PULAU PINANG, 24 DISEMBER 2025 – Pasaran kenderaan elektrik di Malaysia menyambut kehadiran EZI, sebuah jenama skuter elektrik baharu yang diasaskan oleh Kumpulan Keeway pada tahun 2020 secara rasmi membuat penampilan sulungnya di negara ini. Model pertama yang diperkenalkan ialah EZI TS1, sebuah skuter elektrik moden yang direka khas untuk kegunaan harian di kawasan bandar, dengan gabungan teknologi pintar, praktikaliti dan kecekapan tenaga.
Ditawarkan pada harga RM4,288.00 (tidak termasuk cas pendaftaran dan insurans), EZI TS1 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Blue, Orange dan White, sekali gus memenuhi keperluan pelbagai gaya penunggang urban. Model EV ini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.
Sebagai model sulung jenama EZI, EZI TS1 dikuasakan oleh motor hab berkuasa 2,000 W yang menawarkan prestasi tunggangan yang lancar dan responsif. Digandingkan dengan bateri Graphene 72V32Ah, skuter ini mampu mencapai jarak tunggangan sehingga 100 km, menjadikannya sangat sesuai untuk perjalanan harian.
EZI TS1 juga mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 65 km/j. Dari aspek keselamatan, EZI TS1 dilengkapi dengan sistem brek cakera bersama Combined Braking System (CBS). Ia menggunakan tayar hadapan bersaiz 90/90-12 dan tayar belakang 100/80-12, yang memberikan kestabilan serta cengkaman jalan yang baik.
Dari segi dimensi, EZI TS1 berukuran 1,840 mm panjang, 705 mm lebar dan 1,200 mm tinggi, dengan jarak roda 1,300 mm, ketinggian tempat duduk 755 mm serta berat bersih 82 kg (tanpa bateri), menjadikannya ringan dan mudah dikendalikan.
Skuter ini turut dilengkapi pelbagai ciri pintar termasuk paparan meter LED bersaiz 7 inci, port pengecasan USB Type-A dengan pencahayaan LED serta sistem kemasukan tanpa kunci (keyless) berasaskan NFC. Sistem pencahayaan LED sepenuhnya disediakan merangkumi lampu utama dengan DRL, lampu belakang, lampu isyarat serta lampu kecemasan.
Ciri kemudahan lain termasuk ruang simpanan hadapan di sebelah kiri, ruang simpanan bawah tempat duduk dengan kunci mekanikal sebagai sokongan, tiga mod tunggangan, pedal kaki, fungsi Auto Cruise, suis keselamatan tongkat sisi, serta Walk Assist Function (mod E) yang memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah atau di ruang sempit. EZI TS1 mengambil masa kira-kira 8 jam 30 minit untuk pengecasan penuh dari 0 hingga 100%.
Setiap pembelian EZI TS1 disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau sehingga 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu, tertakluk kepada terma dan syarat. Pelanggan juga boleh mendapatkan alat ganti tulen secara dalam talian melalui Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., sekali gus memastikan sokongan selepas jualan yang menyeluruh dan boleh dipercayai.
