(SEMASA) Coca-Cola Malaysia laksana pelbagai inisiatif sepanjang Ramadan

Spread the love

Coca-Cola Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif di seluruh negara sepanjang Ramadan ini, antaranya mengadakan majlis berbuka puasa untuk golongan kurang bernasib baik yang dijalankan bersama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid Malaysia) dan membawakan watak televisyen popular, Mak Cun, di beberapa Bazar Ramadan bagi membantu peniaga menarik pelanggan.

“Bagi rakyat Malaysia, Ramadan adalah waktunya untuk bersama keluarga, berhimpun sesama anggota masyarakat dan juga bulan untuk kebajikan dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai sebuah syarikat bertaraf global yang berada di negara ini sejak 80 tahun lalu, Coca-Cola gembira kerana dapat menyumbang kepada anggota masyarakat di tempat di mana kami menjalankan perniagaan,” kata Pengurus Negara, Malaysia, Singapura dan Brunei The Coca-Cola Company, Ahmad Yehia.

Program kebajikan tahunan pada bulan Ramadan Muslim Aid Malaysia Fast2Feed tahun ini yang diadakan di 26 lokasi di seluruh negara ditaja oleh Coca-Cola dengan menyediakan hidangan berbuka puasa dan barangan keperluan kepada 4,000 penerima, termasuk duit Raya dan pakaian baharu bagi memberikan keceriaan kepada mereka sepanjang Ramadan ini seterusnya menyambut Hari Raya.

Pada program yang dijalankan, sementara menunggu waktu berbuka puasa, kanak-kanak yang terbabit akan dihiburkan dengan aktiviti seni dan kerjatangan manakala kakitangan Coca-Cola dari cawangan seluruh negara akan melayan mereka sewaktu majlis berbuka puasa dan turut terbabit dengan aktiviti yang diadakan.

Memasuki tahun kelapan, kerjasama antara Coca-Cola dengan Muslim Aid Malaysia turut menyaksikan pembabitan beberapa pelanggan Coca-Cola Malaysia – Texas Chicken, Mydin, AEON Big, CapitaLand Malaysia dan PNB Commercial – yang memberikan sentuhan istimewa pada majlis yang diadakan dengan memberikan cenderahati untuk menjadikan apa yang dilalui sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna.

“Pembabitan berterusan Coca-Cola membolehkan Muslim Aid Malaysia meningkatkan capaiannya terhadap lebih ramai komuniti kurang bernasib baik tahun demi tahun. Kami amat mengalu-alukan sumbangan masyarakat awam, sama ada orang perseorangan atau syarikat korporat untuk bersama kami membantu dan menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan,” Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid Malaysia, Habsah Marjuni.

Selain itu, program latihan Coca-Cola Malaysia untuk usahawan – Coca-Cola Komuniti Usahawan (Coca-Cola KU) juga mengambil tempat sepanjang Ramadan ini yang mana 30 usahawan wanita yang dibimbing di bawah program yang dijalankan di seluruh negara itu, menjalankan perniagaan di beberapa Bazar Ramadan, menjual pelbagai hidangan enak.

Bagi menceriakan Bazar Ramadan berkenaan, pelbagai acara dirancang seperti lawatan oleh watak siri televisyen popular, Mak Cun yang dibawakan Erma Fatimah, yang juga peniaga kecil yang berusaha menjadi usahawan berjaya di desanya, juga siaran langsung oleh penyampai radio dari beberapa stesen radio serta kehadiran trak Coca-Cola.

Turut bersama Coca-Cola tahun ini adalah Pengurus Operasi, perniagaan Coca-Cola di Palestin, National Beverage Company, Mohamad Safi, 35, yang pertama kali meraikan Ramadan di Malaysia kerana mengikuti program pertukaran dan mendalami proses perniagaan di loji berteknologi tinggi Coca-Cola Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan. Sebagai timbal balik kepada program ini, kakitangan Coca-Cola Malaysia akan dihantar ke National Beverage Company untuk berkhidmat di sebuah daripada empat lojinya yang mengeluarkan minuman Coca-Cola untuk penduduk negara itu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *