KUALA LUMPUR, 27 November 2025: Nama Ito Blues Gang, Jojet, Gersang, Yantzen, Rahmat Mega dan Azlan Typewriter bukanlah calang-calang dalam industri seni tanah air. Mereka mewarnai hidup kita dan tidak keterlaluan dianggap legenda seni. Bukan hanya kerana lagu mereka popular, tetapi kerana karakter, teknikaliti, dan impak yang mereka tampilkan dalam nyanyian mereka.
Ito dikenali sebagai “Bapa Blues Nusantara”. Peranannya bukan sekadar penyanyi rock biasa tetapi Ito adalah institusi muzik Blues di Malaysia. Dia berjaya mempopularkan irama Blues, yang asalnya dari Amerika dan “memelayukan” irama tersebut dengan jiwa tempatan. Lagu
“Apo Nak Dikato” dan Mak Siti kekal menjadi malar segar sehingga kini.
Jojet pula antara pemain drum yang mendapat penghormatan tertinggi diiktiraf sebagai legenda kerana peranan sebagai tulang belakang kepada bunyi heavy kumpulan gergasi seperti Gersang dan kemudiannya Wings.
Gersang adalah kumpulan yang unik dalam sejarah rock kerana ahli-ahlinya sangat muda ketika mereka meletup, tetapi skil muzik mereka sangat matang. Lagu popular mereka antaranya “Masih Aku Terasa” dan “Suratan Takdir” mempunyai susunan muzik yang sangat indah dan teknikal. Gersang adalah “kilang” yang melahirkan Man Bai (vokalis), Kid (gitaris yang kemudian ke Search), dan Jojet (dram).
Yantzen Juniwan pula sinonim dengan gelaran “Ikon Heavy Metal Malaya”. Beliau adalah definisi sebenar “Mat Rock” dengan lagu ”Tiada Lagi Aku” dan “Insan” yang memerlukan emosi yang sangat mendalam untuk dinyanyikan
Rahmad Mega dikenali sebagai “Raja Balada Rock” kerana keunikan suaranya yang mempunyai kualiti yang sangat “clean” tetapi mampu mencapai nota tinggi yang sangat tajam dan sustaining (panjang).
Lagu “Takdir dan Waktu” dan “Bayangan Gurauan” yang puitis adalah lagu wajib nyanyi di pusat karaoke. Manakala Azlan Typewriter pula dikategorikan sebagai “Penyambung Legasi Rock Moden”. Kemunculannya mungkin sedikit lewat berbanding nama-nama lain di atas tetapi dia adalah jambatan antara rock lama dan baru.
Teknik vokal Azlan agak unik kerana memiliki range suara yang luar biasa tinggi dan falsetto yang kuat menerusi Lagu Untuk Mu dan Jangan Khianati Aku.
Kesemua mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri yang memberikan sokongan padu dari dahulu hingga kini. Tidak hairanlah apabila syarikat penganjur HS Event & Entertainment menghimpunkan barisan “Dream Team” ini dalam satu showcase khas dinamakan Rock Legends Live At Saloma Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Saloma KL pada 20 Disember nanti.
Gabungan mantap ini pastinya ditunggu-tunggu peminat kerana julungkali dianjurkan. Ia ibarat menghidupkan semula semangat rock ketika industri sedang dibanjiri muzik pop leleh, galau dan indie.
Gabungan nama-nama ini mewakili satu spektrum muzik rock Malaysia yang lengkap pada era sebelum ini. Penganjur, Datin Seri Ismariza Che Umar dan rakan kongsi, Mubarak Akhtar berkata, nama-nama ini bukan sekadar artis, tetapi mereka adalah penanda aras (benchmark) zaman kegemilangan muzik Malaysia yang mungkin sukar untuk berulang kembali.
“Lagu-lagu dan personaliti mereka yang hebat menjadi jawapan mengapa mereka kekal relevan hingga ke hari ini. Saloma Kuala Lumpur menjanjikan satu persembahan menghiburkan kepada mereka yang hadir menonton nanti.
“Kami percaya, dengan populariti lagu-lagu yang akan ditampilkan, Saloma Kuala Lumpur akan berubah menjadi dewan karaoke terbesar pada malam itu,” kata mereka.

