(HIBURAN) ‘TARUNG: UNFORGIVEN’ HIMPUNKAN BARISAN PELAKON HEBAT DI GELANGGANG PAWAGAM BERMULA 7 MEI 2026!

Spread the love

Kuala Lumpur, 14 Mac 2026 – Gerbang ke sebuah pertarungan epik bakal bermula di layar perak menerusi filem aksi paling dinantikan 2026, TARUNG: Unforgiven. Taruhan terbaru daripada Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini digerakkan oleh sentuhan pengarah Razaisyam Rashid yang sinonim dengan gaya visual dan sinematografi memukau.

Bertempat di MITEC, barisan pelakon utama Tarung: Unforgiven diperkenalkan secara rasmi kepada umum buat pertama kalinya hari ini, menandakan permulaan perjalanan filem ini menuju tayangan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. Sebuah video berdurasi 1 minit turut dilancarkan dan bakal ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara.

Tarung: Unforgiven menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

Menurut Pengarah dan Penulis Skrip TARUNG: Unforgiven, Razaisyam Rashid yang juga bertindak selaku Penerbit Eksekutif, “Filem ini berdiri atas kekuatan ‘ensemble cast’ yang membawa tenaga dan lapisan emosi yang saling melengkapi, menjadikan konflik di layar terasa lebih besar dan lebih manusiawi. Tema utama filem ini sebenarnya sangat peribadi, ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar bukan menentang musuh di luar, tetapi menentang kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri. Itu yang saya mahu penonton rasa apabila mereka keluar dari pawagam. Dari segi produksi, ini adalah projek paling besar yang pernah kami lakukan. Namun pada masa yang sama, saya membawa pendekatan yang berbeza daripada karya-karya sebelum ini baik dari gaya visual, koreografi aksi, hinggalah cara penceritaan. TARUNG: Unforgiven adalah evolusi kerja saya sebagai pembikin filem.”

Filem ini juga menyaksikan langkah baharu Aedy Ashraf sebagai Penerbit Eksekutif dan Penerbit TARUNG: Unforgiven. “TARUNG: Unforgiven sangat bermakna buat saya kerana projek ini menandakan langkah baharu dalam kerjaya saya, bukan sahaja sebagai pelakon utama tetapi juga sebagai penerbit. Pada usia 33 tahun, mengambil keputusan untuk menerbitkan filem blockbuster sendiri memang satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai evolusi dalam perjalanan saya dalam industri. Melalui syarikat produksi saya, Alpha47, saya kini terlibat secara langsung dalam pembangunan projek, proses produksi dan hala tuju kreatif filem. Bekerjasama dengan salah seorang pengarah terbaik tanah air Razaisyam Rashid juga memberi pengalaman yang sangat mengujakan kerana kami berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif dan mampu menarik perhatian penonton arus perdana. Bagi saya, TARUNG: Unforgiven adalah permulaan kepada aspirasi jangka panjang untuk membina produksi tempatan yang lebih kuat dan berdaya saing.”

TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.

Ikuti perkembangan terbaru dan klip menarik filem ini di semua digital platform Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw. Gunakan #TarungUnforgiven bagi berkongsi dan ikuti keterujaan tentang filem ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *