PERAK, 21 JUN 2025 – Selepas kejayaan pelancaran CFMOTO 800MT-X ketika Majlis Pembukaan CFMOTO Flagship Store oleh Men Huat Motors Sdn. Bhd., kini CFMOTO sekali lagi mencuri tumpuan komuniti permotoran dengan memperkenalkan model naked-bike terbaharu yang serba fleksibel dan praktikal untuk kegunaan harian serta tunggangan bandar iaitu CFMOTO 675NK.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna yang bergaya dan menyerlah iaitu Glacier White dan Tundra Grey, model ini boleh dimiliki dengan harga permulaan hanya RM33,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), menjadikannya pilihan terbaik bagi penunggang baharu mahupun berpengalaman. CFMOTO 675NK kini boleh ditempah di semua pengedar sah CFMOTO seluruh Malaysia.
CFMOTO 675NK dikuasakan oleh enjin 3-silinder sebaris, 4-lejang, DOHC, 675cc dengan sistem penyejukan cecair yang direka khas untuk memberikan prestasi dinamik dan lancar dalam pelbagai keadaan jalan. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 70kW pada 11,000 rpm dan tork 70Nm pada 8,250 rpm, memberikan tindak balas pendikit yang tajam dan pecutan memberangsangkan sama ada di lebuh raya mahupun laluan bandar.
Reka bentuk enjin dengan piston dan lejang 72mm x 55.2mm serta nisbah mampatan 11.5:1 menawarkan keseimbangan terbaik antara kuasa dan kecekapan bahan api. Sistem Bosch EFI pula memastikan penyaluran bahan api yang responsif dan lancar sepanjang tunggangan.
Model ini dilengkapi dengan transmisi 6-kelajuan dan sistem pacuan akhir jenis rantai, serta klac jenis ‘wet multi-plate’ bersama fungsi slipper clutch yang memberikan kawalan lebih baik semasa membrek atau menuruni bukit secara agresif.
Turut hadir ialah sistem quickshifter (untuk upshift sahaja) yang membolehkan penunggang menukar gear dengan pantas tanpa perlu menarik klac.
Bagi meningkatkan ketepatan kawalan, motosikal ini dilengkapi dengan steering damper yang menawarkan kestabilan tinggi ketika mengambil selekoh dan pada kelajuan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan terbalik φ41mm boleh laras penuh dan penyerap hentak belakang jenis monoshock, kedua-duanya dengan jarak pergerakan 130mm, memberikan keselesaan maksimum merentasi permukaan tidak rata atau selekoh tajam.
Dari segi dimensi, CFMOTO 675NK berukuran 2,020mm panjang, 849mm lebar dan 1,155mm tinggi, dengan jarak roda 1,400mm. Ketinggian tempat duduk 810mm dan jarak kelegaan tanah 150mm menjadikannya sesuai untuk pelbagai saiz penunggang. Dengan berat hanya 189kg, motosikal ini mudah dikawal, terutamanya di kawasan bandar. Tangki bahan api 15 liter pula memberikan jarak perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Sistem brek terdiri daripada komponen premium J.Juan, dengan cakera berkembar φ300mm di hadapan (kaliper 4 piston) dan cakera tunggal φ240mm di belakang (kaliper 1 piston). Model ini juga dilengkapi dengan sistem ABS dwi-saluran untuk kestabilan pemberhentian yang lebih selamat dan responsif.
Motosikal ini menggunakan rim aloi ringan yang dipadankan dengan tayar CST, bersaiz 120/70 R17 di hadapan dan 180/55 R17 di belakang, memberikan cengkaman mantap serta kestabilan atas pelbagai permukaan jalan.
Untuk keselamatan tambahan, model ini disertakan dengan sistem Traction Control (TCS) standard dengan dua tahap pilihan, membolehkan kawalan optimum dalam keadaan jalan yang licin atau mencabar.
Ia turut dilengkapi dengan sistem TPMS (Pemantauan Tekanan Tayar) yang memberi amaran masa nyata terhadap tekanan tayar yang tidak stabil, sekali gus membantu menjimatkan bahan api dan mengelakkan insiden tayar pancit secara tiba-tiba.
Melengkapkan prestasinya yang mengagumkan, CFMOTO 675NK juga hadir dengan pelbagai ciri moden seperti lampu LED penuh, sokongan aplikasi CFMOTO Ride App, serta port pengecas USB Type-A dan Type-C, menjadikannya teman terbaik untuk perjalanan harian atau pengembaraan hujung minggu.
Sumber kuasa elektrik motosikal ini disokong oleh bateri 12V, yang memastikan semua sistem elektronik beroperasi dengan lancar.
Dengan setiap pembelian CFMOTO 675NK, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.

