(SEMASA) Pemenang Anugerah LafargeHolcim 2017 rantau Asia Pasifik

Spread the love

November 24, 2017 – Pembangunan yang mampan di Asia Pasifik juga membawa makna pembangunan untuk masyarakat. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai projek yang memenangi anugerah peringkat serantau LafargeHolcim Awards yang disampaikan di Kuala Lumpur, Malaysia. Tiga pemenang utama adalah projek berkaitan pendidikan – yang melibatkan masyarakat dan menambahbaik kehidupan mereka secara mampan.

Anugerah LafargeHolcim lebih dari sekadar menghargai bangunan-bangunan menarik. Ia adalah pertandingan tersohor bagi rekaan lestari dan mampan. Kriteria utama anugerah bernilai AS$2 juta ini sama mencabarnya dengan matlamat mampan itu sendiri. Pertandingan ini menilai rekaan projek yang telah berada di peringkat lanjutan, bukan projek yang telah disiapkan. Ia memberi penghargaan kepada rekaan yang melangkaui piawaian semasa, menampilkan tindak balas mampan terhadap isu-isu teknologi, alam sekitar, sosioekonomi, serta budaya yang mempengaruhi pembinaan kontemporari, dan memberikan penyelesaian yang berwawasan terhadap kaedah membangun sesuatu projek.

 

Menentukan Kemampanan

Fasa pertama Anugerah LafargeHolcim Awards mengambil tempat di lima rantau, seterusnya membawa kepada fasa global untuk pemenang-pemenang serantau. Rantau Asia Pasifik khususnya sangat pelbagai dan beragam daripada segi budaya, negara dan iklim. Ini dapat dilihat pada lebih 1,100 projek yang menghantar penyertaan. Juri Marc Angélil, Professor Senibina dan Rekaan dari Swiss Federal Institute of Technology (ETH Zurich), menerangkan bagaimana “isu sasaran” untuk pembinaan mampan, yang ditetapkan oleh Yayasan LafargeHolcim dan universiti bersekutunya, membolehkan projek-projek yang pelbagai ini dibandingkan dan disenaraikan. “Isu sasaran” tersebut mendefinisikan prinsip kemampanan secara holistik, serta bebas dari jenis projek dan skalanya. Marc Angélil juga mencatatkan kualiti penyertaan yang tinggi. “Kemampanan semakin menyeluruh, sistematik dan spesifik – anda perlu menghantar penyertaan yang betul-betul istimewa untuk menonjol!”

 

Emas: Rumah Untuk Kanak-Kanak Terpinggir di India

atArchitecture dari Mumbai, India, merancang untuk menggantikan rumah perlindungan kanak-kanak terpinggir yang daif di Thane, sebuah kota yang terletak di barat India.  Dengan konsep bangunan yang disusun dengan baik dan reka bentuk yang mesra kanak-kanak, para arkitek telah mencapai matlamat kemampanan seni bina dan sosial. Pusat ini turut menempatkan aktiviti masyarakat untuk warga emas, pusat latihan untuk wanita serta pusat jagaan bayi. “Cadangan mereka melangkaui aspek kemampanan sosial dengan memasukkan teknologi bangunan pasif, reka bentuk inovatif, serta model ekonomi yang berdaya maju,” puji juri tersebut.

Perak: Perpustakaan Mikro di Indonesia

Promosi dan penyebaran pengetahuan adalah tema berulang dalam Anugerah LafargeHolcim – dan tema ini ditekankan sekali lagi dalam projek oleh SHAU dari Bandung, Indonesia. Pavilion di dalam taman mereka minimalis kerana ia disusun dengan baik – menyediakan bukan sahaja perpustakaan awam, tetapi juga kemudahan penyimpanan, tandas awam, dan surau. “Projek ini terbuka di semua taman sekitarnya, sekaligus menjemput masyarakat untuk memasuki dan meneroka. Ia turut membina sebuah mercu tanda wilayah yang menekankan literasi masyarakat, “kata juri.

Gangsa: Bangunan Universiti Terapung di Bangladesh

WOHA dari Singapura berhasrat memperkenalkan bangunan dan ruang terbuka di tanah paya yang dibaikpulih di Dhaka, Bangladesh. Mereka merancang sebuah bangunan universiti terapung di atas kolam – dan reka bentuk keseluruhan yang turut menyokong pembersihan kolam tersebut. Dengan “facade” taman yang menegak, panel fotovoltaik, dan pengudaraan terkawal, projek ini mampu menjadi penanda aras bagi kelestarian di rantau Asia Pasifik. “Kemampanan sangat terintegrasi ke dalam reka bentuk bangunan, dari zon haba ke pengurangan ketara dalam penggunaan tenaga dan air,” jelas juri.

Hadiah Penghargaan: Untuk manfaat komuniti

Dalam Anugerah LafargeHolcim serantau, empat projek di setiap rantau menerima hadiah Penghargaan. Arkitek pppooolll dari Jakarta, Indonesia, merancang untuk mempromosikan pertanian organik di pedalaman Jawa dengan pusat latihan untuk petani muda. Kumpulan dari Universiti Tsinghua dan Universiti Kejuruteraan Awam & Senibina Beijing di China pula mencadangkan strategi untuk memperbaiki daerah bersejarah di Beijing dengan sokongan penduduk setempat. Satu pasukan dari Institut Teknologi Massachusetts di Cambridge, MA, Amerika Syarikat, telah merangka bangunan pelbagai fungsi yang tahan gempa untuk penyimpanan air dan penggunaan awam di Thecho, Nepal. Selain itu, Bangkok Project Studio dari Thailand mencadangkan hab komuniti di Rayong, Thailand, yang melipatgandakan peluang untuk aktiviti budaya dan masyarakat di kampung.

Hadiah Generasi Hadapan: Masa depan adalah di tangan mereka

Empat hadiah telah dianugerahkan dalam kategori Generasi Hadapan yang semakin popular di kalangan pelajar dan profesional sehingga 30 tahun. Kategori ini bertujuan untuk mencari projek berwawasan dan idea-idea yang berani, sekaligus memberi pendedahan kepada profesional muda serta platform untuk mereka mendapat pengiktirafan. Yang pertama dari empat hadiah Generasi Hadapan di rantau ini dianugerahkan kepada Mengyuan Zhu dari China. Beliau telah membangunkan model untuk mengubah dan memulihkan kampung Guming berhampiran Nanjing. Hadiah kedua diperoleh oleh Vedhant Maharaj dari Afrika Selatan. Beliau mereka infrastruktur rawatan air yang peka kepada budaya Varanasi, India. Andi Subagio dari Indonesia pula menerima hadiah ketiga dalam kategori ini. Beliau mereka sekolah pelbagai fungsi di Ruteng, Indonesia. Hadiah keempat diberikan kepada Tzu-Jung Huang dari Taiwan. Beliau mengkaji hubungan antara zon maju dan sistem ekologi di Taichung City, Taiwan.

Dari projek ke realiti: Perpustakaan komuniti dan pemulihan sosial

Tahun ini merupakan kali kelima Anugerah LafargeHolcim dilaksanakan. Sejak bertahun-tahun, lebih daripada 200 projek telah diberi anugerah di seluruh dunia. Lebih daripada separuh projek yang meraih kemenangan telah siap dibina atau dijadualkan untuk disiapkan tidak lama lagi. Oleh itu, Anugerah LafargeHolcim bukanlah sebuah angan-angan atau “castles in the air” tetapi mengenai langkah ketara yang memajukan sains pembinaan. Aspek perubahan ketara ini diperkukuhkan lagi dengan anugerah yang pertama kali diberikan pada tahun 2017: “LafargeHolcim Building Better Recognition”. Ianya dianugerahkan kepada projek yang telah menang pada persaingan sebelum ini, telah direalisasikan dan tahan diuji masa sebagai contoh pembangunan yang mampan.

Di Asia Pasifik, penghargaan ini diberikan kepada Robust Architecture Workshop di Colombo, Sri Lanka, diwakili oleh Milinda Pathiraja. Reka bentuk mereka untuk sebuah perpustakaan komuniti di Ambepussa, Sri Lanka, yang dibina dengan sokongan bekas tentera yang terlibat dalam perang saudara, memperlihatkan bahawa konsep “mengubah pedang menjadi sebilah bajak” dapat direalisasikan hingga hari ini. Projek ini menerima Anugerah Gangsa LafargeHolcim serantau untuk Asia Pasifik pada tahun 2014 dan Anugerah Perak LafargeHolcim Global pada tahun 2015. Hari ini, perpustakaan tersebut adalah sumber pengetahuan untuk veteran tentera dan masyarakat setempat. Kaedah pembinaannya juga dipilih secara khusus untuk membantu peralihan dari kehidupan tentera ke kehidupan awam.

 

Hadiah membantu menjadikan “common sense” sesuatu yang lumrah

Peningkatan minat para arkitek, jurutera, perancang bandar, dan pemaju membuktikan bahawa konsep kemampanan telah ditanam sebagai satu “common sense” dan lumrah dalam industri pembinaan. Pusingan kelima pertandingan ini telah mendapat lebih daripada 5,000 penyertaan dari 121 negara, dimana 3,606 penyertaan sah, dan lebih daripada separuh daripada mereka lulus fasa pra-pemeriksaan. Mereka kemudian dilanjutkan ke pusingan penilaian kualitatif oleh lima juri pakar bebas di rantau Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin, Afrika Timur Tengah, dan Asia Pasifik.

