(HIBURAN) KONSERT MALAM GALAU KUALA LUMPUR TAMPILKAN BAND TERKENAL BANDUNG, JUICY LUICY

Spread the love

Pertama kali hadir ke Kuala Lumpur, Juicy Luicy bukanlah satu nama yang asing bagi peminat di sini. Terkenal sebagai sebuah band pop jazz berasal dari Bandung, Indonesia, mereka sudah ‘menakluk’ peminat dengan muzik progressif yang kena dengan selera pendengar sejak band ini dibentuk pada 2006.

Berawal dari sambutan hangat yang diberikan peminat, Juicy Luicy bakal membuat persembahan sempena Malam Galau Kuala Lumpur bersama beberapa band lokal terbaik yang lain pada 8 November hadapan di Zepp Kuala Lumpur.

Gembira dengan peluang yang diberikan, band yang dianggotai oleh Julian Kaisar (vokalis), Denis Ligia (gitar elektrik), Zamzam Y.M (saxophone & gitar akustik), Dwi Nugroho (drum), dan Bina Bagja (bass) bakal menghiburkan peminat di sini dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Lantas, Sayangnya, Sialan dan Asing.

“Kami bersyukur dengan kesempatan yang diberikan untuk hadir sama menghiburkan peminat di Malaysia sempena Malam Galau Kuala Lumpur. Ini merupakan kesempatan yang tidak mungkin kami lepaskan memandangkan konsert itu nanti akan menjadi permulaan kehadiran Juicy Luicy ke sini.

“Pastinya banyak perancangan yang kami akan buat untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Apa yang paling penting kami bukan sahaja mahu menambahkan bilangan peminat semata-mata tetapi juga mahu karya kami diterima baik oleh pendengar baharu,” kata Julian Kaisar yang juga merupakan vokalis band ini.

Kekuatan utama band ini pastinya kepada komposisi muzik yang segar, lebih dinamik seterusnya menangkap halwa telinga peminat meskipun baru pertama kali mendengarkan naskhah mereka secara langsung di sini.

Juicy Luicy juga saban tahun menempatkan nama mereka ke dalam beberapa anugerah utama muzik Indonesia termasuklah Anugerah Musik Indonesia (AMI), Bandung Music Awards dan Billboard Indonesia Music Awards melalui pelbagai karya yang dihasilkan.

Tambah manis apabila mereka berjaya memenangi kategori Duo/Grup of The Year sempena AMI26 (2023) menegenepikan nama-nama besar seperti Yovie & Nuno, Ungu, For Revenge dan Armada selain merangkul Duo/Grup Jazz Terpopular Bandung Music Award pada tahun yang sama.

Konsert Malam Galau Kuala Lumpur yang dibawakan khas oleh HashTag Media bersama Black Sky Enterprise sebenarnya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang banyak membantu merancakkan agenda seni tempatan.

Menariknya, sejak konsert ini diumumkan secara rasmi kurang sebulan yang lalu, tiket-tiket sudah terjual lebih 60 peratus menandakan maklum balas positif daripada peminat mereka di sini.

Menurut penerbit Konsert Malam Galau Kuala Lumpur, Elmi Elmo pula menganggap kehadiran Juicy Luicy begitu istimewa memandangkan mereka sudah mempunyai pengikut tersendiri sejak awal penubuhan. Karyakarya yang dihasilkan mereka juga kena dengan selera pendengar yang sentiasa mahukan kelainan dari semasa ke semasa

“Rangkaian lagu-lagu mereka kena dengan tema Konsert Malam Galau yang sudah diadakan beberapa kami sebelum ini. Atas dasar itu juga membuatkan kami yakin dengan kemampuan mereka untuk menghiburkan peminat di sini.

“Untuk band lokal pula, kami masih memilih band mana yang bersesuaian dan kena dengan konsep. Apa yang bolej saya katakan, akan ada empat band lokal yang akan bersama Juicy Luicy pada malam itu nanti,” kata Elmi mewakili HashTag Media.

Selaku penerbit bersama, Willy Dozan yang mewakili Black Sky pula menganggap percaturan membawa band ini sebagai satu langkah berani memandangkan mereka belum pernah muncul secara rasmi di sini.

“Pihak kami bersyukur dengan sambutan hangat yang diberikan oleh penggemar terhadap Juicy Luicy. Sebaik sahaja kami mengumumkan kehadiran mereka, jualan tiket sangat memberangsangkan membuktikan mereka sudah mempunyai peminat tersendiri.

“Sudah pasti itu bukan sahaja memberikan kelegaan tetapi juga menggembiran band itu yang mahu memberikan persembahan terbaik kepada peminat. Kami berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan mereka nanti,” kata Willy.

Sebagai info, lagu Lantas yang dikeluarkan pada 2020 banyak menaikkan nama mereka sehinga distim sebanyak 284 juta kali di Spotify. Malah beberapa lagu lain turut mendapat jumlah strim yang tinggi membuktikan karya mereka diterima ramai.

Konsert Malam Galau Kuala Lumpur bersama Juicy Luicy bakal berlangsung 8 November hadapan di Zepp Kuala Lumpur. Tiket-tiket dijual dengan harga RM128 (Teriak), RM 158 (Terpaling), RM 228 (Teresak), RM 288 (Tersendu) dan VIP Royal Box berharga RM 3088 (Tergalau).

Layari www.malamgalau.com untuk pembelian online.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *