(SEMASA) ASLI, BERKUASA, TIADA TANDINGAN: BENDA CHINCHILLA 500 KINI DI MALAYSIA.

Spread the love

SELANGOR, 20 MAC 2025 – Benda Malaysia sekali lagi mengejutkan pasaran motosikal dengan pelancaran model terbaru, Benda Chinchilla 500, sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan (mid-range) yang menggabungkan kuasa, gaya dan teknologi terkini. 

Motosikal ini sangat sesuai untuk penunggang yang mahukan pengalaman tunggangan santai tetapi tetap berkuasa. Dilengkapi dengan enjin bersaiz sederhana, kedudukan tempat duduk yang seimbang dan reka bentuk ergonomik untuk perjalanan yang lebih selesa di jalan raya bandar.

Dengan enjin V2-silinder, 4-lejang, 8-injap, DOHC dan 475.6cc, motosikal ini memberikan pengalaman menunggang yang autentik, berkuasa dan mengutamakan kepuasan penunggang. Pelancaran rasmi motosikal ini diadakan bersempena dengan program ‘Santapan Berbuka Bersama Media’ yang dijalankan di Courtyard, Kuala Lumpur.

Harga bagi Benda Chinchilla 500 bermula dari RM 27,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Peminat motosikal kini boleh mendapatkan model ini di pengedar-pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.

Benda Chinchilla 500 hadir dengan tiga pilihan warna yang elegan dengan aura keperibadian yang unik iaitu Hitam, Biru dan Kelabu. Motosikal ini turut menawarkan gabungan reka bentuk retro-moden yang memikat. Dengan lampu LED depan dan belakang yang bersifat estetika vintaj dan teknologi terkini, motosikal ini bukan sahaja kelihatan berani tetapi juga meningkatkan keselamatan penunggang.

Jentera dua roda ini turut menghasilkan kuasa maksimum 35.0 kW pada 9,000 rpm dan tork maksimum 42.0 Nm pada 7,200 rpm. Sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) memastikan prestasi yang lancar dan cekap, sesuai untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jauh.

Benda Chinchilla 500 juga dilengkapi dengan sistem keselamatan optimum iaitu fungsi ABS dwi-saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang meningkatkan keselamatan serta kestabilan tayar khususnya semasa ketika memecut dan brek mengejut di permukaan licin atau berpasir.

Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi dengan Side Stand Safety Switch yang menyekat motosikal daripada hidup semasa menukar gear dalam keadaan tongkat motosikal tidak diangkat. Penggunaan tali sawat sebagai medium transmisi turut meningkatkan kelancaran dan keselesaan semasa menunggang.

Dengan tangki bahan api berkapasiti 16 liter, Benda Chinchilla 500 memberikan kepuasan dari segi jarak perjalanan yang lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak. Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi depan fork teleskopik jenis upside down dan suspensi belakang penyerap hentak berkembar yang menstabilkan kawalan secara lebih baik semasa menunggang.

Selari dengan konsep retro-moden, Benda Chinchilla 500 turut dilengkapi panel meter digital yang minimalis dengan pemaparan maklumat yang jelas. Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan dua jenis port pengecasan USB iaitu Type-A dan Type-C yang membolehkan penunggang mengecas peranti mereka semasa dalam perjalanan.

Dengan reka bentuk yang ergonomik, Benda Chinchilla 500 menawarkan dua tempat duduk yang selesa untuk penunggang dan pembonceng. Bagi meningkatkan kenikmatan tunggangan, sistem ekzos berkembar turut memberikan bunyi deruman enjin yang garau dan ‘bassy’ tetapi juga menambah elemen gaya pada motosikal ini.

Berat keseluruhan cruiser ini adalah 215kg dengan ketinggian tempat duduk 705mm. Dimensinya pula adalah 2,220mm panjang, 890mm lebar dan tinggi 1,150mm. Saiz tayar hadapan bersaiz 150/80-16 dan tayar belakang 180/65-16. Bagi diameter dan lejang pula, masing-masing berukuran 69mm dan 63.6mm.

Benda Chinchilla 500 telah memberikan definisi sempurna antara kuasa, gaya dan teknologi. Dengan reka bentuknya yang menarik, prestasi yang mengujakan dan ciri-ciri keselamatan yang canggih, motosikal ini pasti akan menjadi pilihan utama bagi peminat motosikal di Malaysia.

Dengan setiap pembelian Benda Chinchilla 500, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *