(SEMASA) BMW Malaysia Merungkaikan Jentera BMW 218i Gran Coupé M Sport yang Sulung.

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2020 – BMW Malaysia telah memperkenalkan jentera coupé empat pintu yang pertama dalam segmen kompak premium di Time Kulture oleh Switch Watch Gallery, iaitu pameran jam tangan Swiss yang berprestij dianjurkan di Pavilion Kuala Lumpur.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami teruja dapat memperkenalkan coupe empat pintu pertama yang dipasang di Malaysia, di Time Kulture untuk meraikan saat-saat berharga ini, terutama dalam era ketidakpastian ini. Kami juga ingin meraikan semangat berdikari yang dinamik dari perusahaan-perusahaan tempatan yang tabah mengharungi detik yang mencabar ini melalui semangat tekad, ketahanan dan inovasi mereka. Ini adalah pandangan yang kami kongsi dengan Time Kulture yang mengetengahkan gaya hidup urban baru yang selalu tetapkan batasan baru dan menempuh setiap cabaran yang menghadirkan diri.”

Kenderaan Gran Coupé baharu daripada BMW ini telah dirungkaikan dalam varian BMW 218i Gran Coupé M Sport, di samping barisan model-model kenderaan yang disamari dengan gubahan seni unik oleh perusahaan, kumpulan sukarelawan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang meliputi Komuniti Tukang Jahit, Changgih Designs, INKAA dan Kanoe.

“Sejarah BMW Group yang diwarnai dengan kejayaan disumbang oleh kenderaan premium serba kecil, sporty dan dinamik yang telah memberi nafas baharu kepada industri automotif premium dunia. Sejak 1960-an dengan ‘Neue Klasse’, tiada pengeluar kenderaan premium lain yang mempunyai portfolio dan pengalaman yang ekstensif dalam pembangunan kenderaan kompak bertaraf premium. BMW 2 Series Gran Coupé ini mempersembahkan kepakaran tersebut dalam era baharu dengan stail abad ke-21, dinamik pemanduan bersifat emotif, dan inovasi perintis,” ujar Hoelzl.

Hoelzl turut menyatakan bahawa ketika BMW Malaysia memberi tumpuan kepada masa hadapan dengan kenderaan mereka dalam segmen kompak premium, pengeluar kenderaan ini juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan penghargaan kepada perusahaan, kumpulan sukarelawan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang bersifat dinamik dan bingkas dalam membantu komuniti-komuniti tempatan pada detik yang mencabar ini.

Kumpulan-kumpulan ini telah membantu menggubah reka cipta ‘camouflage’ yang unik berdasarkan pelbagai kisah yang menarik, seperti yang dipamerkan pada jentera-jentera BMW 218i Gran Coupé M Sport ketika ia meniti susur jalan raya Lembah Klang menjelang pelancarannya di Time Kulture.

BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung mempersembahkan satu lagi penambahan baharu dalam kelas kompak BMW yang bertaraf premium dengan interiornya yang elegan, dipadankan dengan kabin dan ruang muatan yang luas demi pemanduan yang lebih versatil. Turut melengkapi Gran Coupé ini ialah perkhidmatan digital baharu dan sistem bantuan pemandu yang hadir dengan teknologi tercanggih untuk membekalkan bantuan kepada pemandu dalam apa jua situasi.

Siluet ala coupé yang menawan.

BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung didatangkan dengan gril ‘kidney’ tunggal dalam rekaan tiga dimensi yang baharu, dipadankan dengan lampu hadapan LED serta lampu kabus LED yang langsing. Reka bentuk aerodinamik juga membekalkan pusat graviti yang rendah untuk memperlihatkan kedinamikan jentera ini, manakala pintu hadapan dan belakang yang tidak berbingkai menyerlahkan seni reka bentuknya yang sempurna.

Arkus roda dengan sentuhan moden, dan roda aloi ringan M dalam penggayaan dwiruji 819 M Bicolour 18” dengan tayar ‘runflat’ memberikan Gran Coupé ini penampilan yang gah. Di seksyen belakang, terletak set lampu belakang LED langsing yang dihubungkan oleh jalur hitam berglos tinggi. Gran Coupé baharu ini juga hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard, berserta dengan Garisan Bayang (Shadow Line) BMW Individual berglos tinggi.

 

Dinamik pemanduan yang berkuasa tinggi lagi efisien.

Gran Coupé baharu ini dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder dengan kapasiti 1.5 liter yang berkuasa tinggi dan efisien untuk kegunaan harian. BMW 218i Gran Coupé M Sport merupakan coupé BMW kompak yang pertama memanfaatkan penempatan enjin secara melintang. Enjin tersebut juga mematuhi piawaian EU6d-TEMP. Dengan output maksimum berjumlah 103 kW/140 kk dan puncak tork berjumlah 220 Nm, Gran Coupé baharu ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 8.7 saat. Kelajuan tertinggi jentera ini ialah 213 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya merekodkan 5.9 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km, dengan emisi karbon berjumlah 135 g per kilometer.

Kuasa disalurkan melalui transmisi dwiklac Steptronic Tujuh Kelajuan. Seperti BMW 1 Series, BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung juga didatangkan dengan seni bina pacuan roda hadapan (FWD) oleh BMW – menggandingkan dinamik pemanduan berkelas tinggi dengan ruang kabin yang lebih besar. Suspensi, redaman dan pengendalian juga telah dijitukan demi prestasi yang lebih sporty dalam Gran Coupé ini.

Penyumbang utama dalam aspek pengendalian FWD yang cemerlang ialah teknologi ARB (near-actuator wheel slip limitation) yang membenarkan intervensi kawalan yang lebih pantas dan sensitif, di samping meminimumkan sensitiviti pembelokan rendah (understeer) yang biasanya dialami dengan kenderaan FWD. Teknologi ARB ini menampilkan sistem kawalan gelincir yang terletak di dalam unit kawalan enjin, ia mewujudkan jarak signal yang lebih singkat, dengan output enjin yang akan dikurangkan jika wujud potensi kegelinciran pada roda hadapan.

Kabin yang memperlihatkan kemodenan dan sofistikasi.

Kokpit BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung mempersembahkan sofistikasinya, kelasakan dan kemewahan penampilan eksterior jentera ini dicerminkan dari dalam. Gran Coupé baharu membawakan kemasan trim beriluminasi dalam Illuminated Boston dan sumber cahaya LED melalui Lights Package untuk memperkayakan ambien ruang kabin. Stereng kulit M yang berciri multifungsi, kerusi kulit dengan upholsteri Leather Dakota, dan sistem penyaman udara automatik dua zon membekalkan pengalaman pemanduan yang menyelesakan.

Gran Coupé baharu ini turut hadir dengan BMW Live Cockpit Plus yang menampilkan takometer dan meter laju analog, serta skrin 5.1” berformat potret 4:3 yang memaparkan butiran seperti kelajuan kereta, status sistem bantuan pemandu dan arahan navigasi. Ia dilengkapkan oleh paparan kawalan skrin sentuh 8.8 inci.

Gran Coupé terbaharu hadir dengan konsol sentral yang merangkumi tuil gear, pengawal iDrive (iDrive Controller), pengawal dinamik pemanduan serta butang ‘push start’. Terletak di hadapannya, pemegang cawan dan talam ruang storan untuk memudahkan pengecasan melalui fungsi Telephony yang didatangkan dengan kemudahan tanpa wayar.

Rekaan khas ‘central tunnel’ membekalkan keselesaan dan ruang yang lebih luas bagi penumpang belakang jika dibandingkan dengan coupé dua pintu yang standard dalam segmen ini. Kompartmen muatan 430 liter jentera ini bersaiz 40 liter lebih lebar berbanding BMW 2 Series Coupe, lantas memudahkan pengguna, serta ruang yang besar ini juga boleh ditingkatkan lagi dengan melipat tempat duduk belakang dalam pembahagian 40/20/40. Comfort Access 2.0 turut disediakan untuk Gran Coupé terbaharu, berserta dengan Kunci Digital BMW untuk kemudahan tambahan.

Sistem bantuan memandu yang terbaik.

Bantuan ditawarkan melalui BMW Personal CoPilot yang menampilkan ciri-ciri kefungsian seperti Bantuan Memandu (Driving Assistant), Bantuan Memarkir (Parking Assistant), dan Bantuan Mengundur (Reversing Assistant). Sistem Bantuan Memandu ini merangkumi Amaran Penukaran Laluan (Lane Change Warning), Amaran Perentasan Trafik (Crossing Traffic Warning) di belakang, Amaran Perlanggaran Belakang (Rear Collision Warning), dan Bantuan Had Kelajuan (Speed Limit Assist). Ia juga meliputi Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning) dengan intervensi stering aktif, serta Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning) dengan fungsi intervensi brek. Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur juga disediakan sebagai standard, berserta dengan Kawalan Jarak Parkir Aktif (Active Park Distance Control) dan bantuan parkir lateral.

BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung ditawarkan dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Snapper Rock Blue, Storm Bay, dan Melbourne Red. Ruang interior akan dihiasi dengan upholsteri Leather Dakota berwarna hitam dengan sorotan rona biru dan hitam.

BMW 218i Gran Coupé M Sport yang sulung akan disediakan di semua pusat pengedaran BMW bertauliah di seluruh negara mulai 8 Oktober 2020. Pelanggan juga boleh menempah Gran Coupé terbaharu ini di http://www.shop.bmw.com.my/ pada harga RM1,000.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 218i Gran Coupé M Sport terbaharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 2,418.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

 

 

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW 218i Gran Coupé M Sport ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) BMW 218i Gran Coupé M Sport baharu dengan Pengecualian Cukai Jualan* ialah:

 

BMW 218i Gran Coupé M Sport Baharu                RM 211,367.00*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *