NTV7 memperkenalkan sebuah lagi rancangan realiti berkonsep baru iaitu PANIK. Rancangan permainan TV realiti malam pertama di Malaysia ini telah dirakamkan di beberapa lokasi misteri di mana artis-artis Malaysia yang terpilih menjadi pesertanya. Rancangan sebanyak enam episod itu merupakan sebuah idea baru yang diinspirasikan daripada program Seekers, Ghost Hunters, Fear Factor, Total Black Out dan Estate of Panic. PANIK menampilkan dua kumpulan di mana kumpulan A terdiri daripada Milea Aimilia, Ika Nabila, Juffri Rayyan William dan Ezany Nizariff manakala kumpulan B dibarisi pelakon Danny (X-Factor), Marlon (V.I.P), Anis Al-Idrus dan Shakila Khoriri. Rancangan yang dihoskan oleh Redzuan Hashim itu akan ditayangkan setiap Rabu bermula 2 Januari 2013 , jam 8.30 malam di ntv7, Saluran Ceria Anda.
Rancangan Panik
Seramai lapan orang selebriti diuji apabila mereka diletakkan di tempat-tempat seram yang pernah menjadi bualan masyarakat menerusi rancangan terbaru ntv7, Panik.
Menurut penerbitnya, Aeizull Reeza Ismail, para selebriti itu dibahagikan kepada dua kumpulan di mana setiap individu akan menjadi mangsa kurungan dalam sebuah rumah atau bangunan gelap di tiga lokasi terpilih iaitu Muzium Perang di Pulau Pinang, Bukit Cerakah, Shah Alam dan Istana Kellie’s, Perak.
“Panik akan menguji mental dan fizikal peserta. Walaupun bunyinya nampak senang, tetapi ia agak sukar untuk dilaksanakan.
“Setiap episod, peserta akan bergilir-gilir menjadi mangsa kurungan dalam kumpulan masing-masing dan kemudian ahli-ahli lain akan mencari maklumat atau ‘kunci’ untuk mengeluarkan mangsa tersebut,” katanya.
Tambah Aeizull, rancangan sebanyak enam episod itu merupakan sebuah idea baru yang diinspirasikan daripada program Seekers, Ghost Hunters, Fear Factor, Total Black Out dan Estate of Panic.
Menariknya tentang rancangan ini, sepanjang ujian yang diberikan, terdapat elemen-elemen drama apabila beberapa peserta bertelingkah dan pada episod kelima, penyingkiran kumpulan akan dilakukan.
“Bagaimanapun, pada episod keenam, kumpulan yang berjaya itu akan melalui ujian secara individu dan keempat-empat mereka akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai sebanyak RM8,000.
“Dalam pada itu, kumpulan terbaik akan menerima hadiah sagu hati sebanyak RM2,000 (RM500 setiap seorang),” ujarnya