Juri tersebut menilai projek berdasarkan lima “isu sasaran” untuk pembinaan mampan yang ditetapkan oleh Yayasan LafargeHolcim – prinsip yang menentukan pembinaan mampan secara holistik. Pemenang Emas, Perak, dan Gangsa dari setiap rantau akan bersaing untuk Anugerah Global LafargeHolcim pada tahun 2018.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah LafargeHolcim 2017, ahli juri, dan projek pemenang hadiah, termasuk imej resolusi tinggi, layari www.lafargeholcim-foundation.org

LafargeHolcim Foundation for Sustainable Construction, Switzerland:
+41 58 858 82 92; info@lafargeholcim-foundation.org

 

 

Pemenang Anugerah LafargeHolcim 2017 Asia Pasific

 

Anugerah Emas LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Rumah untuk kanak-kanak terpinggir di Thane, India: Bertempat di lokasi urban yang padat, projek ini menempatkan anak-anak yatim dalam bangunan vertikal yang menyenangkan dan mesra kanak-kanak. Oleh Avneesh Tiwari dan Neha Rane, atArchitecture, Mumbai, India.

Anugerah Perak LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Pusat pembelajaran, Bandung, Indonesia: Dengan menggunakan kaedah pembinaan sederhana, perpustakaan mikro ini menggalakkan minat membaca secara kreatif di kalangan masyarakat setempat di Indonesia. Oleh Daliana Suryawinata dan Florian Heinzelmann, SHAU, Bandung, Indonesia.

Anugerah Gangsa LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Kampus universiti BRAC, Dhaka, Bangladesh: Merawat tanah paya yang tercemar dan membina bangunan universiti baru di atasnya, projek ini menambah ruang terbuka dan pembinaan di bandar. Oleh Mun Summ Wong, WOHA, Singapore.

Anugerah Penghargaan LafargeHolcim Awards 2017 Asia Pasifik

Pusat latihan untuk pertanian organik di Parung, Jawa Barat, Indonesia: Kebun organik dan pusat vokasional di pinggiran wilayah metropolitan Jakarta. Oleh Kamil Muhammad dan Brahmastyo Puji, pppooolll, Jakarta, Indonesia.

Anugerah Penghargaan LafargeHolcim Awards 2017 Asia Pasifik

Regenerasi urban di Beijing, China: Transformasi kejiranan bersejarah secara minimum untuk kesan maksimum. Oleh Yue Zhang, Liying Wu, Peiming Li, Cong Nie, Mengxing Cao dan Yue Wang, Universiti Tsinghua; dan Shimeng Hao, Universiti Kejuruteraan Sivil dan Senibina Beijing, kesemua di Beijing, China.

Anugerah Penghargaan LafargeHolcim Awards 2017 Asia Pasifik

Ruang awam pelbagai fungsi, Thecho, Nepal: Kemudahan rawatan air dan takungan diolah dengan infrastruktur social. Oleh Miho Mazereeuw, David Moses, Aditya Barve, Larisa Ovalles dan Hugh Magee, Institut Teknologi Massachusetts, Urban Risk Lab, Cambridge, MA, USA.

Anugerah Penghargaan LafargeHolcim Awards 2017 Asia Pasifik

Dewan perbandaran Ban Chang, Rayong, Thailand: Pavillion surrealistik yang menjadikan produk sisa tempatan menjadi sumbangan tahan lama kepada masyarakat. Oleh Boonserm Premthada, Bangkok Project Studio, Bangkok, Thailand.


 

Pemenang Pertama Anugerah Generasi Hadapan LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Transformasi kampong di Guming berhampiran Nanning, China: Pertumbuhan bandar yang rendah, berketumpatan tinggi. Oleh Mengyuan Zhu, Southeast University, Nanjing, China.

 

Pemenang Kedua Anugerah Generasi Hadapan LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Infrastruktur rawatan air, Varanasi, India: Kemudahan penapisan air serta menyediakan ruang awam di tebing Sungai Ganges. Oleh Vedhant Maharaj, Rebel Base Collective, Johannesburg, South Africa.

 

Pemenang Ketiga Anugerah Generasi Hadapan LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Bukan sekadar kemudahan pendidikan – ia hab untuk pelbagai aktiviti masyarakat dan latihan vokasional di kepulauan Flores. Oleh Andi Subagio, SASO, Jakarta, Indonesia.

Pemenang Keempat Anugerah Generasi Hadapan LafargeHolcim 2017 Asia Pasifik

Meneroka ekosistem yang berdaya tahan, Taichung, Taiwan: Meneroka stok bahan dan aliran pada pelbagai skala sebagai alternatif kepada kaedah utama pembangunan bandar. Oleh Tzu-Jung Huang, Feng Chia University, Taichung City, Taiwan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *