(SEMASA) Pencipta Kini Boleh Mencipta dan Menjual Tema Mereka Sendiri Menggunakan “LINE Creators Themes” Baharu

Spread the love

LINE Creators Market - LINE Theme

Kuala Lumpur – 08 Mac 2016 – LINE Corporation telah mengumumkan penambahan tema dalam “LINE Creators Market”, yang membolehkan pencipta mereka dan menjual tema LINE mereka sendiri, dijadualkan pada penghujung April 2016.

 

Sebelum pelancaran perkhidmatan global dilaksanakan, garis panduan rasmi hasil ciptaan & semakan bagi pencipta tema telah diterbitkan di laman web LINE Creators Market. (Laman web rasmi LINE Creators Market : https://creator.line.me)

 

LINE Creators Market membolehkan ramai artis di seluruh dunia, termasuk Malaysia, berkongsi hasil kerja mereka dengan orang ramai. Pengembangan ini yang membenarkan para pencipta mencipta tema mereka sendiri merupakan satu ciri tambahan yang membolehkan mereka menzahirkan kreativiti masing-masing,” kata Pengurus Perhubungan Awam LINE Malaysia, Patricia Yeoh. “LINE sangat teruja dalam menyediakan platform ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pencipta, malah meningkatkan pengalaman pengguna ke satu tahap yang baharu, terutamanya kepada rakyat Malaysia.”

 

Dengan adanya tema pencipta, sesiapa sahaja yang mempunyai akaun LINE, sama ada individu ataupun syarikat, boleh mencipta tema[2] LINE, yang mana selepas lulus proses semakan, boleh dijual kepada pengguna LINE di seluruh dunia melalui kedai aplikasi tema LINE dan LINE STORE (https://store.line.me/). Harga tema boleh ditetapkan oleh pencipta sama ada pada kadar 150 LINE Coins (kira-kira RM12.24[3]), 200 LINE Coins (kira-kira RM16.33), atau 250 LINE Coins (kira-kira RM20.42). Selepas ditolak (30%) yuran pengendalian untuk App Store dan Google Play, 50% daripada jumlah baki (35% daripada jumlah jualan) akan dibayar kepada pencipta[4].

 

 

Tema pencipta boleh dihasilkan berdasarkan kepada gambar-gambar serta ilustrasi-ilustrasi. Memandangkan terdapat pelbagai elemen grafik, seperti latar belakang, ikon dan butang menu, dihasilkan sebagai bahagian berasingan dan disatukan ke dalam sebuah set, pencipta bebas untuk menukar idea mereka menjadi tema. Bagi pengguna-pengguna yang telah pun mencipta stickers, mereka boleh memasukkan watak-watak ciptaan mereka ke dalam tema, sekaligus mewujudkan dunia yang lebih mendalam bagi watak berkenaan, dengan mengambil kesempatan terhadap hakikat bahawa tidak seperti stickers individu, sesebuah tema antara muka akan dipapar secara berterusan apabila digunakan. Para artis serta penghibur boleh memaparkan watak-watak atau karikatur-karikatur ke dalam aktiviti promosi dan pemasaran barangan mereka.

 

LINE melancarkan garis panduan rasmi hasil ciptaan dan semakan untuk tema pencipta di laman web rasmi LINE Creators Market. Penyerahan tema untuk tujuan semakan dijangka akan bermula pada 15 April 2016, manakala penjualan tema yang diluluskan dijangka akan bermula pada penghujung April.

 

Menerusi LINE Creators Market, LINE berhasrat untuk membangunkan sebuah ekosistem yang berasaskan kepada aktiviti pencipta. LINE akan terus bergerak ke hadapan dengan menjadikan platform globalnya sebagai salah satu bahagian penting dalam infrastruktur komunikasi berasaskan telefon pintar di dunia.

 

LINE Creators Market merupakan sebuah platform yang membolehkan pengguna menjual stickers LINE yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Penjualan stickers pencipta yang diluluskan telah bermula sejak Mei 2014. Ia berjaya menarik peserta dari seluruh dunia dan pada hari ini jumlah pencipta yang berdaftar telah berkembang kepada 520,000 pengguna, dimana mereka telah menghasilkan lebih 230,000 set stickers. Malah terdapat banyak contoh dimana watak-watak yang berasal daripada stickers kini dijadikan barangan jualan atau dipaparkan dalam pelbagai bentuk perniagaan berkaitan, mengembangkan skop mereka melangkaui penggunaan asal sticker berkenaan.

[1] Jualan akan bermula di LINE STORE (https://store.line.me) pada penghujung April dan kedai tema dalam aplikasi pada Mei.

[2] Penciptaan tema memerlukan sehingga 48 grafik (termasuk saiz berbeza untuk iOS serta Android, dan semua variasi saiz yang diperlukan). Juga, pendaftaran (percuma) di LINE Creators Market diperlukan bagi membolehkan tema dan stickers dijual.

[3] Tertakluk kepada kadar pertukaran semasa: USD1 = RM4.09 pada 7 Mac 2016 (150 LINE Coins = USD2.99 200 LINE Coins = USD3.99 250 LINE Coins = USD4.99).

[4] Jumlah sebenar yang diterima adalah jumlah pembayaran tolak cukai pegangan. Peratusan cukai berbeza mengikut negara dimana pencipta dan pembeli tinggal.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *