(HIBURAN) SAKA PERAWAN MENJEJAK PEWARISNYA DI PAWAGAM BERMULA 27 JUN INI !

Spread the love

Petaling Jaya, 12 Jun 2024 – Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios selaku pengedar dan rakan pemasaran, mempersembahkan filem komedi seram Saka Perawan yang akan ‘merasuk’ pawagam tempatan seluruh Malaysia bermula 27 Jun 2024 ini.  Filem ini juga bakal ditayangkan di pawagam sekitar Brunei serentak dengan tarikh tayangan di Malaysia.  Filem yang menjalani penggambaran pada tahun lepas telah mengundang keterujaan penonton apabila filem ini berjaya menggabungkan pelakon komedi lama dan baharu yang bakal mengubat kerinduan penonton filem komedi yang ringan dan sesuai untuk tatapan seisi keluarga.

Saka Perawan ini diarah dan diterbitkan oleh Dr. Ahmad Idham, seorang sutradara yang terkenal dengan karya-karya pecah panggung sebelum ini. Filem ini menampilkan ramai barisan pelakon legenda komedi dan juga baharu seperti Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Hajah Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.

Filem yang mengisahkan tentang penyakit misteri yang dihadapi oleh Nek Aminah yang berusia 80 tahun, lakonan Datuk Hajah Fauziah Nawi yang telah terlantar sakit beberapa lama, yang membuatkan anak dan cucunya menjadi bingung. Doktor juga tidak mempunyai solusi akan penyakit misteri nenek ini. Setiap kali melepasi waktu Maghrib, keadaan nenek semakin teruk dan seakan nazak, akan tetapi sebaik sahaja mencapai pukul 5.00 pagi, keadaannya kembali normal dan  mampu bangun dan menyanyi. Keadaan ini berulang setiap hari sehingga Rusila, anak perempuan nenek lakonan Wilma Muhammad terpaksa memanggil ketiga-tiga cucu perempuannya lakonan Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam pulang ke kampung. Ternyata, apa yang di amal dan dimiliki oleh nenek yang telah diwarisi dari perjanjian turun temurun  harus diturunkan kepada cucu-cucunya yang masih perawan agar nenek boleh pergi dengan tenang tanpa mengetahui akan kesan sampingan dan risikonya. Kekecohan mula melanda dan satu demi satu kebenaran terbongkar.  Mampukah ustaz muda, lakonan Afieq Shazwan menyelesaikan permasalahan yang berlaku dan mengembalikan ketenangan kampung?

Filem ini menyaksikan suntikan antara elemen seram yang mendebarkan dan komedi yang menggelikan hati serta sifat kemasyarakatan.  Ulasan dari Dr. Ahmad Idham, Pengarah dan Penerbit bagi filem Saka Perawan, beliau berkata ‘’Genre komedi seram ini adalah genre kegemaran saya. Ini adalah filem untuk mereka yang berani ketawa dalam ketakutan. Saya mengambil balik formula-formula seperti menggabungkan kumpulan pelawak dan artis yang bukan pelawak di dalam satu penceritaan seram dalam kelompok masyarakat Melayu di sebuah perkampungan tentang pembelaan entiti saka untuk diangkat menjadi filem.

Menurut Dr. Ahmad Idham, ‘’Selain gabungan elemen seram dan komedi yang baik, keunikan filem ini digerakkan oleh penceritaan itu sendiri di mana ia diambil melalui kritikan sosial yang amat dekat dengan masyarakat kini. Ianya mampu mewujudkan humor & komedi yang akan menghiburkan para penonton seisi keluarga.’’

Menyentuh mengenai barisan pelakon yang menyerlahkan lagi filem ini, tambah beliau, “Kehadiran barisan pelakon komedi legenda dan pelakon baharu banyak membantu menyeimbangkan dinamik  watak-watak dalam filem ini.  Secara tidak langsung sisi kelakar dalam setiap pelakon dapat dikeluarkan tanpa mereka sedari.  Mereka begitu profesional dan seolah-olah mempunyai keserasian yang sangat luar biasa semasa sesi penggambaran filem ini dijalankan.  Harapan saya bagi filem ini, dengan kehadiran barisan pelakon hebat tanah air, ianya dapat diterima ramai sekaligus menarik penonton mahupun peminat-peminat barisan pelakon filem ini untuk menyaksikan Saka Perawan  yang bakal merasuki semua di pawagam pada 27 Jun ini.’’

Naskah sentuhan Dr. Ahmad Idham ini juga melahirkan runut bunyi yang menggunakan tajuk yang sama iaitu ‘Saka Perawan’, dinyanyikan oleh kumpulan Floor 88 dengan penampilan khas dari  Azlee dan Yassin Senario.  Lagu ini adalah hasil nukilan Zai Hamzah, gitaris Floor 88 yang juga dikenali sebagai komposer dan penulis lirik yang berbakat besar.  Menurut Zai Hamzah  “Lagu ‘Saka Perawan’ ini berunsurkan lagu rakyat dan telah disiapkan dalam tempoh sebulan. Tercetusnya inspirasi bagi lagu dan lirik ini berdasarkan jalan cerita filem Saka Perawan itu sendiri, mengenai nenek yang mempunyai dua pendamping dan sering bersenandung lagu ‘air pasang pagi’ setiap kali beliau dalam keadaan normal. Kami mengharapkan peminat dan pendengar dapat menerima dan menggemari kolaborasi kami dengan bintang legenda Azlee dan Yassin dari kumpulan Senario ini.”

‘Saka Perawan’ sudah tersedia dan boleh dimuat turun di semua pelantar digital melalui platform seperti iTunes atau aplikasi penstriman seperti Spotify & Apple Music Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, layari saluran rasmi YouTube di Alternate Records & Talents atau ikuti Instagram @alternate.my_.

Layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta saluran YouTube Primeworks Studios – filem untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #SakaPerawan #BomohOnline #KitaLihatSiapaYangKena bagi berkongsi ulasan tentang filem ini.

Mari kita lihat siapa yang kena!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *