Memetik kata-kata Hukama “Seandainya kita dikurniakan kawan yang setia, maka berbahagialah! Kerana kita telah dikurniakan kekayaan dunia yang paling kekal”
Sehubungan itu Album Khas Nada Seni Ritma Negara ‘Kawan Setia’ ini berhasrat memperingatkan setiap daripada kita akan peri pentingnya memupuk nilai-nilai kesetiaan dari dalam diri sendiri sebelum memandang ke luar mencari- cari siapakah kawan yang mahu bersetia dengan kita. Pucuk pangkalnya, diri sendirilah terlebih awal perlulah menyemai nilai-nilai kesetiaan itu.
Justeru pada Majlis Pelancaran Album Khas Nada Seni Ritma Negara -Kawan Setia’ ini, pihak penganjur turut memanjangkan undangan kepada sejumlah besar warga Penggiat Seni Tanahair yang memerlukan sumbangan terutamanya golongan veteran. Kita wajar pentafsiran makna frasa Insan-Insan Seni sebagai meliputi segenap Seniman, Budayawan, Karyawan, Sasterawan, sehinggalah kepada para Penggiat Media Seni Tanahair keseluruhannya.
Langkah ini adalah sebagai tanda keprihatinan pihak Kerajaan yang tidak pernah putus terhadap Insan-Insan Seni – khususnya dari lubuk hati terdalam Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah Mansor. Dari semasa ke semasa, keprihatinan itu diteruskan melalui pelbagai program dan inisiatif.
Pelancaran Album Khas ini sebetulnya adalah rentetan daripada pelbagai program yang telah dilaksanakan bagi mengiktiraf sumbangan Insan-Insan Seni. Antaranya termasuklah Dialog Penggiat Seni TN50 bersama YAB Perdana Menteri pada tahun lalu yang mendapat sambutan di luar jangkaan; dan Majlis Berbuka Puasa Istimewa Ramadhan 2017 di Seri Perdana, Putrajaya. Tidak cukup dengan itu, dua siri program umrah telah dikhaskan kepada Penggiat Seni Tanahair – Program Umrah Penggiat Seni I pada Januari lalu, dan Program Umrah Penggiat Seni II pada pertengahan April baru-baru ini.
Seandainya kita peka dengan lafaz ucapan YAB Perdana Menteri, hampi setiap ucapan besar beliau tidak lupa untuk menyulamkan bait-bait petikan yang terilham daripada nukilan Para Penggiat Seni. Ini sebenarnya adalah lambing penghargaan yang amat tinggi oleh YAB Perdana Menteri terhadap para Penggiat Seni Negara bagi yang memahami.
Rentetan penghargaan itu, makanya pada Perhimpunan Agung Umno 2017 lalu, YAB Perdana Menteri telah sekali lagi memetik bait-bait yang amat bermakna daripada lagu yang dipopularkan oleh Biduan Tersohor Tanahair, Datuk DJ Dave Kawan Setia
“Sukarnya mencari kawan yang setia, yang sanggup menolong di masa kau susah. Kawan waktu senang, tak payah kau cari-cari- di mana saja mudah kau jumpa. Kawan yang setia ibarat cahaya, menjadi penerang masa kegelapan. Dia tak tergamak membiarkan kau sendiri – Nasibmu pasti akan dibela”
Dalam ucapan YAB Perdana Menteri pada Persidangan itu, Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diperlambangkan sebagai memiliki kesetiaan seorang kawan yang dicari-cari. Sehubungan itu tercetuslah ilham di pihak Pejabat Penasihat Perdana Menteri- bersama Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih untuk memperkembang lagi hasrat YAB Perdana Menteri melihat nilai-nilai kesetiaan disemai di kalangan masyarakat Negara kita ini. Lalu, seorang Tokoh Muzik Berpengalaman, S. Atan telah dipelawa sebagai composer. Maka terhasillah sebuah Album Khas dengan penuh ketelitian. Dua buah lagu (Kawan Setia dan Negaraku Tercinta, yang keduanya ciptaan S. Atan) telah digubah semula. Susunan muzik yang melengkapkan komposisinya juga terpilih. Setiap satunya diiringi tujuh tambahan instrumen, antaranya ialah piano, akordian, dua gitar lead, satu gitar bass, biola, dan percussion. la bukan sekadar menghimpunkan semula lagu-lagu lama, tetapi telah menampilkan sentuhan baru yang memanfaatkan rakaman muzik secara live.
Selain susunan muziknya digubah kembali, Datuk DJ Dave juga telah merakamkan semula vokal bagi kedua-dua lagu itu. Bahkan lirik bagi lagu Negaraku Tercinta telah diperkemas secara bersama dengan Penasihat Kepada YAB Perdana Menteri, Yang Berbahagia Datuk Seri Profesor Dr. Khairil Annas Jusoh agar relevan dengan perkembangan masyarakat di Negara tercinta ini.
Ringkasnya, Album Khas Nada Seni Ritma Negara ‘Kawan Setia’ ini menampilkan dua buah lagu: Kawan Setia (Ciptaan: S.Atan/ Lirk: Haron Abdul Majid) dan Negaraku Tercinta (Ciptaan: S.Atan/ Lirik: DJ Dave, Zai, DSKAJ). Album ini turut diiringi penghasilan sebuah Klip Video Khas yang mentafsirkan inti makna Kawan Setia pada lensa tersendiri.
Semoga nawaitu keprihatinan murni YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ S Najib Tun Razak dan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, melalui usaha-usaha Pejabat Penasihat Perdana Menteri dan Yayasan Perdana Ummah ini akan membawa impak positif kepada Seni Negara. Paling terutama, moga-moga kelahiran album yang turut dikelola oleh Yayasan Mustika Kasih ini akan memperolehi keberkatan daripadaNya – melampaui apa yang dihasratkan secara manusiawi, InsyaAllah.