(HIBURAN) HERO: JANGAN BIKIN PANAS – “Pahit getir tiga sahabat bomba merungkai misteri pembakaran tahfiz yang didalangi konspirasi organisasi antarabangsa”

Spread the love

Pernah ditayangkan di sebuah stesen televisyen dan diangkat ke naskhah novel, ternyata jenama HERO berjaya mendapat sambutan serta maklum balas positif dari penonton yang lama tertunggu-tunggu melihat aksi-aksi murni anggota bomba di kaca tv mahupun media.

Maka atas dasar tersebut, penerbit NS Star Sdn Bhd, Darling Ngasri telah mengambil langkah inisiatif mengangkat jenama HERO ini ke bentuk layar perak pula dengan judul HERO: Jangan Bikin Panas.

Filem ini adalah idea segar penulis skrip, Akbar Hashim dan Azizi Hj Adnan, bukanlah kesinambungan kepada drama bersiri sebelum ini. Filem ini  mengangkat mesej keagamaan, pengorbanan dan digarap dengan aksi-aksi tangkas serta disuntik dengan elemen komedi untuk menghidupkan lagi plot penceritaan bagi menjadikan ia sebuah karya lengkap agar mampu menghiburkan penonton selain memberi pengajaran.

Penceritaan bermula dengan kejadian kebakaran ngeri di sebuah sekolah maahad tahfiz, insiden ini telah menguatkan lagi azam watak utama iaitu Zafrul (Hisyam Hamid) untuk menjadi anggota bomba.

Bersama-sama dengan dua orang rakan bomba yang baru dikenalinya, Amad Mustar (Bell Ngasri) dan Adam Fanifinali (Mark Adam) mereka berjaya merungkai sindiket pembakaran dan urusniaga pembelian tanah secara haram yang didalangi rangkaian kongsi gelap antarabangsa. Kecekalan, pahit-getir dan pengorbanan tiga sahabat bomba ini bertarung nyawa menghadapi agenda dan bahaya tersebut merupakan intipati filem ini.

Begitulah ringkasan cerita yang bakal dipaparkan dalam filem aksi komedi terbaru berjudul Hero: Jangan Bikin Panas yang akan ditayangkan pada 3 OKTOBER 2019 dengan menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Datuk Jalaludin Hassan, Shaharudin Thamby, Shafik Farhain dan ramai lagi.

Pengarah filem Kapoow dan Antoo Fighter yang dikenali sebagai Azizi Adnan atau lebih dikenali sebagai Azizi Chunk kini menghasilkan filem ketiga beliau. Menurut pengarah, beliau bersetuju untuk mengarahkan filem bertemakan bomba ini apabila melihat terdapat banyak kes-kes yang dihadapi oleh anggota unit beruniform itu.

 “Sudah banyak berlaku insiden yang membabitkan anggota bomba. Jadi, ia telah memberi saya idea untuk melahirkan sebuah cerita tentang anggota  bomba yang turut diselitkan elemen babak aksi, komedi serta dakwah.

 “Pada saya sudah sampai satu tahap di mana saya ingin membuat filem yang bukan bersandarkan hiburan dan duit semata-mata, sebaliknya  menghasilkan sebuah cerita yang terdapat pengajaran dan dakwah,” ujarnya.

Jelas Azizi, filem Hero: Jangan Bikin Panas ini juga tidak berkait rapat dengan drama bersiri yang ditayangkan sebelum ini. Malah, barisan pelakon dan jalan cerita merupakan satu kisah yang langsung tidak berkaitan.

 “Ini merupakan filem ketiga arahan saya dan pastinya ia memberi cabaran yang tersendiri seperti bajet, set penggambaran, jalan penceritaan serta penelitian yang lebih mendalam.

“Misalnya apabila membabitkan babak aksi dan babak kebakaran yang perlu mengikut masa yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Jelasnya, penggambaran untuk filem ini mengambil masa selama 30 hari di beberapa buah lokasi di Kuala Lumpur dan kem latihan bomba di Kuala Kubu Baru.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu, Hisyam Hamid pula menyatakan wataknya dalam dalam filem ini adalah seorang yang lurus serta kalut tetapi berani dan mahir dalam seni mempertahankan diri.

“Sebelum ini saya pernah berkhidmat selama lapan tahun sebagai anggota bomba di Singapura sebelum saya menjadi pelakon sepenuh masa.

“Selain itu, saya juga belum pernah melakonkan watak komedi. Jadi, itu antara sebab saya tertarik untuk menerima tawaran ini,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman berlakon di bawah arahan Azizi, Hisyam menyatakan banyak perkara yang dipelajari daripada pengarah berkenaan.

“Azizi adalah seorang pengarah yang tahu apa yang dia inginkan. Memang mudah bagi saya bekerjasama dengannya sebab arahan yang diberikan cukup jelas dan mudah untuk difahami. Kami juga selalu berbincang sebelum melakonkan sesebuah babak untuk memastikan hasil yang terbaik,” jelasnya.

Menurut Hisyam, sudah menjadi harapannya agar penonton akan rasa terhibur, di samping dapat menerima mesej-mesej yang disampaikan dalam filem berkenaan.

SINOPSIS

Zafrul (Hisyam Hamid) adalah seorang pemuda yang pernah mengalami peristiwa hitam pada masa lalu dan telah menpengaruhi kehidupannya. Sebelum menjadi anggota bomba, dia telah berdepan dengan sebuah tragedi kebakaran di Maahad Tahfiz yang pernah menjadi tempat dia menuntut ilmu.

Pada hari tragedi tersebut, Zaf yang sudah lama menamatkan pengajiannya telah datang ke tahfiz berkenaan untuk membantu dengan memberi khidmat tusyen percuma. Namun, tanpa diduga sebuah kebakaran telah berlaku hingga menyebabkan ramai pelajar dan para ustaz terkorban. Zaf telah cuba mahu membantu menyelamatkan pelajar yang terperangkap, namun dia telah terkena letupan api hingga jatuh pengsan.

Anggota bomba telah datang dan memberikan bantuan kecemasan kepada Zaf dan pelajar lain yang terlibat. Semua perkara yang berlaku telah menyebabkan Zaf bertekad untuk menjadi anggota bomba serta mahu membongkar siapa yang telah merancang pembakaran tahfiz yang pernah menjadi tempat dia menimba ilmu dahulu.

Di dalam usaha Zaf untuk menjadi seorang anggota Bomba telah menemukan beliau dengan Amad (Bell Ngasri) dan Adam (Mark Adam) yang juga bercita-cita mahu menjadi anggota bomba.

 

 

BARISAN PELAKON

HISYAM HAMID                                – ZAFRUL

BELL NGASRI                                   – AMAD MUSTAR

MARK ADAM                                                – ADAM FANIFINALI

ELISYA SANDHA                             – AMYLIA

TASH YONG                                     – SURAYA

DATUK JALALUDIN HASSAN       – MASTER SAMIRI

SHAHARUDIN THAMBI                   – DON SHAH

RIZ AMIN                                           – TUAN NAZRI

 

 

 

 

NOTA PRODUKSI

Filem Terbitan                                   – NS STAR SDN BHD

Karya dan Arahan                             – Azizi Hj Adnan

Penerbit                                             – Nasreen Haji Ngasri (Darling)

Penerbit Eksekutif                            – Naszeli Haji Ngasri (Boy)

Penerbit Penyelaras                         – Anshari/ Esmi Zahara Yusof

Pengurus Casting                             – Kam Haji Abd Manap

Penolong Pengarah                          – Saiful Zaidrin

Pengurus Produksi                          – Khairul Kamaruzaman

Pengarah Seni                                   – Mohd Habibullah

Pengarah Fotografi                          – Raffi Noh

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *