(HIBURAN) RIOT! PAPAR ISU GANGGUAN SEKSUAL, BULI SIBER DALAM KALANGAN ANAK MUDA

Spread the love

Kuala Lumpur, 19 September 2023 – Astro sekali lagi mencabar norma naratif industri hiburan dengan mempersembahkan ‘Riot!’, drama siri premium Astro Originals terkini terbitan Astro Shaw. Siri kali ini mempaparkan barisan pelakon generasi muda yang menunjangi penceritaan diinspirasikan daripada peristiwa yang memang berlaku di negara kita menerusi pendedahan sisi-sisi gelap di sebalik kes-kes gangguan seksual di kalangan remaja.

Pelanggan Astro boleh strim drama premium ‘Riot!’ lebih awal di platform On Demand bermula 22 September, 12.00 tengah malam atau di saluran baharu Astro Premier (Saluran 410) pada hari yang sama, jam 9.00 malam. Saluran Astro Premier akan menghimpunkan kesemua drama premium dari Astro Originals yang dikenali sebagai pembikin kandungan-kandungan berkualiti tinggi yang memberikan penceritaan menjangkau luar jangkaan para penonton, termasuklah drama premium dari platform Cina dan India, serta daripada platform OTT lain.

Drama premium rantaian sebanyak 10 episod yang membawakan tagline “Rebel with a cause’ ini menceritakan kisah fiksyen sebuah band, Langkah Mayat yang memainkan muzik protes untuk menyuarakan keadilan untuk mangsa-mangsa ketidakadilan di kampus mereka. Penyanyi utama mereka, Sal yang merupakan mangsa gangguan seksual oleh pensyarahnya bersama-sama rakan seperjuangannya Feeqi, Kristy dan Wid berhasrat untuk memainkan lagu-lagu mereka untuk membawa kesedaran mengenai isu gangguan seksual.

Namun, setiap ahlinya mempunyai kisah tersendiri serta masa lampau yang gelap. Dalam perjuangan mencari keadilan, mereka berdepan dengan pelbagai kejutan dan rahsia gelap yang menguji bukan hanya persahabatan mereka, tetapi juga diri mereka yang sebenar. Menerusi penceritaan yang penuh dengan perasaan dan dramatik, isu-isu taboo seperti gangguan seksual serta tindakan berbentuk silencing victims dikupas secara mendalam terutamanya impak atau kesan terhadap mangsa.

Selain daripada itu, wajah-wajah baharu membarisi siri ini termasuk Nelissa Nizam sebagai Sal, Mia Sara Shauki sebagai Feeqi, Tami Anadan sebagai Kristy dan Aniq Durar sebagai Wid. Malah keempat-empat mereka memainkan instrumen serta menyanyikan lagu-lagu runut ‘Riot!’ yang turut merupakan keunikan penceritaan Astro Originals pada kali ini.

Mengikut jejak langkah ‘Projek: High Council’ dan ‘Projek: Anchor SPM’, ‘Riot!’ menyasar golongan penonton muda sebagai penonton sasaran. Lantas ini menjadikan Astro sebagai destinasi penceritaan lokal berkonsepkan edgy dan youthful utama bagi golongan muda di negara ini. Penguasaan penceritaan unik Astro Originals menerusi ‘Riot!’ turut akan menarik minat golongan dewasa mahupun yang bekerja atau profesional untuk mendalami naratif siri yang mengupas isu-isu serius  dan sensitif secara teliti.

Diarahkan oleh Shamyl Othman serta ditulis oleh panel penulis berpengalaman termasuk Rafidah Abdullah, Suzanne Ong, Khairi Anwar dan Anwar Hadi, ‘Riot!’ bakal menjanjikan pengalaman Astro Originals berbeza yang relevan untuk masyarakat kini yang kian giat dalam social activism.

