KUALA LUMPUR, 24 Februari 2024 – Program pencarian bakat FEEL DA STARZ (FDS) merupakan program realiti nyanyian yang mempertandingkan bakat-bakat nyanyian untuk komuniti Felda. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti Felda yang berbakat mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Setiap peserta yang menyertai pertandingan ini akan melalui proses penyingkiran di beberapa siri jelajah Felda sebelum mereka mara ke peringkat akhir yang akan di adakan pada Hari Peneroka Felda 2024 (HPF24) 12 – 14 Julai di MAEPS, Serdang.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan platform dan mengilap bakat yang sedia ada disamping dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga mereka di Felda. Program ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula dari bulan Mac ini.
Ujibakat secara online akan mula dibuka di https://segalanyafelda.com/feel-da-starz/ bermula 1 Mac dan akan ditutup pada 30 Mac. Seramai 40 peserta akan di pilih dari penyertaan secara online. Mereka akan menjalani sesi pembelajaran vokal dan persembahan di ISEF, Bangi (Institut Semarak Felda) dengan tenaga pengajar profesional.
Hadiah Utama Pemenang FDS bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000, tempat kedua RM7,000.00 dan tempat ketiga RM5,000.00. Juara juga berpeluang untuk merakamkan sebuah album single beserta trofi.
Penerbit Eksekutif program FDS ini adalah Fadzliniza Zakaria berpengalaman dalam penerbitan program – program realiti di TV3 dan Astro. Bersempena dengan majlis pelancaran ini, menandakan evolusi Felda, sebagai jenama gaya hidup untuk orang ramai.
Pada majlis sama, FELDA melancarkan laman web www.segalanyafelda.com. Tujuan laman web diwujudkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti yang bakal berlangsung menjelang Hari Peneroka FELDA 2024 pada bulan Julai nanti. Maklumat berkaitan pertandingan ini dan aktiviti lain turut dimuat turun untuk memudahkan akses orang ramai untuk mendapatkan maklumat.
Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 (HPF24) akan diadakan pada 12 -14 Julai 2024 di Maeps, Serdang dengan anggaran lebih 500,000 pengunjung akan hadir.