(SUKAN) TW Racing Team Lancar Pasukan Pro Am dan Barisan Pelumba Musim 2026

Spread the love

KUALA LUMPUR, II April — TW Racing Team bakal membuka tirai musim perlumbaan 2026 dengan pelancaran rasmi pasukan, barisan pelumba serta livery baharu dalam satu majlis khas yang akan berlangsung di Top G, Publika.

Memasuki musim kedua dalam saingan Malaysian Cub Prix kategori Pro-Am, TW Racing Team tampil dengan pendekatan lebih agresif dan tersusun selepas mengutip pengalaman berharga sepanjang musim debut mereka sebelum ini. Untuk kempen 2026, pasukan mempertaruhkan tiga jentera Voge FR150, sekali gus menandakan kerjasama strategik bersama Mforce Malaysia dalam usaha memperkukuhkan prestasi pasukan di litar.

Menurut Team Principal TW Racing Team, Mohd Nizam Che Ahmad, latar belakang pasukan yang datang daripada dunia media memberi kelebihan tersendiri dalam membentuk identiti TW Racing Team.

“TW Racing lahir daripada Two Wheels Media, jadi kami melihat perlumbaan bukan sahaja dari sudut prestasi di litar, tetapi juga bagaimana keseluruhan perjalanan itu boleh dikongsi dengan peminat. Dari paddock, ke pit, hingga ke perkembangan pelumba, semua ini adalah sebahagian daripada cerita yang kami bina.

Pada masa yang sama, musim pertama memberi kami banyak pelajaran penting dalam membina asas pasukan. Untuk 2026, kami datang dengan arah yang lebih jelas, bukan sahaja untuk menjadi lebih kompetitif, tetapi juga untuk berkembang sebagai platform ang menghubungkan perlumbaan dengan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Team Manager Rosmaza bin Rami menegaskan fokus utama pasukan musim ini adalah kepada pengurusan pelumba serta aspek teknikal yang lebih terperinci.

“Dari sudut pengurusan pasukan, fokus kami adalah untuk memastikan setiap pelumba mendapat sokongan yang optimum, daripada persiapan jentera, setup, hingga kepada strategi perlumbaan. Setiap detail memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi di litar.

Kami juga memberi penekanan kepada pembangunan pelumba secara berperingkat, supaya mereka bukan sahaja kompetitif dalam jangka pendek, tetapi juga berkembang dalam jangka masa panjang. Untuk musim ini, kami lebih bersedia dari segi teknikal dan operasi,” jelas beliau.

Bagi musim 2026, TW Racing Team mempertaruhkan gabungan pelumba berpengalaman dalam saingan cub prix dan perlumbaan endurance.

Gabungan pelumba muda dan berpengalaman seperti Muhd Harith Rosmaza, Muhd Haziq Rosmaza dan Muhd Alaff Hairulnizan memberi dimensi seimbang kepada pasukan. Mereka bukan sahaja membawa rekod pencapaian tersendiri, tetapi juga potensi untuk berkembang dalam struktur pasukan yang lebih sistematik.

TW Racing Team turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang bersama pasukan bagi musim 2026 termasuk Mforce Malaysia (Voge), Skutahub, Igol, RCB, UMA Racing, Motorworld (Taichi dan Yohe), Koyoko, Samurai Paint, TuneBoss, LPRG, Brisk serta beberapa rakan industri lain yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan pasukan.

Majlis pelancaran di Top G, Publika ini dijangka menjadi platform memperkenalkan identiti baharu TW Racing Team menjelang musim 2026, sekali gus menandakan komitmen pasukan untuk terus berkembang sebagai salah satu pasukan perlumbaan yang aktif dalam pembangunan pelumba serta kandungan motorsport tempatan.

Dengan jentera Voge FR150, barisan pelumba berpengalaman serta sokongan rakan strategik industri, TW Racing Team kini bersedia untuk mengharungi musim baharu Malaysian Cub Prix dengan semangat dan keyakinan yang lebih tinggi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *