KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Sempena ketibaan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, P-Circle dengan kerjasama Nuansa Sdn Bhd mempersembahkan sebuah drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story, yang mengetengahkan kisah cinta sederhana namun sarat dengan nilai kemanusiaan, keikhlasan dan penghormatan dalam hubungan.
Drama ini diinspirasikan daripada detik-detik kecil yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat sepanjang Ramadan, seperti pertemuan ringkas di masjid, senyuman yang tidak terucap atau momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa. Walaupun kelihatan sederhana, detik-detik ini mampu menyentuh hati serta merapatkan hubungan antara manusia.
Penerbit Nuansa, Jaya Julian, berkata Ramadan merupakan waktu yang istimewa untuk seseorang memperlahankan langkah kehidupan, merenung diri serta menjadi lebih peka terhadap niat dan perasaan.
Menurut beliau, keunikan My Ramadan Love Story terletak pada pendekatan penceritaan yang lebih tenang dan bersahaja berbanding kebanyakan drama Ramadan yang sering menampilkan konflik besar atau emosi dramatik.
“Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang dipendam. Ia mengetengahkan bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar – cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya.
Kenyataan tersebut disampaikan pada majlis tayangan perdana dan sesi berbuka puasa bersama media yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur hari ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak produksi dan penganjur untuk berkongsi kegembiraan serta semangat kebersamaan sempena Ramadan.
Pihak produksi berharap My Ramadan Love Story dapat menyentuh hati penonton kerana kisah yang dibawakan dekat dengan kehidupan seharian masyarakat, khususnya tentang kesabaran, menjaga batas dalam hubungan serta keyakinan bahawa setiap perkara berlaku pada waktu yang telah ditentukan.
Pada masa sama, penerbitan drama ini juga merupakan sebahagian daripada usaha P-Circle untuk memperkasa penghasilan kandungan original tempatan yang lebih segar, kreatif dan relevan dengan cita rasa penonton masa kini.

