SELANGOR, 20 MAC 2025 – CFMOTO memperkenalkan model terbaharu dalam segmen adventure touring iaitu CFMOTO 700MT. Bermula dengan harga RM33,888 tidak termasuk cukai jalan dan insuran, model ini mampu dimiliki menerusi pengedar sah CFMOTO Malaysia. Motosikal ini telah dilancarkan bersempena majlis ‘Santapan Berbuka bersama Media’ yang berlangsung di Courtyard, Kuala Lumpur.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik, Nebula Black dan Nebula White, CFMOTO 700MT menjanjikan kepuasan tunggangan yang luar biasa, sama ada di laluan off-road mahupun on-road.
CFMOTO 700MT dikuasakan dengan enjin 2-silinder, 4-lejang, DOHC, sistem penyejukan cecair bersesaran 693cc, kuasa maksimum 50kW pada 9,500rpm dan tork maksimum 60Nm pada 6,000rpm. Dengan nisbah mampatan 11.6:1, model ini direka untuk menawarkan keseimbangan optimum antara prestasi dan kecekapan bahan api, menjadikannya pilihan terbaik bagi penjelajahan jarak jauh.
Dari segi sistem transmisi, CFMOTO 700MT menggunakan kotak gear 6-kelajuan dengan fungsi klac slipper, memastikan pertukaran gear yang lebih lancar dan kawalan lebih baik, terutama dalam keadaan jalan yang mencabar. Sistem pacuan rantai turut memastikan penghantaran kuasa yang cekap sepanjang perjalanan.
Uniknya, CFMOTO 700MT turut dilengkapi fungsi Upshift Alert yang berperanan memberikan amaran kepada penunggang apabila perlu menukar gear ke atas (upshift).
Ia membantu mengoptimumkan prestasi enjin dengan memastikan penukaran gear berlaku pada keadaan yang sesuai bermula dari tetapan 2,000rpm sehingga 11,900rpm.
Bagi mengekalkan kestabilan optimum di pelbagai permukaan jalan, CFMOTO 700MT dilengkapi dengan suspensi hadapan upside-down dan penyerap hentak belakang monoshock boleh laras. Hal ini mampu meningkatkan prestasi motosikal untuk perjalanan jauh serta penjelajahan off-road.
CFMOTO 700MT juga dilengkapi lapan port piston caliper dan dua brek cakera berkembar pada bahagian hadapan serta satu port piston caliper dengan cakera tunggal di bahagian belakang.
Ditambah juga fungsi ABS dua saluran untuk memastikan kuasa pemberhentian yang lebih responsif dan selamat dalam pelbagai keadaan jalan. Lebih eksklusif, ABS pada bahagian tayar belakang boleh dinyahaktifkan untuk meningkatkan kepuasan penggemarpenggemar off-road.
Fungsi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) juga boleh ditetapkan untuk aktif atau tidak bergantung kepada mod tunggangan penunggang.
CFMOTO 700MT turut dilengkapi dengan fungsi Pemanas Grip dan Pemanas Tempat Duduk yang boleh dilaras mengikut beberapa tahap untuk memastikan keselesaan optimum bagi penunggang. Ciri ini amat berguna dalam memberikan kehangatan dan keselesaan tambahan sepanjang tunggangan terutamanya mereka yang menempuh perjalanan jauh khususnya kawasan bersuhu rendah.
Dari segi ketahanan, model ini dibina dengan swingarm jenis aloi aluminium dua sisi. Ia menggunakan tayar CST jenis spoke tubeless bersaiz 110/80 R19 di hadapan dan 150/70 R17 di belakang, memberikan cengkaman yang lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.
Pelindung hentakan dan plat pelindung pada CFMOTO 700MT direka untuk memberikan perlindungan tambahan kepada enjin dan rangka dalaman motosikal, mengurangkan risiko kerosakan akibat hentakan atau serpihan ketika menunggang di laluan mencabar.
Dengan dimensi keseluruhan 2,244mm (panjang) x 932mm (lebar) x 1,435mm (tinggi) serta jarak roda 1,445mm, CFMOTO 700MT menawarkan kestabilan terbaik bagi pengendalian dalam pelbagai situasi. Tempat duduk pada ketinggian 800mm serta jarak dari tanah 190mm menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis penunggang.
Untuk kemudahan dan pengalaman tunggangan lebih baik, CFMOTO 700MT dilengkapi dengan paparan meter TFT 5 inci yang memberikan akses mudah kepada maklumat penting sepanjang perjalanan serta mengelakkan dari masalah silau berlaku. Selain itu, motosikal ini turut menyediakan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Pemilik motosikal yang memiliki peranti T-Box juga dapat menggunakan pelbagai aplikasi pintar yang menarik untuk diteroka iaitu CFMOTO Ride App dengan fungsi-fungsi tambahan seperti My Ride, lokasi sebenar, sistem peringatan dan sebagainya.
Pada bahagian hadapan CFMOTO 700MT juga mempunyai pelindung angin yang boleh dilaras secara manual mengikut keselesaan dan keperluan penunggang. Motosikal ini juga dilengkapi dengan dua ruang simpanan sisi (side boxes) serta ruang simpanan atas (top box) masing-masing dengan kapasiti 35L dan 45L.
Sistem keselamatan turut dipertingkatkan dengan fungsi TPMS (Sistem Pemantauan Tekanan Tayar) yang memastikan tayar berada dalam keadaan optimum setiap masa. CFMOTO 700MT juga mempunyai Emergency Stop Signal (ESS) yang mengaktifkan lampu kecemasan secara automatik semasa brek kecemasan.
Bagi ketahanan perjalanan jauh, motosikal ini hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 20 liter, membolehkan penunggang menikmati perjalanan lebih panjang tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Spesifikasi canggih dan ciri keselamatan yang lengkap ini telah menjadikan CFMOTO 700MT sebagai pilihan ideal bagi mereka yang mencari motosikal touring berprestasi tinggi dengan teknologi moden.
Dengan setiap pembelian CFMOTO 700MT, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.