(SUKAN) Luno Bekerjasama dengan Malaysian Football League sebagai Rakan Pelaburan Kripto Rasmi

Spread the love

Kuala Lumpur, 16 Februari 2022 — Luno, bursa aset digital yang dikawal selia terkemuka di Malaysia, hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan Malaysian Football League (MFL), sebagai Rakan Pelaburan Kripto dan penaja bersama rasmi Liga Super Malaysia, liga bola sepak terulung negara, dan Piala Malaysia, kejohanan bola sepak tahunan paling berprestij. Perjanjian kerjasama selama setahun merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain, dan pengaktifan jenama di stadium. Kerjasama ini diumumkan di sebuah majlis yang dirasmikan oleh Aaron Tang, Pengurus Negara Luno Malaysia, dan Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League.

Aaron Tang, Pengurus Negara Luno Malaysia berkata, “Kerjasama antara Luno dan MFL  merupakan satu detik besar bagi kami. Ini adalah kerjasama pertama kami dengan organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak paling berprestij di Malaysia. Liga Malaysia mempunyai lebih 13 juta peminat, maka kerjasama ini memberikan peluang besar kepada kami untuk melibatkan diri dengan khalayak yang baru dan mengangkat profil jenama kami di kalangan rakyat Malaysia yang mungkin berminat untuk menerokai dunia kriptowang. Misi kami adalah untuk meletakkan kuasa kripto ke dalam tangan semua orang dengan cara mudah diakses dan selamat, dan kerjasama ini adalah salah satu daripada langkah ke arah mencapai matlamat ini di Malaysia. Kami yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak iaitu dalam memupuk sokongan terhadap bola sepak tempatan dan pada masa sama mewujudkan peluang untuk menerokai dan melabur dalam kriptowang.”

Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League berkongsi, “Hari ini ialah hari yang bersejarah untuk bola sepak Malaysia di mana kita mengalu-alukan kerjasama rakan era baru yang membawakan imej menarik kepada Liga Malaysia dan capaian yang ditawarkan oleh Liga Malaysia kepada jenama-jenama komersial. Saya ingin mengalu-alukan rakan MFL yang terbaru iaitu Luno, bursa aset digital yang dikawal selia pertama dan terkemuka di Malaysia yang menawarkan sebuah platform selamat untuk rakyat Malaysia mula melabur dalam kriptowang. Memandangkan dunia telah pun menerima kriptowang, kerjasama ini telah membuka masa depan yang serba baru untuk keluarga rakan MFL dengan kerjasama yang amat luar biasa ini. Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia dan mempercayai kami untuk membantu mengangkat jenamanya dan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Luno.”

Kerjasama dengan MFL ini menandakan kemasukan pertama Luno ke dalam industri sukan tempatan. Luno komited untuk menyokong arena bola sepak tempatan menerusi aktiviti interaktif di antara kelab, pemain dan komuniti bola sepak. Pada masa sama, Luno turut menyokong usaha untuk mempromosikan bola sepak Malaysia dengan harapan untuk menaikkan lagi prestij bola sepak kebangsaan. Luno merancang untuk menjalinkan lebih banyak lagi kerjasama dengan rakan tempatan selaras dengan sasaran syarikat itu untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bursa aset digital yang dikawal selia terkemuka di Malaysia.

Tambahan pula, kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Luno untuk meningkatkan kesedaran mengenai kriptowang di kalangan rakyat Malaysia, mendemokrasikan akses kepada pasaran kriptowang dan menambah baik inisiatif celik kewangannya kepada khalayak yang lebih meluas. Sebagai salah satu daripada perjanjian dalam kerjasama ini, Luno akan menganjurkan sesi eksklusif yang menampilkan pakar industri di mana para peminat boleh mempelajari lebih banyak lagi mengenai celik kewangan bersama pemain bola sepak kesukaan mereka. Luno juga akan menyediakan sesi pendidikan mengenai aset digital kepada pemain bola sepak Malaysia dan pihak MFL. Matlamat Luno adalah untuk mempromosikan sebuah persekitaran kondusif di mana rakyat Malaysia boleh melabur dalam aset digital dengan cekap dan bertanggungjawab.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *