(HIBURAN) Strawberi & Karipap Musim Ketiga Gandingkan Hisyam Hamid & Fouziah Ghous – Pengembaraan Nini & Haikal Bersambung di Hong Kong!

Spread the love

Dari kiri, Feroz Kader, Hisyam Hamid, Chia Shue En, Rykarl Iskandar, Fouziah Ghous, Hadzelynda Khairuddin, Alia Ramly

Kuala Lumpur, 13 Mei 2016 – Siri drama komedi kanak-kanak popular, Strawberi & Karipap muncul dengan musim terbaru menggandingkan dua nama baru, Hisyam Hamid dan Fouziah Ghous selaku teraju utama di samping dua bintang ciliknya yang tidak asing lagi iaitu Mia Sara dan Rykarl Iskandar. Drama 13 episod arahan Feroz Kader ini telah menemui penonton setia Astro mulai 7 Mei 2016 lalu di saluran 611, Astro Ceria dan Astro Maya HD, saluran 135, setiap Sabtu, jam 11 pagi. Buat kali kedua berturut-turut, drama ini mendapat tajaan NESTLÉ NESTUM® yang sentiasa menyokong program sebegini.

Menariknya kali ini, Strawberi & Karipap Musim Ketiga telah menjalani pengambaran di Hong Kong, menerusi kerjasama yang dijalinkan bersama pihak Hong Kong Tourim Board (HKTB). Sinematografi berlatar belakangkan bandaraya Hong Kong yang cukup moden pastinya memberikan ‘mood’ yang berbeza dalam drama ini. Hisyam Hamid memegang watak sebagai Faris, ayah kandung kepada Haikal lakonan Rykarl Iskandar manakala Fouziah Ghous memainkan peranan Maya, ibu kandung Nini yang telah berkahwin dengan Faris. Zizan Nin dan Nelydia Senrose yang sebelum ini menjadi teraju utama musim kedua Strawberi & Karipap akan turut membuat kemunculan khas dalam drama ini selain menampilkan seorang pelakon cilik baru, Chia Shue En.

Menurut Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja; Hadzelynda Khairuddin “Strawberi & Karipap merupakan antara program Astro Ceria yang mendapat sambutan baik daripada penonton kami. Rata-ratanya tertarik dengan telatah Nini dan Haikal di samping jalan cerita yang sesuai ditonton seisi keluarga. Justeru, kami bawakan musim terbaru drama ini dengan barisan pelakon yang lebih hebat, juga garapan jalan cerita yang lebih menarik, khas untuk pengikut setia drama ini. Jenama Strawberi & Karipap yang tidak asing lagi bagi saluran 611, Astro Ceria ini padat dengan nilai-nilai positif serta turut memaparkan sifat yakin diri dan kebijaksanaan Nini dan Haikal dalam menyelesaikan masalah orang dewasa”.

“ Kami juga bertuah kali ini kerana pihak Hong Kong Tourism Board (HKTB) sudi berkerjasama dan menyediakan lokasi pengambaran yang cukup cantik, menjadikan drama Strawberi & Karipap musim ini sesuatu yang segar dan baru, untuk disajikan kepada penonton kami. Sepanjang melakukan pengambaran di sana, banyak lokasi menarik di Hong Kong dapat kami rakamkan dan ia menjadikan musim terbaru Strawberi & Karipap lebih menarik. Kami sangat bertuah kerana dapat berkongsi keunikan dan keindahan bumi Hong Kong bersama penonton di rumah. Oleh itu, kami begitu berharap agar para penonton terutamanya anak-anak di luar sana akan berasa terhibur dengan buah tangan kami yang cukup istimewa ini”.

Tambah Hadzelynda lagi “ Sebagai satu-satunya saluran kanak-kanak di Malaysia, kami mahu program-program  di Astro Ceria berupaya menghiburkan anak-anak kita di rumah, namun dalam masa yang sama mampu mendidik mereka dengan nilai-nilai murni yang ditampilkan dalam program kami. Kami gembira apabila drama Strawberi & Karipap diterima baik penonton di rumah. Sudah pasti, kami telah melakukan penambahbaikan ke dalam musim kali ini terutamanya dalam memastikan mesej kekeluargaan itu disampaikan dengan cukup berkesan. Sekalung penghargaan juga buat pihak NESTLÉ NESTUM® atas kesudian menjadi penaja utama drama ini“.

Strawberi & Karipap Musim Ketiga membawa penonton mengikuti kisah Nini dan Haikal selepas Pak Su (Zizan Nin) dan Aunty Lisa (Nelydia Senrose) berkahwin. Ibu kandung Nini, Maya (Fouziah Ghous) membuat kejutan kepada Nini dan Haikal apabila mengajak mereka tinggal di Hong Kong bersama-sama Faris (Hisyam Hamid). Pengembaraan Nini dan Haikal di Hong Kong bermula baik apabila mereka ternyata suka akan bandar tersebut. Maya dan Faris membawa Nini dan Haikal melawat tempat-tempat menarik sekitar Hong Kong seperti Disneyland dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, Nini dan Haikal berkesempatan mempelajari bahasa Kantonis di sana. Namun begitu, keseronokan Nini dan Haikal tinggal di Hong Kong tidak berpanjangan apabila Faris diminta untuk pulang semula bertugas di Kuala Lumpur. Apakah yang akan berlaku? Semuanya dapat kita saksikan dalam drama Strawberi & Karipap Musim Ketiga.

Ikuti perjalanan kisah hidup keluarga kecil mereka menerusi drama komedi bersiri Strawberi & Karipap Musim Ketiga yang bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135). Drama 13 episod ini diterbitkan Global Station Sdn Bhd, sebuah syarikat produksi yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran tempatan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *