(HIBURAN) Filem Rain Town Lakar Kejayaan Terpilih Wakili Malaysia Untuk Tayangan Perdana Di 10th Silk Road International Film Festival

Spread the love

Filem berbahasa Kantonis ‘Rain Town’ terbitan kedua syarikat produksi Current Pictures Sdn. Bhd. melakar kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia sebagai Tayangan Perdana Dunia (World Premiere) mereka di festival filem antarabangsa 10th Silk Road International Film Festival (SRIFF), yang akan berlangsung di Fuzhou, China pada 23 hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Tunku Mona Riza berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila filem kedua arahannya itu mendapat perhatian pihak luar serta berpeluang untuk ditayangkan di sebuah festival berprestij di luar negara.

“Sudah tentu ini merupakan peluang untuk masyarakat luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya secara lebih dekat menerusi penayangan filem Rain Town di SRIFF.

“Apatah lagi, SRIFF merupakan antara salah sebuah festival filem yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif China’s Silk Road Film Bridge Project, penganjuran SRIFF ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio-visual China.

Tayangan Perdana Dunia Rain Town akan menyaksikan garapan seni kreatif pengarah berkenaan yang sebelum ini telah banyak memenangi anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha.

Filem yang mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang yang berhadapan dengan pelbagai konflik yang menimpa mereka serta turut menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan keluarga yang diterjemahkan di layar

Sementara itu, sebagai karya kreatif sulung pengarah tersebut untul filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona memberitahu dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia yang majmuk dan harmoni sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan di dalam dan luar negara.

“Saya membuat filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, perlu ada pelbagai cerita budaya yang terdapat di Malaysia.

“Sudah tentu saya harap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini, sekali gus membuka dan memberi inspirasi kepada pengarah dan penerbit tempatan lain untuk mula mencipta filem silang budaya/bahasa yang menggambarkan tentang masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Rain Town menampilkan barisan pelakon hebat yang terkenal serta pemenang anugerah seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan yang telah mencipta impak magis lakonan sebagai sebuah keluarga dengan pelbagai dimensi individu yang membawa kelainan serta kekuatan dalam cerita.

Penonton filem tempatan akan dapat menonton Rain Town bermula 8 Februari 2024 di pawagam di seluruh negara.

SINOPSIS

Demi harga diri dan keinginannya sendiri, Choo seorang bapa yang juga ketua keluarga terus mencampuri urusan tiga anaknya yang sudah dewasa iaitu Isaac, Alex dan Ruby, sehingga mengabaikan cita-cita dan kebahagian mereka. Apabila Aileen, isteri Choo, ditimpa kemalangan, hubungan keluarga itu semakin renggang sehingga mencampakkan mereka ke dalam konflik yang menyayat hati. Sebuah kisah yang mengharukan yang meniti garis antara cita-cita orang tua dan impian anak-anaknya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *