Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan komitmen berterusan terhadap pengembangan seni muzik dan budaya di Kuala Lumpur, memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, sebuah inisiatif berterusan bagi menghidupkan semula Panggung Anniversari, antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur.
Sejak sekian lama, Panggung Anniversari telah menjadi saksi kepada perjalanan dan evolusi seni tanah air, merangkumi pelbagai bentuk ekspresi termasuk muzik, teater, puisi, tarian tradisional serta persembahan moden dan eksperimental yang merentas generasi. Kewujudan panggung ini bukan sekadar simbol sejarah, malah merupakan sebahagian daripada memori kolektif warga kota dan landskap budaya Kuala Lumpur.
Sebagai salah satu acara pembuka tirai program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) akan mempersembahkan Konsert GEGAR PANGGUNG, menampilkan dua kumpulan legenda rock tanah air, SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER, secara percuma di pentas terbuka ikonik Panggung Anniversari.
Konsert ini akan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.30 malam, bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana. Persembahan akan dimulakan oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum pentas digegarkan oleh SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER dalam satu malam penuh nostalgia dan ledakan irama rock. Acara ini akan dihoskan oleh Nadia.
Penampilan SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER dijangka menjadi tarikan utama memandangkan kedua-dua kumpulan legenda ini sentiasa menerima sambutan luar biasa serta mencatatkan rekod tiket habis terjual bagi setiap persembahan berbayar mereka. Maka dengan itu, peluang menyaksikan persembahan mereka secara percuma di pentas terbuka ikonik ini merupakan penghargaan istimewa DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026), sekali gus memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan berdaya saing.
Bagi memeriahkan suasana, jualan makanan dan minuman akan bermula seawal jam 5.00 petang, dan pengunjung digalakkan datang lebih awal untuk menikmati suasana santai serta mendapatkan tempat duduk lebih awal.
Sebagai sebuah fasiliti persembahan dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari memiliki nilai sejarah yang tinggi sebagai ruang rehlah seni serta titik pertemuan budaya masyarakat bandar. Menyedari kepentingan legasi ini, DBKL telah merangka 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026, bermula awal Januari, bagi memastikan panggung ini berfungsi secara aktif dan berterusan.
Program-program yang dirancang secara inklusif ini melibatkan penggiat seni lama dan baharu, dengan tujuan meneruskan legasi Panggung Anniversari sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform berterusan merentas generasi dan genre, serta menyokong agenda pemuliharaan warisan bandar di bawah inisiatif Warisan KL.
Sehubungan itu, DBKL mengalu-alukan kerjasama agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, NGO, sektor korporat serta komuniti seni bagi bersama-sama menjayakan programprogram sepanjang tahun 2026 di Panggung Anniversari.
Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), dengan sokongan kewangan Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan usaha pemuliharaan dan pengaktifan lokasi di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari bakal kembali berfungsi sebagai nadi seni budaya kota serta ruang hidup yang terus mencipta kenangan dan membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.