‘Riot!’ turut membariskan para pelakon baharu dan berpengalaman seperti Rashidi Ishak, Iedil Dzuhrie Alaudin, Amanda Ang, Sue Tan, Nasir Alaydrus, Megat Adli, Che Puan Sarimah Ibrahim, Uyaina Arshad, Rahim Omar dan Dee Dee A’iene. Manakala saksikan penampilan istimewa daripada artis-artis tersohor seperti Yang Berhormat Altimet, Suki Low dan Awal Ashaari.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap sebagai Penerbit Eksekutif Riot! berkata “’Riot!’ berbeza dengan drama premium Astro Originals yang lain, di mana kami mengutarakan isu serius seperti gangguan seksual, buli siber dan kesihatan mental di kalangan remaja. Diceritakan dalam genre drama, muzik dan ‘supernatural’, kami percaya kesemua isu ini memang berlaku di luar sana. Kami berharap kehadiran ‘Riot!’ mampu menjadi suara buat golongan remaja serta masyarakat dapat memberi lebih tumpuan kepada isu yang membimbangkan ini.  Selain boleh ditonton di Astro On Demand, siri ini boleh disaksikan di saluran baharu, Astro Premier. Sebagai tanda terima kasih kepada para peminat Astro Originals, kami menampilkan saluran baharu ini yang akan mempersembahkan deretan drama premium tempatan. Kami berharap kehadiran saluran ini dapat memberikan penonton lebih pilihan dan variasi dalam menikmati kandungan-kandungan berwajah Malaysia yang berkualiti tinggi”.

Astro menjalinkan kerjasama dengan Converse Malaysia dalam mempromosikan ‘Riot!’. ‘Riot!’ turut bekerjasama dengan All Women’s Action Society (AWAM) serta Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) dengan memaparkan nombor talian bantuan pada setiap episod agar dapat memberi sokongan terhadap mereka yang memerlukan bantuan akan hal berkenaan dengan gangguan seksual dan kesihatan mental.

Mengulas mengenai keunikan ‘Riot!’, Pengarah Riot!,  Shamyl Othman, berkata, “Kami ingin persembahkan sebuah drama yang ‘grounded and believable’. Setiap watak mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing yang mencerminkan kehidupan sebenar. Ini secara tidak langsung membawa penonton rasa lebih dekat dengan kisah yang dipaparkan. Sementara itu, Riot! mempertaruhkan barisan

pelakon muda sebagai tunggak utama. Saya sering tampil dengan naskhah yang memfokuskan anak muda, namun kali ini berbeza dengan subjek dan konsep yang dibawakan. Karakter mereka memerlukan bakat bermain alat muzik, jadi mereka telah berlatih selama sebulan untuk mahir dan dalam pada masa yang sama mencari identiti karakter untuk menjiwai watak. Harapan saya agar Riot! dapat membuka mata penonton kepada isu gangguan seksual dan juga sifat misogini. Saya harap penonton akan terima karya ini yang bertujuan untuk menghiburkan dan pada masa yang sama, ia dapat memberi beberapa pengajaran.”

Lagu-lagu runut bunyi ‘Riot!’ dihasilkan oleh Khairil Ridzwan Annuar atau LoQue, antara penyanyi dan komposer tersohor negara yang turut merupakan pengarah muzik skor siri ini. Antara lagu-lagu yang dipaparkan adalah ‘Langkah Mayatku Dulu’ yang merupakan lagu tema utama siri ini, ‘Kurang Ajar’,
‘Hidup Hidup’, ‘Ini Masa Kita’, ‘Kita Semua’ dan ‘Sandiwara’.

Saksikan ‘Riot!’ menerusi Astro Premier (Saluran 410) pada 22 September 2023 pada jam 9 malam setiap hari Jumaat. Saluran Astro Premier adalah percuma untuk semua pelanggan Astro bermula 18 September 2023 sehingga 1 Februari 2024. Strim episod baharu ‘Riot!’ awal menerusi On Demand pada setiap jam 12 tengah malam pada hari yang sama menerusi Astro Box dan Astro GO. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, X , Astro Gempak dan Astro Shaw.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *