Kuala Lumpur, Malaysia – Kumpulan alt-hardcore dari Malaysia, NO TIME FOR SILENCE, kembali dengan ledakan terbaru melalui single mereka “i dont wanna die tonight.flp”, lagu pembuka kepada album debut yang dinanti-nantikan, CRASH REPORT: braceforchange.flp has stopped working, yang bakal dilancarkan pada Disember 2025.
Dengan gabungan bunyi post-hardcore yang agresif, elemen elektronik glitch dan emosi yang mentah, lagu ini menggambarkan keletihan emosi dan tekanan generasi digital yang sentiasa terhubung tetapi semakin terasing. Dentuman gitar yang bertenaga dan vokal yang garang menjadikan lagu ini sebagai manifestasi semangat melawan keputusasaan dan kehancuran diri.
Video muzik rasmi bagi lagu ini membawakan elemen satira gelap dan humor yang tidak dijangka. Berlatarbelakangkan rumah orang tua yang tenang, ahli-ahli kumpulan muncul sebagai versi tua diri mereka, menonton rakaman zaman muda mereka yang penuh semangat di atas pentas. Tiba-tiba, rasa nostalgia bertukar menjadi pemberontakan — mereka merempuh rutin harian, menjatuhkan kerusi roda dan menghidupkan kembali semangat punk yang pernah mereka miliki.
“Kami nak tunjukkan yang walaupun usia makin meningkat, semangat dalam diri tak pernah padam,” kata mereka. “Kalau masih ada bara api, tak kira setua mana pun, kau tetap boleh jadi gila sekali lagi.”
Single ini membuka jalan kepada konsert pelancaran album khas pada Disember 2025, yang bakal menampilkan kolaborasi dengan beberapa band metal Malaysia lain yang turut tampil dalam album ini. Persembahan ini dijangka menjadi satu pengalaman audio visual yang huru-hara, ikonik, dan tidak dapat dilupakan oleh peminat muzik berat tempatan.
“i dont wanna die tonight.flp” kini boleh distrim di semua platform utama. Video muzik rasmi akan dilancarkan di YouTube pada hari Jumaat ini.
Follow sunOceanus on:
Instagram: @sunoceanus
YouTube: @sunOceanus
TikTok: @sunoceanus


