Kuala Lumpur, 31 Mac 2026 – Industri perfileman tempatan bakal menyaksikan kemunculan sebuah karya baharu yang menggabungkan aksi mendebarkan, elemen komedi serta dunia ghaib menerusi filem MIKAEL: Pemburu Dua Alam, sebuah filem aksi-komedi-seram pertama seumpamanya di Malaysia.
Filem ini dipersembahkan oleh gabungan penerbit terkemuka iaitu Act 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Katalyst Connections, SunStrong Entertainment, dengan sokongan daripada FINAS Malaysia dan Kementerian Komunikasi, serta ALICAFÉ selaku Penaja Minuman Rasmi, manakala pengedaran rasmi dijalankan oleh GSC Movies. Ia diarahkan oleh Zahir Omar, dengan gabungan tenaga penulis dan produser June Tan dari Wild East Studios.
Pengarah Zahir Omar sebelum ini telah mencipta nama melalui filem Fly by Night (2018), sebuah filem neo-noir jenayah berbahasa Mandarin dari Malaysia yang mendapat perhatian antarabangsa. Filem ini membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Busan ke-23 pada Oktober 2018, dan membuktikan kemampuan beliau dalam mengolah naratif gelap dan penuh ketegangan, sebelum kini meneroka dunia ghaib dalam MIKAEL: Pemburu Dua Alam.
MIKAEL mengisahkan seorang anggota polis elit bernama Mikael, yang masih bergelut dengan kehilangan adiknya. Dia dipanggil untuk menyiasat satu kejadian pembunuhan beramai-ramai semasa sebuah majlis perkahwinan di sebuah bandar kecil dan mendapati kuasa jahat di sebalik insiden itu apabila seorang Penguasa Jin mahu menguasai dunia dengan menjatuhkan tujuh pelindung. Mikael perlu berlumba dengan masa untuk mencari artifak purba yang mampu menghentikannya, dan dalam misi ini dia dibantu oleh sekumpulan rakan unik iaitu Winston, penjual ramuan sihir hitam; Sarjan Kok, seorang polis muda yang canggung namun setia; dan Aisyah, pencuri licik yang mahir memburu artifak di pasaran gelap.
Selain Datuk Remy Ishak sebagai Mikael, filem ini turut dibintangi oleh Norreen Iman sebagai Winston, Fabian Loo sebagai Sarjan Kok, Alicia Amin sebagai Aisyah, Ahirine Ahirudin sebagai Khatijah, Megat Sharizal sebagai Penghulu Qabil, Anas Ridzuan sebagai Dr. Zaid dan Amir Nafis sebagai Torsim.
Dalam pada itu, Alicafé selaku Penaja Minuman Rasmi turut berkongsi keterujaan terhadap kolaborasi ini. Pengerusi Power Root Berhad, Y.A.D. Tengku Dato’ Setia Putra Al Haj bin Tengku Azman Al Haj, berkata :
“Kami berbangga menyokong filem terbaru MIKAEL: Pemburu Dua Alam sebagai sebahagian daripada perkembangan industri perfileman tempatan yang semakin berpotensi di peringkat nasional dan serantau.. Bagi ALICAFÉ, kolaborasi seperti ini bukan sekadar penajaan, tetapi peluang untuk jenama ALICAFÉ kekal relevan melalui naratif budaya, sambil mendekati audiens baharu dengan cara yang lebih bermakna.”
“Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan produksi, kru dan para pelakon atas komitmen serta persembahan seni yang begitu cemerlang dalam menjayakan karya ini.Kami berharap filem ini mencapai kejayaan besar di pawagam dan terus mengangkat standard karya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.”
Malam gala pelancaran filem telah berlangsung pada 31 Mac 2026 di GSC Mid Valley
Megamall, Kuala Lumpur, dihadiri oleh barisan pelakon, tenaga produksi filem serta YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, sambil menekankan keunikan filem ini sebagai aksi komedi seram pertama seumpamanya di Malaysia.
Dengan gabungan aksi mendebarkan, humor segar serta elemen dunia ghaib yang diinspirasikan daripada mitologi tempatan, MIKAEL: Pemburu Dua Alam menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang unik dan menghiburkan, mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 2 April ini.
