Bertempat di The Hall, Kl Gateway Mall telah berlangsungnya resepsi perkahwinan penyanyi Era 90an, Yana Yunus atau nama sebenarnya Kameliana binti Mohd Yunus bersama pasangannya Muhammad Raj Abdul Qayyum. Majlis ini diadakan bagi meraikan kedua-dua belah keluarga pengantin dan rakan taulan serta turut sama dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan artis yang seangkatan dengan beliau yang turut juga meyumbangkan suara bagi persembahan nyanyian di majlis tersebut. Yana Yunus dan Muhammad Raj telah diijabkabulkan pada bulan April yang lalu namun majlis resepsi hanya dibuat pada bulan September akibat kekangan masa dan urusan perniagaan.
Setelah 10 tahun tidak aktif dalam dunia hiburan secara serius kerana terikat dengan komitmen dengan perkahwinan terdahulu, Yana Yunus telah kembali membuat kemunculan semula menerusi single baru berjudul ‘Sahabat’ yang turut diperdengarkan di majlis resepsi tersebut.
Yana Yunus dahulunya merupakan bekas penyanyi yang pernah berduet bersama kumpulan Babylon. Beliau bukanlah nama baharu dalam bidang nyanyian kerana pernah dilamar sebagai artis rakaman Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) ketika berusia 15 tahun untuk diperkenalkan sebagai penyanyi dangdut dan pernah mengeluarkan album penuh ‘Demi Cinta’ menggunakan duit simpanan sendiri dan terlibat dalam beberapa kompilasi album dengan beberapa artis tempatan.
Ditanya mengenai kehilangan beliau selama 10 tahun ini, Yana menjelaskan beliau meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi di hotel dan kelab dan selepas itu beliau aktif menjalankan perniagaan ‘home SPA’ dan mengeluarkan produk seperti Lip Mate dan bengkung kesihatan dan ketika pandemik Covid-19, Yana yang berstatus ibu tunggal dua anak berusaha mencari rezeki menerusi pelbagai jenis perniagaan antaranya pembekalan dan penyediaan makanan.