Setiap tahun, industri muzik tanah air pasti dibanjiri dengan pelbagai lagu raya dari serata syarikat rakaman. Tahun ini tidak terkecuali, dengan banyak lagu baharu yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik raya tempatan.
“Hari Kemenangan Dunia” merupakan tajuk lagu raya terbaru terbitan Anggun Music Production. Lagu ini dicipta oleh komposer baru yang juga penulis lirik, Ilham Iskandar. Walaupun Anggun Music merupakan label baru dalam industri muzik, usaha mereka menerbitkan lagu raya setiap tahun wajar dipuji.
Selain memberi kepercayaan kepada Ilham Iskandar, Anggun Music turut menampilkan beberapa artis baharu di bawah naungannya, seperti Syafiq Ibrahim, Wazir Wahid, Zainol Roslan, dan Meclisandra. Penyanyi jemputan termasuk Erman Braka dan Mayuji, yang merupakan adik kepada penyanyi terkenal Hazama. Secara keseluruhan, seramai lapan orang penyanyi, termasuk komposer sendiri, tampil dalam lagu “Hari Kemenangan Dunia”.
Jika dibandingkan dengan tahun lalu (2024), Anggun Music Production telah menerbitkan lagu “Rindu Ayah Bonda” yang dinyanyikan oleh Yamani Abdillah dan Syafiq Farhain. Lagu tersebut membawa tema kerinduan terhadap ibu bapa, dengan konsep lagu sedih yang mengingatkan kita kepada lagu duet raya ikonik “Lambaian Aidilfitri”.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, lagu “Hari Kemenangan Dunia” menampilkan gabungan genre pop-twist dan pop-jazz rancak, yang mengingatkan kita kepada muzik Silver Tortoise yang pernah popular suatu ketika dahulu. Genre muzik seperti ini jarang didengar pada zaman kini, menjadikannya satu perubahan dan pertaruhan unik dalam arena muzik raya 2025. Lagu ini diolah oleh pengubah muzik berpengalaman, Bell Fatah, dengan harapan ia dapat diterima oleh peminat lagu raya dari pelbagai peringkat umur.
Lirik lagu ini, yang ditulis oleh Ilham Iskandar, bersifat sederhana tetapi membawa mesej mendalam. Liriknya mengingatkan kita bahawa masih ada umat Islam di luar sana yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan derita, dan kita seharusnya bersyukur serta meraikan hari kemenangan ini dengan kesederhanaan.
Selain menerbitkan lagu raya, Anggun Music Production juga memberi peluang kepada artis baharu dengan menerbitkan single mereka sebelum ini. Pengambilan mereka sebagai artis rakaman dan naungan syarikat adalah berdasarkan bakat masing-masing. Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pertandingan nyanyian, termasuk Syafiq Ibrahim yang pernah menjuarai beberapa pertandingan karaoke, Meclisandra sebagai Juara Royale Voice 2024, serta Zainol Roslan yang merupakan finalis Bintang Irama Malaysia anjuran RTM dan dinobatkan sebagai ikon Irama Malaysia. Erman Braka dan Mayuji pula merupakan finalis program MicOn anjuran Astro pada tahun 2020.
Dengan gandingan komposer baharu Ilham Iskandar dan artis-artis muda berbakat, diharapkan lagu raya “Hari Kemenangan Dunia” akan mendapat tempat di hati peminat dan menyemarakkan lagi industri muzik tanah air.