Kejadian mengenai kehilangan kanak-kanak sememangnya antara kes yang sering menjadi tumpuan masyarakat. Biarpun kebanyakan kes dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa, namun ada juga segelintir kes yang terus menjadi misteri. Oleh yang demikian, ia telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem berjudul TELAGA SURIRAM.
Pengarahnya, Osman Ali berkata filem berkenaan diinspirasikan daripada secebis kisah yang berlaku suatu masa dahulu, di mana kes kanak-kanak yang mati terjatuh ke dalam telaga.
“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.
“Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun,” jelasnya.
Telaga Suriram berkisar kepada kejadian seorang kanak-kanak bernama Suriram yang kehilangannya menjadi misteri penduduk kampung.
Menariknya, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rafasya.
Osman berkata, untuk karya terbaharu arahannya itu juga mempunyai kelainan berbanding filem-filem seram lain.
“Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja.
“Saya ingin membawakan pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai proses pembikinan filem, Osman mengakui turut berdepan cabaran ketika penggambaran dilakukan.
Ujarnya, kebanyakan lokasi penggambaran adalah di kawasan kampung tradisional yang mempunyai kisah tersendiri untuk mendapatkan suasana seram yang lebih autentik.
“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.
“Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Yus Yusop selaku penerbit memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan filem Telaga Suriram bermula kerana minatnya terhadap cerita-cerita rakyat yang kaya dengan unsur sejarah dan elemen mistik.
Ujarnya, berdasarkan perbincangan dengan pengarah, pihaknya merasakan cerita sedemikian sangat sesuai untuk diangkat ke layar perak.
“Filem ini dihasilkan pada tahun 2022 dan menjalani proses yang sangat teliti dari peringkat skrip hingga pasca produksi. Itu yang menyebabkan masa selama tiga tahun terpaksa diambil untuk siap secara keseluruhannya.
“Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di layar perak sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan,” ujarnya.
Selain mengharapkan sambutan hangat penonton, Yus juga berharap agar filem ini bukan sahaja dapat menarik perhatian peminat filem seram, tetapi mereka yang menghargai seni dan budaya masyarakat di negara ini.
Telaga Suriram merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali ini dan terbitan sulung syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman Ali, Nuansa Films yang akan ditayangkan di pawagam mulai 1 Mei 2025.
Telaga Suriram menjalani sesi penggambaran selama 45 hari bermula penghujung Januari 2022 yang berlangsung di Perlis, Kedah dan Perak.
SINOPSIS
Telaga Suriram mengisahkan tentang kejadian di sebuah kampung terpencil. Insiden kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram menjadi misteri, pelbagai cerita orang kampung tentang korban saka dan anasir mistik menjadi bualan hangat. Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan terus berusaha mencari kehilangan anak mereka. Seorang gadis bisu yang menjadi pengasuh Suriram bernama Maimon (Nabila Huda) menjadi suspek utama pembunuh Suriram. Zakir (Farid Kamil), seorang bakal pemimpin muda yang memperjuangkan keadilan buat Suriram membantu seorang Pegawai Penyiasat bernama Karmila (Scha AlYahya) bersama-sama dalam menyiasat dan memperjuangkan keadilan terhadap kematian Suriram.
SENARAI PELAKON
MAYA KARIN | – Rohaya | |
NABILA HUDA | – Maimon | |
FARID KAMIL | – Zakir | |
SCHA ALYAHYA | – Inspektor Karmila | |
PUTERI RAFASYA | – Suriram | |
ELLIE SURIATY | – Tijah | |
FAUZI BAADILLA | – Sopiyan | |
ZACK ZABHAS
TEAM PRODUKSI |
– Hj. Mulok | |
TERBITAN | – Odissi Creative Sdn. Bhd. | |
PENERBIT | – Yus Yusop | |
PENGARAH | – Osman Ali | |
PENGARAH FOTOGRAFI | – Khalid Zakaria | |
SOLEKAN | – Faizul Zoulkifli | |
EDITOR | – Nik Johan |