami perkenalkan pada awal tahun ini. Muzik video #BaikSemula versi baharu dihasilkan untuk memberi lebih impak dalam menyemarakkan kempen ini dan ia boleh ditonton di YouTube Alternate Records & Talents bermula hari ini. Kami yakin lagu boleh mengubati duka, boleh membangkitkan semangat dan memberi harapan kepada semua. Sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia berdiri kukuh untuk masa hadapan negara. Percayalah kita pasti dapat mencapai imuniti kelompok dan keadaan akan baik semula tidak lama lagi.” 

“Sepanjang tempoh kempen ini, pelbagai genre program menarik telah disusun dari berita, keagamaan, bual bicara, majalah sehingga ke drama untuk memberi inspirasi dan menyuntik semangat ke dalam sanubari kita,” tambah Dato’ Khairul lagi. 

Sejak dilancarkan, lagu #BaikSemula dinyanyikan oleh Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju (K-Clique) menerima sambutan yang amat menggalakkan. Muzik video #BaikSemula bertujuan memberi penghargaan kepada para petugas hadapan yang komited menggalas tugas masing-masing dan usaha komuniti yang menghulurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan teruk. Ia juga menyuntik semangat dan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kita pasti akan baik semula dengan menyahut saranan untuk mendapatkan vaksin dan amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kehidupan harian. 

Muzik video #BaikSemula berdurasi 30 saat sedang rancak disiarkan menerusi semua platform Media Prima Berhad. Video penuh #BaikSemula berdurasi 3 minit kini boleh ditonton di YouTube Alternate Records & Talents bermula 17 Ogos 2021. 

FAIZAL TAHIR , JACLYN VICTOR , SITI NORDIANA , TUJU – KITA MALAYSIA #BAIKSEMULA

Inisiatif #BaikSemula dilanjutkan lagi dengan kolaborasi istimewa bersama-sama TikTok, platform perkongsian video terbesar di China. Kami ingin mengajak anda untuk sama-sama menyebarkan semangat dan inspirasi anda kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menyertai cabaran #BaikSemula di aplikasi TikTok hingga 31 Ogos. Inilah masanya untuk anda tonjolkan bakat anda di TikTok! Lip Sync lagu #BaikSemula dan 20 video paling kreatif akan berpeluang untuk memenangi hadiah istimewa. Nantikan juga versi istimewa Muzik Video TikTok #BaikSemula berdurasi 1 minit yang menampilkan 100 artis TikTok bermula 23 Ogos nanti. 

Lebih menarik, TV3 bakal menyiarkan program bual bicara istimewa Malam #BaikSemula pada 28 Ogos 2021 dari pukul 10.00 malam hingga 11.30 malam yang dihoskan oleh Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana. Sambutan Hari Kebangsaan 2021 menjadi lebih bermakna apabila program ini turut memberi penghargaan tinggi kepada barisan petugas hadapan yang komited dengan amanat yang diberikan dan atlet negara di sukan Olimpik Tokyo 2020. Antara tetamu yang akan ditemu bual ialah Dato’ Azizulhasni Awang, Alif Satar, Aina Abdul, Khai Bahar, Shuib Sepahtu, Ismail Izzani dan ramai lagi. 

Sama-sama kita meriahkan Kempen Kita Malaysia #BaikSemula dan kibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, kenderaan atau di mana sahaja sebagai rasa sayang kepada negara kita Malaysia. Nantikan juga sajian program-program menarik sepanjang bulan Kebangsaan di TV3, TV9, 8TV dan ntv7.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, TV9, 8TV & ntv7 layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia @TV9Malaysia @8tvchinese @ntv7Malaysia Gunakan #KitaMalaysia #BaikSemula untuk menghangatkan lagi perbualan di laman media sosial. 

-Tamat – 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *