Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan penuh komitmen terhadap pemeliharaan dan pengembangan warisan seni budaya ibu kota, memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari, satu inisiatif berterusan bagi menghidupkan semula Panggung Anniversari — antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur.
Sejak sekian lama, Panggung Anniversari menjadi saksi kepada perjalanan dan evolusi seni tanah air, merangkumi pelbagai bentuk ekspresi seperti muzik, teater, puisi, tarian tradisional serta persembahan moden dan eksperimental yang menyatukan pelbagai generasi penggiat seni. Kewujudan panggung ini bukan sekadar simbol sejarah, malah merupakan sebahagian daripada memori kolektif warga kota.
Sebagai sebuah fasiliti pentas persembahan di dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari melambangkan nilai sejarah dan budaya yang tinggi, serta berperanan sebagai ruang rehlah seni dan titik pertemuan budaya masyarakat bandar. Menyedari kepentingan legasi ini, DBKL telah merangka 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026, bermula awal Januari 2026, bagi memastikan panggung ini berfungsi secara aktif dan berterusan.
Program-program yang dirancang secara inklusif ini melibatkan penggiat seni lama dan baharu, dengan objektif utama untuk meneruskan dan memelihara legasi Panggung Anniversari sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform berterusan kepada penggiat seni merentas generasi dan genre, menghidupkan semula fungsi panggung sebagai ruang budaya dan rehlah seni warga kota, serta menyokong agenda pemeliharaan warisan bandar di bawah inisiatif Warisan KL.
Berteraskan tema “Semarak Seni @ Panggung Anniversari” dan membawa tagline “Panggung Anniversari – Dulu, Kini dan Selamanya”, inisiatif ini mencerminkan kesinambungan masa yang menghormati sejarah, meraikan keaktifan seni masa kini dan menjamin kelangsungan masa depan seni budaya di pentas ini. Antara program teras yang akan dilaksanakan sepanjang tahun termasuk Konsert Rock Gegar Panggung, Retro Bangkit!, ROCKESTRA, Rasa Rakyat, Pentas Seni LIVE!, Pesta Teater Kuala Lumpur, Konsert Puisi Jundai Nusantara, Zapin Rewang, Independent Vibes, Rentak Legasi, Jazz in the Park, serta Pertandingan Bintang Bandaraya.
Kalendar Acara Panggung Anniversari 2026 ini turut menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui penganjuran persembahan seni dan budaya yang berupaya meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh imej ibu kota sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan berdaya saing.
Pada malam ini, bersempena pelancaran Kalendar Acara Panggung Anniversari 2026, DBKL mempersembahkan Konsert Nostalgia Hits – Di Sini Kenangan Bergema Semula yang menampilkan Oja GV7, Syafik Farhain dan Kumpulan Cherpen, dengan iringan Kombo Budaya serta Artis Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Persembahan ini menjadi pembuka tirai kepada pengisian seni sepanjang tahun 2026, sekali gus mengembalikan nostalgia muzik popular tanah air dalam suasana pentas warisan yang penuh makna.
Sehubungan itu, DBKL mengalu-alukan kerjasama agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta komuniti seni untuk bersama-sama menjayakan program-program yang dirancang sepanjang tahun 2026 di Panggung Anniversari. DBKL juga menggalakkan syarikat produksi dan pengurusan acara untuk menganjurkan persembahan dan program seni di Panggung Anniversari sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem seni dan budaya bandar raya.
Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan usaha pemuliharaan dan pengaktifan lokasi di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari bakal kembali berfungsi sebagai nadi seni budaya kota — bukan sekadar sebagai monumen sejarah, tetapi sebagai ruang hidup yang terus mencipta kenangan, melahirkan bakat dan membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.

