KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, pelakon dan penyanyi terkenal, Diana Danielle tampil dengan pendekatan segar menerusi kolaborasi istimewa bersama rapper meningkat naik, Francis Roman dalam single raya terbaharu berjudul “Raya Macam Mana?”.
Lagu tersebut hadir dengan rentak ceria dan moden, sekali gus membawa kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia. “Raya Macam Mana?” disampaikan dalam bentuk dialog muzik yang unik apabila Francis mengajukan persoalan mengenai sambutan Hari Raya, manakala Diana menjawab sambil menerangkan tradisi perayaan tersebut.
Menariknya, Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol proses pembelajarannya serta mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Pendekatan ini secara tidak langsung menonjolkan semangat perpaduan apabila rakyat Malaysia saling meraikan budaya antara satu sama lain.
Lagu ini juga diperkukuhkan dengan segmen rap bertenaga daripada Francis yang menambah warna kontemporari pada naskhah tersebut. Pada masa sama, mesej yang disampaikan cukup jelas bahawa sambutan Hari Raya boleh difahami dan diraikan oleh sesiapa sahaja, walaupun datang daripada latar belakang budaya yang berbeza.
Bagi melengkapkan pelancarannya, single ini turut hadir dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri. Video berkenaan memperlihatkan Diana dan Francis bersama sekumpulan rakan sekerja yang mula menghayati kemeriahan raya, daripada mengenakan baju raya, berdepan kesesakan trafik balik kampung, sehinggalah menikmati hidangan tradisi seperti nasi impit, rendang dan Snek Ku.
Babak-babak pertemuan semula keluarga dan suasana rumah terbuka yang meriah turut menjadi inti visual video tersebut, diserikan lagi dengan gerak tari santai yang dikoreograf bersama oleh Francis serta dekorasi raya berwarna-warni.
Secara keseluruhannya, “Raya Macam Mana?” bukan sekadar lagu perayaan, tetapi juga gambaran keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan bahasa bersama satu semangat yang terus menjadi identiti utama negara setiap kali Syawal menjelang.
Tonton video muzik rasmi “Raya Macam Mana?” di: https://www.youtube.com/watch?v=TOt0h9twR54

