Senario kutipan yang tidak menentu kebelakangan ini bukan penghalang buat penggiat filem kita terus berkarya dalam memartabatkan industri perfileman tanah air. Dalam kerancakan penggiat filem tempatan menghasilkan pelbagai filem komersial, tidak banyak naskhah yang mengangkat tema budaya dan kemasyarakatan yang sepatutnya menjadi teras identiti filem Malaysia. Atas kesedaran itu, pendatang baru dunia perfileman, Business Leader Film Production Sdn Bhd menyahut cabaran itu dengan menampilkan kelainan menerusi filem cereka sulung mereka berjudul Laga.
Meletakkan kepercayaan kepada pengarah berpengalaman, Ismail Yaccob sebagai peneraju utama, Laga mempertaruhkan cereka aksi drama dan cinta yang diwarnai senario sabung ayam di kalangan masyarakat desa.
Laga ternyata bukan sembarangan cerita. Berlatarkan dunia sabung ayam yang masih menjadi budaya hidup sebahagian masyarakat kampung, skrip nukilan Jamal Ismail ini sarat dengan elemen dramatik, aksi dan percintaan yang tersendiri.
Menerusi penterjemahan lakonan berkesan daripada gabungan bintang baru dan lama iaitu Eman Manan, Nasir Bilal Khan, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifli, Marsha Milan Londoh dan Rosyam Nor, Laga adalah sebuah karya yang unik dan berbeza.
Laga tidak hanya dibarisi bintang-bintang hebat dan berbakat, malah kekuatan filem yang menelan kos sebanyak RM2.8 juta ini terletak pada tema dan plot yang memartabatkan budaya dan resam hidup masyarakat Melayu, panorama indah desa dan subjek sabung ayam yang jarang dipaparkan di layar perak.
Kini, penantian umum bakal terjawab apabila filem yang menjalani penggambaran pada Oktober 2012 selama 48 hari ini dijadual menemui penonton pada 23 Januari 2014.
Sinopsis LAGA
Berlatarkan sebuah perkampungan, LAGA menyingkap kisah dan maruah seorang lelaki Hasan Laga (Wan Hanafi Su) yang diperakui kehebatannya melahirkan anak didik dalam pertandingan sabung ayam yang tiada tolok banding.
Selama lima tahun, musuh ketat Hasan Laga iaitu Orang Kaya Dasuki (Nasir Bilal Khan) tidak pernah dapat menundukkannya di medan sabung.
Tanpa dijangka, pada satu hari dalam satu pertarungan di medan sabung, Orang Kaya Dasuki berpeluang mencabar ketokohan dan mencalar maruah Hasan angkara rencana paling licik.
Dalam pertarungan maruah itu, Ayu (Marsha Milan Londoh) isteri Hasan Laga yang muda jelita menjadi cagaran.
Bagaimanapun, situasi meruncing apabila helah kotor Orang Kaya Dasuki berjaya dihidu dan dipatahkan anak didik Hasan yang paling berbakat, Sabri (Syazwan Zulkifli).
Maruah Hasan diselamatkan tetapi kejadian itu membuka kepada konflik lain. Kecekapan Sabri sebenarnya member petanda buruk yang sekaligus membawa ancaman besar kepada tokoh laga itu.
Perhatian dan sanjungan masyarakat mula beralih arah daripada si guru kepada si murid. Konflik makin kusut apabila dalam diam, Ayu mulai jatuh cinta pada Sabri.
Bagai singa tua yang cedera, Hasan Laga menggagahkan diri untuk bangkit dengan satu rancangan terakhir demi mengembalikan maruah dan kelelakiannya.
Nota produksi LAGA
Judul: Laga
Genre: Aksi, drama, cinta
Durasi: 90 minit
Klasifikasi: 18
Tayangan: 23 Januari 2014
Syarikat produksi: Business Leader Film Production Sdn Bhd
Syarikat pengedaran: Empire Film Solutions
Penerbit: Peter Chandran
Penerbit Eksekutif: Haji A. Bakar Effendie M Hasjim Shafei
Pengarah: Ismail Yaacob
Kos penerbitan: RM2.8 juta
Tempoh penggambaran: 48 hari
Lokasi penggambaran: Kuala Kangsar, Perak
Barisan pelakon:
Wan Hanafi Su sebagai Hasan Laga
Nasir Bilal Khan sebagai Orang Kaya Dasuki
Eman Manan sebagai Seman
Syazwan Zulkifli sebagai Sabri
Marsha Milan Londoh sebagai Ayu
Tyas Mirasih sebagai Maya
Rosyam Nor sebagai Inspektor Jefri