(HIBURAN) Filem Mat Kola Penuhi Impian Pengarahan Sutradara Hafiz Nafiah

Spread the love

Impian pelakon Hafiz Nafiah untuk berada di kerusi pengarah akhirnya jadi kenyataan apabila tampil dengan filem genre komedi berjudul Mat Kola selepas hampir 20 tahun menanti.

Hafiz atau nama sebenar, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, filem Mat Kola terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu cukup bermakna kerana sudah lama menanti peluang mengarah filem pertama.

“Saya bersyukur diberi peluang dan kepercayaan mengarah filem Mat Kola daripada penerbit, Azman Ahmad. Kami sudah kenal sejak 20 tahun lalu.

“Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

“Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tetapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.

Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk mengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia di kerusi pengarahan.

“Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk menggalas kerusi pengarah.

“Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.

“Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.

“Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.

Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.

“Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.

“Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.

“Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.

Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.

“Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.

“Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya, filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu.

Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama Mat Kola dipilih kerana filem ini menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

“Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.

“Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.

Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.

“Jalan cerita filem ini santai mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.

“Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.

Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

“Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.

Ditanya cabaran ketika penggambaran pula, kata Hafiz, dia berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kedah di mana hujan turun dari pagi hingga petang.

“Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar ‘screen play’. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.

“Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai Penerbit Penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada,” katanya.

Mengulas sasaran kutipan, kata Hafiz, dia hanya melakukan kerja seikhlas hati hingga filem itu siap.

“Saya tak nak letak sasaran kutipan kerana kita sudah usaha yang terbaik kerana ini filem pertama saya dan selebihnya saya serahkan pada Tuhan,” katanya.

Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *